PUTRAJAYA 12 Julai : Kabinet hari ini mengekalkan keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata Akta Keharmonian Nasional yang menggantikan Akta Hasutan kini dalam proses penggubalan.
“Akta Keharmonian Nasional ini akan memastikan kestabilan politik dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Sebaik perlindungan ada di tempatnya, kita akan menarik balik Akta Hasutan," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
Pada Julai tahun lepas, Najib mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.
Namun, akhir-akhir ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan tanpa memikirkan impak negatifnya.
Ahmad Zahid menegaskan Akta Hasutan harus dikekalkan bagi memelihara empat perkara utama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu akan dipersoal sesetengah pihak.
Dalam isu lain, Dr Subramaniam menegaskan sebagai seorang menteri kesihatan beliau tiada kuasa untuk mengiktiraf program ijazah perubatan daripada Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine.
“Saranan seorang pemimpin PKR agar saya menggunakan kuasa sebagai menteri agar CSMU diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC) adalah tidak betul.
Saya tidak akan guna kuasa itu. Takkan ada penghujungnya. Jika saya lakukan untuk satu kolej, banyak lagi kolej akan memohon perkara yang sama.
“Sehubungan itu, MMC akan membuat pemeriksaan dan penilaian secara profesional dan kementerian akan membuat keputusan,” katanya sambil menegaskan bahawa penilaian MMC adalah untuk memastikan graduan perubatan yang dilahirkan berkualiti. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan