SHAH ALAM 27 Apr : Pakatan Rakyat (PR) hari ini menafikan penglibatan pemimpin mereka dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah bulan lalu, kata beberapa pemimpin yang dihubungi.
Ketua Penerangan Pas , Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa tiga pemimpin pembangkang termasuk seorang dari Sabah menjadi dalang dalam isu Lahad Datu sebagai tidak berasas.
Malah beliau menafikan penglibatan tersebut dengan menyatakan bahawa pemimpin Sulu lebih rapat dengan kepimpinan Umno.
"Saya lihat cara pemberitaan yang dikeluarkan ini sangat tidak beradab... kenapa Ahmad Zahid tidak mendedahkan nama pemimpin pembangkang tersebut? Kenapa hendak dilakukan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)?
"Ia menjadi tanda tanya. Saya fikir ia hanya sandiwara politik semata-mata. Kita tidak terlibat, setahu saya pemimpin Sulu lebih rapat dengan ahli politik Umno," katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online di sini, hari ini.
Beliau turut mengecam pencerobohan tersebut dan berharap ia tidak dijadikan sebagai satu ‘isu’ untuk meraih undi menjelang PRU13.
"Kami (PR) mengecam segala tindakan pencerobohan yang boleh mengganggu-gugat kedaulatan negara kita. Kami juga berharap isu-isu seperti ini tidak dijadikan sebagai modal Umno dalam PRU13," katanya lagi.
Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berpendapat bahawa kenyataan Ahmad Zahid menunjukkan kebimbangan beliau kemungkinan parti (BN) itu akan kalah dalam PRU kali ini.
"Bagi saya mereka sangat terdesak untuk memenangi PRU13 ini.
"Jadi, mereka terpaksa mencari isu baru seperti insiden di Lahad Datu sebagai satu platform mereka untuk meraih undi dan menaikkan sokongan rakyat terhadap BN semula.
"Soalnya, kenapa perlu pemimpin PR ingin mempelawa orang Sulu untuk menyerang Sabah, malah sanggup melakukan pembunuhan di sana? Apa yang PR dapat sekiranya melakukan tindakan sedemikian?" katanya.
Mengulas lanjut isu tersebut, Kok ketika dihubungi juga mahukan penjelasan daripada BN berhubung dakwaan 'Sultan Sulu' yang dikatakan keluar daripada Umno.
“Apakah penjelasan BN tentang salah seorang ‘Sultan Sulu’ yang keluar daripada Umno kira-kira dua bulan lepas.
"Adakah ini menunjukkan terdapat ‘hubungan’ di antara Kesultanan Sulu dengan Umno?" soalnya.
Tambahnya, "kalau Ahmad Zahid gagal memberi justifikasi yang memuaskan, tindakan kerajaan yang melemparkan tuduhan terhadap pemimpin PR ini hanya akan memburukkan lagi sokongan orang ramai terhadap BN.”
Ketika ditanya mengenai tindakan PR berhubung dakwaan tersebut, beliau menjelaskan: “Saya bukan pemimpin atasan PR, saya rasa adalah lebih baik bagi kita jawab selepas pemimpin PR didakwa dimahkamah."
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Dr. Muhammad Nur Manuty turut menyangkal dakwaan penglibatan pemimpin PR dalam insiden itu.
“Saya yakin tiada penglibatan pemimpin PR dalam insiden tersebut. Mereka gunakan pihak ketiga untuk mencemarkan imej PR dengan mengaitkan kami,” katanya.
Sehubungan itu, beliau beranggapan bahawa dakwaan sedemikian mengarut dan tidak berasas.
“Dakwaan ini sangat mengarut. Ini kerana BN hanya berniat untuk menakutkan rakyat bagi meraih undi menjelang PRU13 ini,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan