SPECIAL ADS

8 April 2013

TGH Hadi tolak ‘tawaran’ jadi PM


SHAH ALAM 09 Apr : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak ‘pelawaan’ Barisan Nasional (BN) supaya menjadi Perdana Menteri jika mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 nanti.

Abdul Hadi berkata, beliau lebih bersedia jadi khadam (orang suruhan) rakyat berbanding jawatan Perdana Menteri sekiranya itu yang dimahukan oleh majoriti rakyat.

“Saya tak boleh mendahului rakyat…rakyat perlu menangkan calon (Pakatan Rakyat) terlebih dahulu baru boleh tahu siapa PM.

“Apa yang penting Perdana Menteri itu mestilah orang Islam yang diterima semua rakyat dan tiada masalah dengan orang kerajaan, Raja serta Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media selepas memberikan ucapan dalam wacana ‘Bicara Minda’ di Kompleks Karangkraf di sini tadi.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak semasa pelancaran manifesto pada Sabtu lalu melontarkan soalan cepu mas kepada rakyat tiga calon yang boleh dipercayai untuk menjadi Perdana Menteri – sama ada Hadi, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atau dirinya sendiri.

Ditanya mengenai kerusi, Abdul Hadi berkata PAS serius dengan hasrat untuk meletakkan calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan bertanding atas lambang PAS.

“Masalah kita calon bukan Islam ini sudah jadi calon DAP dan PKR.

“PAS perlu cari kawasan yang munasabah untuk mereka,” katanya.

Katanya, pihaknya masih berusaha meletakkan calon bukan Islam di setiap negeri sebelum tarikh penamaan calon diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita sedang berusaha supaya DHPP yang terdiri daripada pelbagai bangsa akan ada. InsyaAllah calon India, calon Cina, calon Iban akan ada,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah kerusi yang akan diberikan kepada DHPP.

Konsep Negara Islam

Beliau turut menolak dakwaan PAS menukar konsep Negara Islam kepada Negara Berkebajikan kerana sukar melaksanakan hukum syariah dalam negara yang berbilang kaum.

Katanya, persepsi ‘Negara Berkebajikan’ itu lebih mudah difahami dan diterima semua masyarakat majmuk di Malaysia tanpa mengenepikan hukum Islam.

“Tiada percanggahan (Negara Islam) dengan Negara Berkebajikan.

“Itu perkataan seerti dimana pertukaran konsep semata-mata untuk memudahkan orang faham dan akhirnya semua dapat terima konsep Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Tiada ulasan: