SPECIAL ADS

27 April 2013

Pembekal internet main politik


KUALA LUMPUR 27 Apr : Setelah diserang DDOS (distributed denial of service) sejak pembubaran parlimen, laman web Harakahdaily susah diakses melalui beberapa perkhidmatan internet (ISP) Melaysia tertentu mulai dua tiga hari lepas.

Pihak IT Harakahdaily telah mendapatkan semua ISP yang terdapat di pasaran untuk mencuba akses ke laman web berita kami.

Cuma YES4G dan Time Internet sahaja, pihak IT Harakahdaily mendapati boleh melayari laman Harakahdaily tanpa masalah.

Manakala ISP-ISP yang lain seperti TM, Unifi, Streamyx, Maxis, Celcom dan Digi, pihak IT Harakahdaily mendapati akses ke laman web Harakahdaily terputus-putus. Minit ini ok, minit seterusnya tidak ok.

Dalam data Pageview Harakahdaily, pihak IT juga mendapati ada ‘line drop’ setiap minit. (Lihat gambar)

Perkara yang sama turut dialami Malaysiakini. Mengikut laporan Malaysiakini, laman itu percaya bahawa ISP sudah diarahkan mengurangkan akses pembaca atau sekatan akses ini dilakukan tanpa pengetahuan ISP.

“Kami di pihak Harakahdaily berharap sekiranya benar, taktik kotor ini dihentikan segera. ISP patut fokus tugas mereka iaitu memberikan khidmat terbaik kepada pelanggannya untuk melayari mana-mana website yang disukai tanpa masalah,” kata Ketua Pengarang Harakahdaily Zulkifli Sulong.

Pihak Harakahdaily juga meminta bantuan pembaca yang susah mengakses Harakahdaily untuk membuat aduan kepada ISP masing-masing.

Selain itu, bagi yang mahir IT, boleh cuba menukar DNS masing-masing kepada DNS google.

Pegawai eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran pula menyarankan agar ISP elak bermain politik dan memastikan kakitangan mereka tidak mengikuti arahan yang tidak sah yang menjejaskan akses kepada rangkaian mereka.

"Mereka juga perlu memastikan gerbang bersama adalah bebas daripada gangguan dan sekatan," kata Premesh.

Tiada ulasan: