29 Apr : Selepas hari penamaan calon pada 20 April, saya membuat keputusan untuk tidak menulis mengenai kempen parti-parti politik untuk mendapat sokongan para pengundi. Saya memilih untuk membaca laporan media tradisional dan media baru atau media sosial.
Tetapi, sebagai seorang pengamal media walaupun kini dalam wadah media alternatif, saya tertanya-tanya ke mana perginya etika kewartawan, di mana letaknya keadilan dan kesaksamaan dan kenapa tiada imbangan dalam laporan, terutama oleh media tradisional seperti surat khabar dan radio serta televisyen.
Setiap hari pembaca dihidang dengan laporan yang amat berat sebelah, iaitu yang memihak kepada BN seolah-olah kita membaca lidah rasmi parti politik, bukan sebuah akhbar 'nasional' yang sepatutnya memberi laporan yang seimbang, adil dan benar. Kita tahu yang hampir semua akhbar di kuasai atau dibawah kawalan parti-parti politik, tetapi dalam membuat laporan, etika kewartawanan tidak boleh diketepikan, dinodai atau dalam bahasa yang tidak berapa sedap didengar, dilacuri. Ini yang berlaku.
Begitu jua dengan media elektronik, iaitu radio dan tv. Semua saluran tv, khususnya, seolah-olah 'bekerja' untuk BN. Jika adapun laporan mengenai parti lawan, ia lebih merupakan sesuatu yang negatif.
Saya dapati hanya sebuah akhbar yang boleh diterima sebagai menghidangkan laporan yang agak seimbang mengenai pilihaan raya umum ke-13 ini, iaitu SINAR HARIAN. Yang lain terlampau berat sebelah.
Seperti ramai orang, saya mencari sumber lain untuk mengikuti laporan pilihan raya di Malaysia, iaitu media asing dan sumber Internet. Benar, bukan semua laporan dalam media Internet boleh dipercayai tetapi pandai-pandailah memilih yang mana satu nak diikuti. Seboleh-bolehnya usah ikuti wadah atau laman sesawang politik, yang pro-BN mahupun PR.
Kepada pelanggan Unifi yang menawarkan HyppTV, anda boleh ikuti laporan pilihan raya "Malaysia Decides" setiap malam yang disalurkan oleh Channel News Asia (CNA) Singapura. Saya dapati laporan oleh media Singapura ini seimbang, saksama dan profesional. Banyak perkara yang diabaikan oleh media tempatan, sama ada secara sengaja atau tidak, lazimnya disiarkan oleh CNA.
Dalam laporannya yang benar-benar profesional, CNN memberi ruang kepada kedua-dua pihak bersuara dan isu-isu yang dibangkitkan adalah isu seharian dan semasa yang menghantui rakyat. Laporan sedemikian tidak dibuat oleh mana-mana stesen tv Malaysia.
Satu perkara lagi yang menarik perhatian ramai pada pilihan raya kali ini ialah betapa 'murah hatinya' kerajaan kepada rakyat. Berbilion ringgit diluluskan dalam bermacam bentuk bantuan dan sumbangan. Perkara sedemikian tidak pernah berlaku dalam 12 pilihan raya sebelum ini.
Siapa tidak mahu duit? Semua orang mahukan duit tetapi adakah ia dapat menjamin sokongan kepada yang memberinya? Belum tentu!
Sikap pemurah hati ini tidak ubah seperti apa yang berlaku pada musim perayaan agama Kristian. Menjelang sambutan Hari Natal atau Krismas, kanak-kanak akan ternanti-nanti kedatangan "Father Christmas" atau "Santa Claus" untuk mendapat hadiah. Kegembiraan jelas terbayang diwajah mereka yang menerima hadiah itu walaupun ia tidak seberapa sangat.
Tetatpi, ramai lupa yang kegembiraan itu hanyalah sementara dan Santa terus dilupai sehinggalah musim perayaan akan datang.
Kepada para pengundi, jangan lupa untuk keluar mengundi. Ingat, jangan buang undi, tetapi mengundi. Undi anda amat berharga dan tidak seharusnya dibuang. Tidak tahu pula saya kenapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru kita membuang undi, tidak mengundi?
http://kudaranggi.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan