SPECIAL ADS

12 Julai 2013

Khabar angin serangan balas dendam di Lahad Datu tersebar

Lahad Datu, Sabah 13 JulaiLima bulan lalu perang terbuka di tanah air Malaysia mengejutkan kerana negara ini tidak pernah melihat pertumpuhan darah dengan cara ini selama berdekad dengan 65 orang terbunuh.

Dalam sekelip mata sahaja Lahad Datu yang menjadi penempatan nelayan menjadi sasaran jet pejuang, kereta kebal, polis dan askar bersenjata untuk menggempur penceroboh asing yang mendakwa tanah itu milik sultan mereka yang kini selamat berlindung di Filipina.
Walaupun kini peperangan sudah tamat, penduduk kampung diselubungi dengan ketakutan baru.
Lawatan The Malaysian Insider semalam ke Lahad Datu mendapati ketua kampung gementar dengan ketakutan serangan balas dendam yang beliau dan yang lain percaya akan berlaku.
Beliau memberitahu mengenai khabar angin ketua penceroboh Agbimuddin Kiram yang selamat merancang serangan gerila dan akan menyebabkan kampungnya dalam bahaya sekali lagi.
“Orang kampung datang kepada saya dengan ketakutan dan kebimbangan kerana mereka dengar khabar angin Agbimuddin merancang serangan balas dendam. Terdapat 1,200 penduduk di dua kampung dan mereka orang biasa yang menjadi nelayan dan petani untuk hidup. Mereka sudah cukup terseksa semasa perang pertama pada Mac,” kata Ketua Kampung, Mahmud Mallang ketika ditemui oleh The Malaysian Insider.
Beliau merujuk kepada pencerobohan bersenjata oleh pemberontak Sulu yang mengambil alih Kampung Tanduo di Sabah. Pasukan bersenjata Malaysia berjaya menghalau pemberontak keluar dan mendirikan kem sejak itu.
Tentera di pos kawalan di pintu masuk Kampung Tanduo di Felda Sahabat. - Gambar The Malaysian Insider oleh Zainal Abdul Halim, 13 Julai, 2013.Tetapi Mahmud berpendapat pasukan itu masih belum cukup untuk berhadapan dengan serangan balas dendam. Penduduk kampungnya percaya pemberontak itu menyorokkan senjata apabila merasakan tidak boleh menang pertempuran dengan pasukan bersenjata Malaysia dan mereka kemudian meresap ke dalam populasi penduduk.
Penduduk kampung kini percaya mereka ini akan kembali menyerang. Polis mungkin berkongsi kebimbangan sama.
Pada Mac, seorang pemimpin kanan polis menyatakan kebimbangan mengenai pemberontak Sulu berkemungkinan menanam senjata mereka dan meresap ke dalam penduduk kampung.
Bercakap dengan syarat namanya dirahsiakan pegawai polis itu memberitahu pengganas Sulu tahu pada ketika itu mereka berada di pihak kalah dan mungkin membuat keputusan bersembunyi sehingga situasi tenang.
“Terdapat kemungkinan besar mereka akan memulakan perang gerila sebaliknya untuk berhadapan dengan pasukan lebih kuat.
“Pencerobohan Lahad Datu memberi indikasi berlawan satu lawan satu dengan pihak berkuasa Malaysia akan menemui jalan gagal kerana pasukan mereka lebih kecil dan kurang bersenjata.
“Sebab itu, pihak berkuasa bimbang sebaik sahaja situasi tenang dan majoriti tentera pulang ke berek, pemberontak Sulu yang masih ada akan melancarkan serangan gerila.”Pos tentera kelihatan di depan pintu masuk Kampung Tanduo di Felda Sahabat. - Gambar The Malaysian Insider oleh Zainal Abdul Halim, 13 Julai, 2013.
The Malaysian Insider melawat Kampung Tanduo dan mendapati tentera ditempatkan di situ bagi menghalang pengganas Sulu kembali menjadikan kampung itu sebagai kubu mereka.
Tentera tidak mahu memberi maklumat apabila ditanya tentang misi mereka, hanya menyatakan mereka ditempatkan di sana selama-lamanya dan penduduk asal dihalang daripada kembali.
Mahmud mengatakan terdapat pasukan kecil tentera ditempatkan di tepi pantai di Tanjung Batu tetapi menyatakan kebimbangan beliau mereka mungkin tidak dapat menangkis penceroboh.
“Kami mahu kerajaan tempatkan lebih ramai tentera di kawasan ini dan tingkatkan keselamatan. Pada ketika ini hanya tentera mengawal keselamatan dalam kawasan dan polis tidak meronda di sini.”
Difahamkan kerajaan sedang berunding dengan Felda untuk memindahkan penduduk Kampung Tanduo ke lokasi lain.
Pencerobohan Lahad Datu berlaku pada Febuari tahun ini apabila lebih 200 pemberontak bersenjata mendarat menggunakan bot dari Pulau Simunul, Tawi-Tawi di Selatan Filipina.
Mereka mendakwa sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara dipimpin oleh Agbimuddin, adik kepada lelaki mendakwa dirinya Sultan Sulu, Jamalul Kiram III.
Agbimuddin mengatakan mereka mahu menyelesaikan pertikaian Filipina terhadap kawasan wilayah timur Sabah.
Pertempuran bermula pada 1 Mac diantara pasukan keselamatan Malaysia dengan pemberontak bersenjata menyaksikan sembilan rakyat Malaysia dan 56 penceroboh terbunuh. Terdapat enam kematian membabitkan orang awam.
Pihak berkuasa mengatakan Agbimuddin dilaporkan sudah kembali ke Filipina walaupun ini dinafikan oleh Jamalul dan pengikutnya.
Setakat ini, 29 lelaki dan wanita sudah didakwa dengan pelbagai kesalahan berhubung dengan pencerobohan termasuk melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agong, menjadi ahli, melindungi atau merekrut individu menjadi ahli kumpulan pengganas.
Pihak berkuasa juga menahan lebih 100 orang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma. Mereka yang tidak didakwa di mahkamah Malaysia kemudiannya dihantar pulang ke Filipina untuk berhadapan dengan pertuduhan di sana.
Mahmud mengatakan apabila pencerobohan berakhir, penduduk kampung yang tinggal kembali memulakan kehidupan di perkampungan ini, iaitu di mana terletaknya rumah mereka.
“Kami tidak mahu melaluinya sekali lagi, dan bimbang kehidupan biasa kami tergganggu sekali lagi.” 
OLEH LEE SHI-IAN

Tiada ulasan: