Kuala Lumpur 02 Julai : Datuk Seri Azalina Othman (gambar) membayangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apa yang bakal berlangsung dalam sesi Parlimen kali ini – peringatan tegas daripada penyokong Barisan Nasional (BN).
Bekas menteri dan bekas Ketua Puteri Umno itu ingin memaklumkan kepada perdana menteri perjuangan agenda kaum wanita di Malaysia masih belum mendapat pembelaan sewajarnya.
Wanita kerap dilihat perlu bekerja keras bagi membela nasib mereka sendiri, jelas ahli Parlimen Pengerang itu.
“Kenapa perlu merayu bagi mendapatkan hak seorang wanita? Ini langsung tidak adil. Najib perlu telus memperkasakan agenda ini,” katanya kepada The Malaysian Insider semalam selepas ucapan lantang beliau di Parlimen melahirkan kekesalan terhadap bilangan wanita yang masih rendah dalam menjadi pimpinan sebuah organisasi.
Beliau turut menambah hal berkenaan tidak menggambarkan aspirasi perdana menteri dalam memperkasakan wanita di sektor awam.
“Ketua Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana merupakan seorang wanita dan gabenor Bank Negara juga seorang wanita namun kita tidak tahu sampai bila kedudukan ini akan berterusan,” jelas Azalina yang pernah menjadi Menteri Pelancongan sewaktu pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau turut menggesa Najib dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil pendekatan efektif bagi memperkasakan agenda wanita negara.
Sebagai permulaan tambah Azalina, satu undang-undang perlu digubal bagi memberikan wanita peluang untuk sama berdaya saing dengan kaum lelaki.
Azalina turut memberi isyarat bahawa beliau sedia untuk bertanding jawatan tertinggi Wanta Umno dalam pemilihan parti yang akan berlangsung Oktober nanti.
Jika beliau medapat cukup percalonan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno, Azalina akan mencabar Datuk Seri Shahrizat Jalil yang sudah menyatakan kesediaan untuk mempertahankan jawatan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan