SPECIAL ADS

29 April 2013

80% calon BN Kedah bermasalah


29 Apr : Telahan pemerhati politik  hampir tepat. Setelah Pengerusi BN, Dato' Seri Najib Tun Razak menyerahkan watikah calon kepada pemimpin negeri, BN Kedah sekali lagi gagal menampilkan 'winnable candidate'.

Kitar semula, menjaga hati dan mencantas antara satu sama lain adalah kaedah tipikal yang dibuat untuk menyenaraikan calon untuk bertanding bukan atas dasar untuk membela nasib rakyat dan memajukan negeri.
Rata-rata pengundi di sini menyatakan 80 peratus daripada muka yang dicalonkan BN Kedah, mempunyai senarai rekod bermasalah seperti salahguna kuasa, penyelewengan dan isu moral peribadi.

Menurut sumber, berlaku pertikaman lidah para pemimpin Umno dengan Pengerusi BN Kedah, Dato' Ahmad Bashah dalam satu mesyuarat tertutup sehingga lewat malam yang mana calon yang dimuktamad Najib, masih diragui malah jauh sekali menepati kelayakan sebagai 'calon boleh menang.'

Bermula dengan bekas Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mahadzir Khalid yang meninggalkan jejak hitamnya selama memerintah dua tahun di Kedah. Hutang kerajaan negeri yang tertunggak sehinggalah wang rakyat yang hilang lesap entah ke mana. Antaranya Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) yang terbengkalai biarpun RM10 juta telah dikeluarkan bagi tujuan pembinaan.

Bagi mengelak kes-kes 'hitam' yang ditinggalkan, beliau dikatakan sangat bersyukur dicalonkan ke Parlimen, setidak-tidaknya, kisah lampaunya senyap dengan sendiri dan mereka yang diangkat sebagai Menteri Besar nanti yang perlu mencucinya.

Amat mengejutkan veteran Umno ialah Dato' Tajul Urus Md Zain yang didakwa terpalit dengan skandal kehilangan duit balak dianggarkan RM3 juta di lebuhraya TEKIH, isu pembakaran 'site offic', masalah projek 99East terpilih bertanding di Dun Tanjung Dawai.

Seorang lagi calon bermasalah ialah Dato' Ahmad Lebai Sudin yang menjadi Ketua Umno Bahagian Pokok Sena selepas rayuannya terhadap penggantungan keanggotaannya selama dua tahun bermula 17 Dis 2008 ditarik balik oleh Lembaga Disiplin Umno.

Lembaga Disiplin Umno menggantung keanggotaan Ahmad selama dua tahun bermula 17 Dis 2008 setelah didapati bersalah melakukan sabotaj terhadap parti dalam pilihan raya Umum ke-12.

Ramai pemimpin BN Kedah tidak mahu Ahmad dicalonkan semula, tetapi Dato' Shahlan Ismail yang melawan Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar di kerusi Parlimen Pokok Sena, menggunakan 'kuasa' sebagai Setiausaha Sulit Perdana Menteri untuk menaikkan namanya semula.

Calon-calon yang ditolak rakyat dalam PRU12 lalu seperti Dato' Azeez Rahim, Dato' Aziz Sheikh Fadzir dan Dato' Osman Aziz adalah calon kitar semula.

Menambahkan lagi senarai rekod ialah kisah moral pemimpin berhubung skandal hubungan sulit yang dikaitkan dengan seorang pemimpin Umno yang dicalonkan masih belum terjawab sehingga kini biarpun ianya sudah tersebar ke seluruh negara.

Menurut sumber, dua pemimpin Umno yang dicalonkan juga turut terpalit dengan isu dikaitkan dengan kumpulan ceti haram malah bekas isteri salah seorang daripada mereka telah mengedarkan surat rayuan kepada pengundi untuk menolak bekas suaminya itu yang pernah mengabaikan keluarga dan terlibat dengan pelbagai kegiatan kumpulan kongsi gelap.

Terbaru, seorang pemimpin Umno yang bertanding di Parlimen dilihat menginap di hotel ketika berkempen, sedangkan beliau merupakan anak tempatan yang mempunyai rumah keluarga di negeri ini.

Ia mendapat cemuhan ramai dengan sikap sombong dan egois beliau yang hidup dalam keadaan serba mewah biarpun ketika turun padang cuba mendekati pengundi.

Selain itu, pencalonan Ahmad Bashah di Bakar Bata turut mendapat bantahan pemimpin Umno khususnya para veteran kerana sudah lima penggal beliau bertanding di situ.

Mengikut rekod, terdapat 'MOU Bakar Bata' atau tradisinya di kalangan pemimpin Umno Kedah yang menghadkan hanya untuk dua penggal bertanding di kawasan terbabit, malangnya Ahmad Bashah yang ghairah untuk menjadi Menteri Besar Kedah telah mengingkarinya.

Selain iitu kesanggupan BN Kedah mengekalkan Dato' Abu Hasan Sarif di Kota Siputeh yang pernah digantung daripada sidang DUN kerana ponteng dan pemilihan Dato' Ali Yahaya di DUN Pantai Merdeka yang cukup kontroversi sebagai Ketua Bahagian Umno Sungai Petani, bakal mengundang padah.

Tidak cukup dengan itu, menyenaraikan Dato' Johari Baharom sebagai calon di Parlimen Kubang Pasu tidak dapat diterima ramai khususnya daripada kem Dato' Mukhriz Mahathir, kerana pernah 'mensabotaj' pemilihan parti selain pernah disiasat SPRM atas tuduahn menerima rasuah RM5.5 juta kerana melepaskan tiga orang penjenayah di bawah Ordinan Dharurat.

Seorang Kolumnis media pernah menulis, berdasarkan maklumat yang diterima  keseluruhan 15 bahagian Umno di Kedah, 10 daripadanya bermasalah.

"Masalah utama ialah hendak mencari calon, kita kena akui sampai sekarang belum ada calon yang paling sesuai bagi memenuhi apa yang dipanggil 'calon boleh menang' seperti mana dikehendaki oleh Perdana Menteri," kata pemimpin Umno kepada penulis itu.

Masing-masing masih lagi hendak 'mempromosikan' diri sendiri dan merasakan paling layak untuk menjadi calon, biarpun ada antara mereka yang ditafsirkan sudah kalah sebaik nama diumumkan, tulis kolumnis terbabit.
Natijahnya terkini, dua daripada mereka berpaling tadah nebjadi calon bebas iaitu Naib Ketua Puteri Umno Shahanim Mohd Yusoff dan Ustaz Fadzil Hanafi yang masing-masing mempunyai penyokong dan pengaruh yang ramai.

Penganalisis dan penduduk setempat melihat BN Kedah sudah gagal dalam pusingan pertama, apabila 'berani' mengemukakan calon-calon yang bermasalah sekaligus menkafankan BN pada PRU13 ini.

Oleh AZAMIN AMIN

Tiada ulasan: