Kuala Lumpur 09 Julai : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mempunyai kepentingan diri sendiri apabila membangkitkan kes tumbuk membabitkannya dengan seorang pemuda pada tahun 2006, di Dewan Rakyat hari ini.
Dewan Rakyat kecoh kira-kira hampir 10 minit sebaik saja Gobind menyoal Ahmad Zahid mengapa tiada siasatan dan tindakan susulan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilakukan walaupun laporan polis dibuat ke atasnya.
"MP Puchong ada kepentingan peribadi kerana beliau jadi peguam bela kepada individu yang buat laporan polis itu," jawab Ahmad Zahid bagi menjawab soalan Gobind.
Berang dengan jawapan itu, Gobind bangkit dan mengggesa Ahmad Zahid mendedahkan perkara sebenar dan adalah beliau menggunakan kuasanya sebagai salah seorang pemimpin tertinggi kerajaan dengan mengugut mangsa yang ditumbuknya.
"Adakah kamu ugut dia? Adakah kamu ugut selepas tumbuk dia?" jerit Gobind sebagai reaksi balas terhadap jawapan Ahmad Zahid.
Ekoran kekecohan yang berterusan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terpaksa bangkit untuk meredakan ketegangan apabila MP Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) terus bertikam lidah antara satu sama lain.
Zahid kemudiaan membidas Gobind kerana menyalahgunakan dewan apabila membangkitkan kes itu, sebaliknya isu berkenaan diselesaikan menerusi prosedur undang-undang di mahkamah.
"Kita jumpa di mahkamah," kata Ahmad Zahid.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan menteri dalam negeri itu yang cuba mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah lebih rendah mengatakan kes saman itu perlu dibicarakan.
Saman itu difailkan Amir Bazli Abdullah terhadap Ahmad Zahid yang dituduh menumbuk mukanya.
Amir Bazli mengalami patah hidung (kecederaan kekal) dan rosak kekal di bahagian sebelah kiri mata.
Lima Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Tan Sri Md Raus Sharif mengatakan persoalan undang-undang sudah selesai.
"Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kes itu perlu dibicarakan dan Mahkamah Rayuan mempunyai pendapat sama," kata hakim itu.
"Biarlah ini dibicarakan di mahkamah dan biarkan mahkamah membuat keputusan. Dia akan mempunyai ruang untuk merayu kemudian."
Md Raus kemudian menolak permohonan Ahmad Zahid dengan kos RM5,000.
Semasa kejadian itu dikatakan berlaku, Ahmad Zahid adalah timbalan menteri penerangan.
Dalam satu kenyataan tuntutannya, Amir Bazli berkata, kira-kira jam 10 malam pada 16 Januari 2006, dia berada di sebuah stesen minyak di Bangi apabila ejen defendan mendekati dan mengugutnya.
Mereka membawanya secara paksa ke Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang dan Ahmad Zahid dikatakan berada di situ bersama menantunya bernama Hisham dan anak lelakinya dikenali sebagai KK.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan