SPECIAL ADS

11 Julai 2013

3 bekas Ketua Hakim menentang KDN

Kuala Lumpur 11 Julai : Malaysia sedang menyaksikan senario yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila tiga bekas ketua hakim bersatu menentang menteri dalam negeri dan timbalannya mengenai apa yang sah di sisi undang-undang.
Beberapa alasan pelik ditawarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya,, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai sebab mengapa kerajaan tidak mahu menggunakan pandangan yang dicadangkan tiga bekas ketua hakim, yang menjadi sebahagian anggota Suruhanjaya Inkuiri Diraja (RCI) yang menggesa keperluan badan berkecuali untuk memantau polis.
Kata Kadir, alasan paling pelik ialah penubuhan badan itu bertentangan dengan undang-undang. Bekas Editor Kumpulan New Straits Times, Datuk Kadir Jasin, turut duduk dalam RCI itu bersama tiga bekas ketua hakim berkenaan pada tahun 2004.
"Siapa lagi yang lebih tahu mengenai undang-undang?"  tanyanya dalam entri terbaru blognya.
Beliau berkata, bekas Ketua Polis negara, Tun Hanif Omar turut berada dalam suruhanjaya itu bersama bekas Ketua Hakim, Tun Mohamed Dzaiddin dan Tun Salleh Abas. Turut bersama dalam inkuiri itu ialah peguam kanan yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim, Tun Zaki Amir.
Inkuiri ini pada sembilan tahun lalu mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Cadangan itu mengundang banyak kritikan daripada polis sehingga Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdullah Badawi dengan cepat terlupa mengenainya.  Sebaliknya, satu badan pengawasan dicipta - dengan seorang sahaja bertanggungjawab memantau polis.
Kemudian, 18 lagi agensi ditambah. Polis kelihatannya tidak ada masalah dengan perkara itu.
Tetapi, ia memberi  sedikit masalah kepada bekas anggota inkuiri, Kadir.
"Jika kerajaan Barisan Nasional tidak berminat menubuhkan IPCMC, tolong jangan gunakan nama-nama besar Malaysia seperti Tun Mohamed Dzaidin, Tun Hanif dan Tun Zaki sebagai `kambing hitam' dan menjadi tempat orang melepas marah," kata Kadir dalam blognya.
Dalam entri terbarunya yang kelihatan agak sinis, Kadir menuding jari ke arah Zahid dan Junaidi dengan menyatakan pasangan itu percaya mereka lebih tahu mengenai undang-undang dan Perlembagaan berbanding anggota inkuiri.
Beliau berkata, jika menteri dalam negeri dan timbalannya percaya mereka lebih hebat daripada anggota inkuiri, sudah tentu mereka mendapatkan `bantuan orang yang sepatutnya berpengetahuan dalam Jabatan Peguam Negara' untuk mempertingkat rangka kerja undang-undang IPCMC."
Bekas Timbalan Ketua Wanita Umno yang juga anggota inkuiri, Datuk Kamilia Ibrahim turut mencemuh dakwaan menteri dalam negeri bahawa IPCMC tidak mengikut perlembagaan.
Dalam kenyataannya di Malaysikini, beliau yang juga seorang peguam berkata, badan seumpama IPCMC sudah ditubuhkan di United Kingdom dan Australia.
"Kenapa ia tidak boleh dilaksanakan di sini? Kita tidak boleh meminta polis menyiasat sendiri kes seperti kematian tahanan dalam lokap, salah guna kuasa atau rasuah," katanya.
"Tujuan IPCMC ialah untuk memastikan pasukan polis berfungsi dengan baik, kerana orang awam yang juga pembayar cukai mahu kepastian polis ikhlas dalam usaha memerangi jenayah, tidak berlaku rasuah dan memastikan pengurusan kerajaan yang baik," katanya.
Kadir berkata, kesukaran  perdana menteri Malaysia ialah apabila perlu berdepan dengan kepentingan diri oleh orang lain. Dalam blognya, Kadir berkata:"Lebih pun, jika Abdullah yang mengarahkan penubuhan RCI itu pun tidak menubuhkan IPCMC, kenapa pula orang menjangkakan penggantinya akan berbuat begitu?" 

Tiada ulasan: