SPECIAL ADS

10 April 2013

Najib Khianati Aku Janji PRU


bn putrajaya
PETALING JAYA, 10 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini disaran agar membatalkan sahaja Akujanji Pilihan Raya yang ditandatangani beliau dengan NGO anti-rasuah Transparency International Malaysia baru-baru ini.
Ini berikutan tindak-tanduk beliau dan Kerajaan Umno-BN yang terang-terang melanggar akujanji tersebut dengan mengumumkan projek mega dan program yang melibatkan peruntukan dana awam walaupun Kerajaan Persekutuan adalah pentadbiran sementara.
Naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata tindakan khianat terhadap akujanji itu amat berbeza dengan amalan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dan Pulau Pinang yang melarang penggunaan aset kerajaan negeri untuk tujuan kempen politik.
Nurul Izzah berkata antara isi kandungan aku janji yang dikhianati Najib, adalah bahawa sebuah kerajaan sementara tidak boleh mengumumkan projek atau perbelanjaan baru.
“Pada 5 April 2013, Najib umumkan tiga projek utama di Cyberjaya yang bernilai RM 8 bilion.
“Datuk Raja Nong Chik pula mengadakan majlis perasmian Jalan Pantai Dalam dengan menggunakan pangkat Menteri dan menggunakan jentera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Pada 8 April, media arus perdana melaporkan Najib mengumumkan kad diskaun ataupun 1 Malaysia Previlege Card yang dilancarkan pada Ogos 2012 akan diperluaskan kepada 725,000 pesara kerajaan,” kata Nurul Izzah.
Nurul Izzah turut berkata, Najib juga mengumumkan pembinaan kompleks bernilai RM 400 juta yang membabitkan syarikat dari China iaitu, CSR Zhu Zhou Electric Locomotive Company di Perak.
Manakala pada 9 April, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa pula menyatakan Najib akan membuat pengumuman mengenai Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) yang menyediakan rumah mampu milik kepada penjawat awam.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berkempen di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simpang Lima, Klang dalam Majlis Perjumpaan Khas TPM bersama guru-guru sekolah Tamil.
Nurul Izzah turut mencabar agar semua menteri di dalam pentadbiran Najib memulangkan semua kenderaan rasmi dan tidak menggunakan jentera kerajaan seperti DBKL bagi tujuan berkempen.
“Penyalahgunaan kuasa berterusan ini jelas membuktikan sebenarnya Najib gagal menjunjung prinsip demokrasi dan sewajibnya membatalkan akujanji pilihanraya yang ditandatangani beliau yang sekadar untuk menghiasi imej umumnya,” ujar Nurul Izzah.
Pada 20 Febuari lalu, Najib menandatangani Ikrar Integriti Pilihan raya bersama Transparency International Malaysia sebagai menunjukkan komitmennya untuk membanteras rasuah pada PRU-13 nanti.

Tiada ulasan: