SPECIAL ADS

13 April 2013

Manifesto PR : Sah najib Ciplak Tetapi Tidak Bijak


13 Apr : BAHAGIAN PERTAMA - Satelah Najib Razak dan Umno-BN menuduh Pakatan Rakyat membentang manifesto yang membankrap negara, dua hari lalu giliran Najib pula dituduh melakukan hal sama.

Sebabnya mudah. Setelah enam minggu pelancaran Manifesto Rakyat, Najib hanyamampu membentang sebuah manifesto yang menciplak tawaran Manifesto Pakatan. Terdapat lebih 20 perkara yang ditawarkan adalah sama dengan Pakatan Rakyat.

Sukar mempercayai  ia satu berkebetulan. Hal ini juga dikomentar media kewangan antarabangsa Bloomberg. Maka sebetulnya Najib dan Umno-BN sendiri tahu program tersebut tidak akan mufliskan negara. Apa yang jelas bankrap adalah Najib dan Umno-BN yang muflis untuk menjana idea menyaingi tawaran Pakatan.


Manifesto BN sangat mengecewakan pemerhati. Ia menjadi senarai pemberian kepada rakyat tanpa menjelaskan apakah di sebalik rasional pemberian itu. Tawaran ini tidak dibuat dalam satu kerangka penyelesaian menyeluruh bagi mengeluarkan rakyat daripada kemelut penderitaan kos saraan hidup dan terperangkap dalam jajaran berpendapatan rendah.
 
Sebutan menjana pelaburan RM1.3 trilion yang bakal mewujudkan 3.3 juta pekerjaan adalah ulangan kesekian kalinya. Sepatutnya ia wajar diukur pencapaiannya setelah genap empat tahun pemerintahan Najib, bukan diulang sebut sebagai mukadimah manifesto.

Sebaliknya manifesto Najib hanya mampu menyenarai barang-barang yang bakal dihadiahkan seorang "Santa Klaus" berpandukan Manifesto Rakyat! Kami tidak pula mahu bersaing dengan Najib dan Umno-BN bagi membuktikan siapa "Bapak Krismas" yang lebih ‘pemurah’ dan ‘dermawan’?
Mungkin benar telahan umum Najib sudah tepu idea dan kekeringan ilham sehingga manifestonya  cuba meniru tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’ dengan slogan ‘Menepati Janji Membawa Harapan’. Tapi ternyata aspek 'Membawa Harapan' itu mengecewakan sebab tiada resipi baru, dasar dan polisi segar dan komitmen terkini bagi menyuntik ‘harapan rakyat’.

Berbeza dengan Manifesto Pakatan Rakyat yang dibina di atas empat tunggak besar; Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat, sekali gus membawa “Harapan Baru” atau “A New Deal”, manifesto Najib dan Umno-BNN tidak punyai matlamat, dasar dan mekanisme pelaksanaan serta jauh lagi perincian anggaran kos dan aliran tunai seperti manifesto Pakatan.
Sementara Pakatan  mempunyai strategi jelas bagi menurunkan kos saraan hidup rakyat sekali gus meningkatkan ‘pendapatan dan pendapatan boleh berbelanja’ mereka, manifesto BN tampak tidak punya perhitungan matlamat dan kaedah sama.

Strategi Pakatan adalah untuk semua rakyat dizinkan menjalani kehidupan yang bermaruah dengan tidak mengharapkan wang ‘handouts’ BR1M  dan tidak pula sengaja wujudkan ‘rangkaian untuk kelompok berpendapatan rendah’ supaya kekal dengan ‘iklim kehidupan sub-standard’ mereka -- membeli daripada kedai I-Malaysia atau kalau sakit ke klinik 1-Malaysia dan sebagainya! Bagaimana mereka mahu keluar daripada ‘kitaran ganas’ ini tidak menjadi tawaran “Harapan Baru” manifesto BN. Sangat malang!

Isu BR1M menjelaskan bahawa dalam pelaksanaan pemberian wang tunai, Najib dan Umno-BN berfikiran jangka pendek dan dangkal. Kononya BR1M itu sangat popular dan berkesan membantu rakyat maka manifesto BN  menawarkan pemberian tahunan dan akan dibuat sehingga ke paras RM1,200 untuk sekeluarga dan RM600 untuk individu bujang.

Dengan kata lain, jumlah bayaran adalah  RM100 setiap bulan untuk keluarga dan RM50 sebulan untuk individu bujang. BR1M 2.0 menelan perbelanjaan RM3.5 bilion kepada 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta orang bujang.

Di sini terletak garis perbezaan manifesto Pakatan dan BN. Najib gagal menciplak pendekatan Pakatan dalam mengeluarkan rakyat daripada bebanan tekanan kos hidup. Najib boleh sahaja meningkat bayaran BR1IM ke paras RM1,200 dan mungkin akan menelan kos kepada perbelanjaan Pusat sebanyak RM7.2 bilion tetapi tidak membuat apa-apa perubahan struktur ekonomi serta tidak juga menurunkan kos harga barang. Ya, nak ciplak pun tak pandai!

Persoalan penting yang gagal ditangani adalah inflasi dan kos hidup yang terus meningkat. Segala pemberian  tunai ini setahun sekali dan sangat tidak berkesan bagi menangani bebanan hidup rakyat yang dihimpit inflasi sepanjang tahun.

Soalnya, mengapa Najib enggan menciplak pendekatan dan penstrukturan ekonomi yang Pakatan lakukan bagi menangani inflasi, sekali gus mengelak  pengherotan pasaran yang membawa kepada kenaikan kos saraan hidup?

Manifesto BN tampak macam serupa dengan Manifesto Pakatan Rakyat tetapi hakikatnya tidak sama! Rakyat perlu tahu ini. Samalah seperti kata Nabi, ada yang berhijrah ke Madinah kerana Allah dan ada yang bersama kerana mahu mengahwini seorang perempuan. Tampak perjalanan semuanya ke Madinah, tapi niat lain-lain!

Dalam muamalat dan program pembangunan yang sepatutnya membawa kepada kemakmuran rakyat sebagai perintah Allah (Was ta'marakum fiha!), persoalan niat (nawaitu) juga adalah penting, bukan boleh main sembrono aje. "Allah menyintai hamba-Nya ketika dia beramal, dia lakukan dengan yang terbaik (Al-Ihsan)." mengikut maksud hadis Rasulullah s.a.w.

Kembali isu pokok, bagaimana untuk mengeluarkan rakyat daripada bebanan kos saraan hidup?

Niat dan matlamat Pakatan adalah untuk membawa penstrukturan semula ekonomi termasuk ‘dasar fiskal’ yakni urusan cukai dan hal subsidi bagaimana ia dilaksanakan bagi membantu rakyat. Pun begitu isu jurang perbezaan kaya-miskin yang semakin melebar yang mesti tangani.

Oleh DR DZULKEFLY AHMAD

Tiada ulasan: