SPECIAL ADS

6 Julai 2013

Cukai: Tindakan BN diskriminasi rakyat

MM2H
MM2H
SHAH ALAM 06 Julai :  Tindakan kerajaan BN membenarkan pengecualian cukai eksais dan cukai jualan kepada warga luar negara yang menyertai Malaysia My Second Home (MM2H) disifatkan sebagai 'mendiskriminasi' rakyat sendiri.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, keputusan kerajaan itu tidak adil kerana tidak memberi layanan sama kepada rakyat sendiri untuk memiliki rumah sendiri.

Mengikut laman web MM2H, katanya, peserta program MM2H yang kesemuanya warga luar negara dibenarkan untuk membeli sebuah kenderaan pemasangan tempatan (Completely Knocked Down - CKD) tanpa perlu membayar cukai eksais dan cukai jualan.

“Persoalannya mengapa kerajaan sanggup memberi pengecualian cukai eksais dan jualan kepada warga luar negara yang mengambil bahagian dalam MM2H sedangkan rakyat sendiri tidak dibenarkan untuk menikmati pengecualian ini sedangkan mereka membayar cukai untuk pembangunan negara,” katanya ketika sidang media, semalam.

Mengulas lanjut perkara ini, Weng San berkata tujuan perkara ini dibangkitkan ialah menunjukkan ketidakseimbangan dan kepincangan dasar-dasar kerajaan BN berkenaan industri automobil ini.

“Sewajarnya rakyat Malaysia didahulukan dalam polisi kerajaan namun sebaliknya yang berlaku.

“Diharapkan perkara ini akan diberi perhatian pihak berkenaan dan berharap agar rakyat dapat membeli kereta berkualiti tinggi dengan harga lebih murah melalui pengurangan cukai eksais dan jualan bagi mengurangkan bebanan isi rumah,” katanya.

Malahan diskriminasi ini katanya, juga turut dirasai oleh semua wakil rakyat bukan anggota pentadbiran di mana mereka juga tidak dapat menikmati pengecualian sedemikian.

"Ini kerana mereka hanya diberi pengecualian cukai eksais untuk membeli kenderaan pacuan empat roda pemasangan tempatan sahaja. Walaupun begitu, mereka juga perlu membayar cukai jualan sedangkan peserta MM2H tidak perlu berbuat demikian.

“Selain itu, peserta MM2H boleh membeli sebarang kenderaan asalkan ianya kenderaan CKD,” katanya.

Tiada ulasan: