Nasrudin dalam usulnya yang dikemukakan semalam meminta Malaysia menyatakan pendirian berhubung Presiden Mesir, Dr Morsi yang digulingkan menggunakan kuasa tentera.
Bagaimanapun usul tersebut ditolak dalam kamar hari ini.
"Usul saya meminta Kerajaan Malaysia membuat pendirian berhubung isu Mesir yang bergolak ekoran Malaysia merupakan anggota Pertubuhan Negara Islam (OIC)yang juga mempunyai hubungan diplomatik dengan Mesir.
"Seharusnya Malaysia mempunyai pendirian yang tegas supaya tidak membiarkan rakyat Mesir terus menjadi mangsa pergolakan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Nasrudin yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) juga berkata, Malaysia sebagai negara yang mengamalkan dan mempertahankan demokrasi seharusnya mengecam penggulingan presiden yang dipilih rakyat melalui pilihan raya presiden.
Katanya, Presiden Morsi dipilih rakyat dan menang pilihan raya dengan majoriti hampir sejuta undi.
"Jadi ini isu pencabulan demokrasi maka Malaysia patut menunjukkan pendirian yang tegas. Bukan sahaja pendirian tapi yang lebih penting tindakan yang berkesan.
"Mungkin boleh dibawa usul ke OIC atau boleh diwujudkan tribunal antarabangsa untuk mengadili kes yang berlaku di Mesir yang merupakan pencabulan demokrasi yang malang," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan