KUALA LUMPUR 03 Julai : Tindakan Perdana Menteri melantik Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru terus menimbulkan persoalan dan menjadi perbualan ramai.
“Di blog dan laman-laman sosial, baik yang pro Umno mahukan pro pembangkang, perlantikan Azeez itu bukan saja mengundang kecaman dan kritikan, malah dijadikan bahan lawak dan momokan ramai,” tulis pemerhati politik, Shahbudin Husin di dalam blognya, http://shahbudindotcom.blogspot.com.
Menurutnya, gambar Azeez mencium tangan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menjadi topik perbualan paling hangat seolah-olah pelantikan beliau itu lebih bersandarkan kepada kekerapannya mencium tangan Rosmah dan bukannya berdasarkan kelayakan ataupun pengalaman yang dimilikinya.
Berikut tulisan penuh beliau.
Tindakan Najib melantik Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru terus menimbulkan persoalan dan menjadi perbualan ramai. Tidak saja Mahfuz Omar dari Pas dan Nurul Izzah dari PKR yang mempertikaikannya serta menuntut penjelasan Perdana Menteri tentang kriteria perlantikan seseorang sebagai Pengerusi GLC, bahkan rakyat pelbagai peringkat terus bercakap mengenainya.
Di blog dan laman-laman sosial, baik yang pro UMNO mahukan pro pembangkang, perlantikan Azeez itu bukan saja mengundang kecaman dan kritikan, malah dijadikan bahan lawak dan momokan ramai.
Gambar Azeez mencium tangan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menjadi topik perbualan paling hangat seolah-olah perlantikan beliau itu lebih bersandarkan kepada kekerapannya mencium tangan Rosmah dan bukannya berdasarkan kelayakan ataupun pengalaman yang dimilikinya.
Jika dibandingkan perlantikan Azeez sebagai Pengerusi Tabung Haji dengan beberapa perlantikan lain yang dibuat oleh Najib, memang wujud tanda-tanya besar terutama mengenai kriteria, kelayakan dan kaitan wibawa seseorang itu dengan GLC atau agensi kerajaan yang diamanahkan kepadanya.
Azeez Rahim yang tidak sampai dua bulan menjadi Ahli Parlimen serta tiada pengalaman dalam dunia korporat, pengurusan serta perniagaan, telah dijadikan Pengerusi Tabung Haji, sebuah GLC yang mempunyai aset dan tabungan berbilion ringgit serta rangkaian perniagaan di seluruh dunia. Tabung Haji juga menjadi tabungan hampir semua umat Islam dan merupakan antara syarikat kebanggaan negara yang ditubuhkan oleh Prof Ungku Aziz bagi memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam kelima iaitu fardu haji ke Mekah.
Dr Latif Ahmad, Ahli Parlimen Mersing yang berpengalaman sebagai Exco Kerajaan Johor dan timbalan menteri, hanya diberikan jawatan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad atau SPNB, sebuah syarikat milik kerajaan yang tumpuan khususnya lebih kepada projek perumahan kos rendah dan memulihkan projek terbengkalai.
Berbanding dengan Tabung Haji, SPNB jauh lebih kecil walaupun Dr Latif seorang yang lebih berpengalaman serta berpengetahuan dalam politik dan pengurusan.
Annuar Musa yang difahamkan akan dilantik sebagai Pengerusi MARA adalah tokoh hebat dari Kelantan dan pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar. Kepandaiannya dalam mengurus menjadikan Persatuan Bolasepak Kelantan atau KAFA yang dikendalikannya kini menjadi kuasa baru dalam bolasepak negara dengan memenangi beberapa kejuaraan utama.
Tetapi beliau hanya diberikan jawatan Pengerusi MARA yang kini semakin mengecil peranannya dalam membantu orang-orang Melayu di bidang perniagaan serta pendidikan berikutan peruntukan kerajaan yang semakin dikurangkan tahun demi tahun. Lebih-lebih lagi setelah Kementerian Pembangunan Usahawan dihapuskan oleh Najib pada 2009 lalu, MARA seolah-olah sudah tenggelam peranannya dalam membantu usahawan-usahawan Bumiputera.
Berbanding dengan Tabung Haji juga, MARA ternyata lebih keci meskipun Annuar Musa yang bakal dijadikan Pengerusi agensi itu adalah individu yang cukup pengalaman dalam politik, pengurusan serta banyak membantu rakyat di pelbagai peringkat sebelum ini.
Syed Hamid Albar yang pernah menjadi peguam dan berpengalaman sebagai menteri di pelbagai kementerian, apabila digugurkan daripada kabinet pada 2009, hanya diberikan jawatan Pengerusi SPAD yang secara kasarnya hanya menjaga bas, lori dan teksi saja. Bahkan pelantikannya sebagai Pengerusi Tabung Haji sebelum ini telah ditarik balik walaupun sudah menerima surat perlantikan itu.
Syed Hamid Albar juga dikenali seorang yang berintergeriti tinggi dan wibawanya diketahui ramai di dalam dan di luar negara. Dibandingkan dengan Tabung Haji juga, SPAD jauh lebih kecil dan seolah-olah tidak padan seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan luas seperti beliau hanya ditugaskan menjaga bas, teksi dan lori saja.
Begitu juga dengan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan kini Ahli Parlimen Kubang Pasu, Johari Baharom yang dikhabarkan telah dilantik sebagai penasihat di JPM. Perlantikan beliau itu lebih kepada untuk memberi jawatan semata-mata sedangkan tiada peranan khusus walaupun pengalaman dan pengetahuannnya dalam politik dan kerajaan selama puluhan tahun sebelum ini sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk peranan yang lebih besar lagi.
Jika dibandingkan dengan Pengerusi Tabung Haji, jawatan sebagai penasihat di JPM ini hampir tidak memberi makna kerana belum tentu ada nasihat Johari yang mahu diterima-pakai oleh Najib yang diketahui sudah pun mempunyai ramai penasihat sebelum ini.
Semua perlantikan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa semakin tinggi pengetahuan, pengalaman dan wibawa seseorang itu, semakin tidak penting dan kecil agensi kerajaan, GLC atau jawatan yang akan diberikan kepadanya manakala mereka yang tiada pengalaman, malah kewibawaannya dipertikaikan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan syarikat yang bernilai berbilion-bilion ringgit pula.
Dalam hal ini jika Tengku Razalegh Hamzah, seorang yang mempunyai wibawa, pengalaman dan pengetahuan yang lebih tinggi, pernah menjadi Menteri Kewangan, Pengerusi IMF, Pengerusi Bank Dunia dan pelbagai jawatan lagi serta berperanan menubuhkan Bank Bumiputra dan Petronas, mahu diberikan jawatan oleh Najib, barangkali jawatan yang akan diberikan hanyalah Pengerusi Persatuan Beca Se-Malaysia saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan