SPECIAL ADS

27 April 2013

Hentikan polemik hudud


KUALA LUMPUR 27 Apr : Semua pemimpin Pakatan Rakyat diminta tidak menjadikan hudud sebagai isu kerana ianya telah diselesaikan sebelum ini.

"Kita telah bersetuju untuk berbeza pendapat, bersetuju untuk tidak bersetuju.

"Oleh itu, ia tidak menjadi isu dan ia bukan dalam agenda bersama dalam Pakatan Rakyat," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya hari ini.

Menurut beliau, semua pemimpin Pakatan telah mencapai kata sepakat mengenainya  dan akan memberikan tumpuan kepada perkara yang telah menjadi agenda bersama.

"Hudud memang menjadi agenda PAS sebagai sebuah parti Islam kerana ia sebahagian dari syariat Islam. Tidak ada seorangpun ahli PAS yang beragama Islam boleh menolak perkara ini.

"DAP juga mempunyai agenda mereka sebagai sebuah parti politik. Begitu juga PKR. 

"Isu ini sudah selesai September 2011, kita ada buat kenyataan, kita akui DAP tak setuju dengan hudud, Islam tetap jadi dasar Pas, DAP hormatinya.

"Yang kita telah bersetuju adalah agenda bersama Pakatan Rakyat yang kita masukkan dalam manifesto bersama.. Ini yang sepatutnya menjadi fokus kita dalam pilihan raya ini," kata Mustafa dalam sidang medianya hari ini.

Video lucah

Mustafa juga memaklumkan, PAS telah membuat keputusan menyerahkan kembali kerusi Kota Damansara kepada PKR sebagaimana yang telah dipersetujui sebelum ini.

Berhubung dengan video lucah yang mengaitkan beliau, Mustafa berkata, beliau akan bertemu dengan Umno di mahkamah.

Ini kerana, beliau telah mendakwa Umno terlibat dalam penyebaran video itu dan Umno telah menafikannya dengan menyaman beliau dan dua pihak lagi.

"Saya katakan kita akan bertemu di mahkamah dan saya suka nyatakan saya sedikit pun tidak takut kepada Umno," kata Mustafa tegas.

Tiada ulasan: