07 Julai : KOMENTAR: Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) bulan lalu memutuskan untuk menubuhkan makmal politik BN bulan depan khusus bagi membuat cadangan mengenai perubahan yang perlu dilakukan kepada gabungan itu.
Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata makmal berkenaan akan melihat sama ada perubahan itu melibatkan struktur, penjenamaan atau dasar BN atau ketiga-tiganya sekali.
Berdasarkan kenyataan Najib tersebut gabungan yang diasaskan pada 1983 itu dilihat sedang mengalami pergolakan yang meruncing.
Idea penubuhan makmal tersebut juga di lihat sebagai kemuncak kepada rasa tidak puas hati sebahagian besar dari 13 parti komponen BN terhadap domonasi Umno selama ini yang menerajui kerajaan.
Paling jelas MCA dan Gerakan yang merupakan gabungan terbesar komponen BN yang enggan menyertai kabinet Najib selepas tamatPRU13 lalu.
Reaksi dari tindakan MCA dan Gerakan ini, terdapat cadangan supaya BN menjadi parti tunggal. Parti tunggal tersebut bermaksud kesemua 13 parti komponen akan berada dibawah satu perlembagaan parti. Buat masa ini setiap parti mempunyai perlembagaan masing-masing dan cuma bergabung atas nama BN.
Persoalan asas yang harus ditanya adalah mengapa MCA dan Gerakan begitu berani mengambil jalan protes secara sinis terhadap Najib dan kepimpinan beliau?
Bagi Umno tindakan MCA disambut baik kerana banyak jawatan-jawatan dalam kabinet akan disapu oleh calon-calon Umno.
Sememangnya berdasarkan sejarah pun, Umno hanya akan mengadakan hubungan baik sekiranya ada kepentingan yang menguntungkan. PAS pernah mengalami pengalaman pahit tersebut.
Kini MCA dan beberapa parti komponen lain sedang merasai ‘nikmat’ dari tindakan Umno tersebut.
Sebelum ini MCA dan beberapa parti yang mewakili kaum Cina menjadi aset kejayaan BN dalam setiap PRU. Namun kini masyarakat Cina menjadikan Pakatan Rakyat sebagai kiblat politik dan penolakan mereka disebabkan MCA bersengkol dengan Umno.
Keputusan PRU13 yang menyaksikan hampir 90 peratus masyarakat Cina menolak BN adalah jawapan kepada tindakan MCA tersebut.
Amalan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa dikalangan pemimpin-pemimpin serta tindakan Umno yang menggunakan sentimen perkauman, agama dan ala samseng menjadikan orang Cina merasa takut, tersinggung dan tersisih.
Bayangkan bekas perdana menteri yang suatu ketika dahulu dihormati oleh masyarakat Cina, Tun Dr Mahathir Mohamad berani membuat kenyataan bersifat perkauman bertujuan menyelamatkan Umno dari kalah dalam PRU13 lalu. Ironisnya apatah lagi ‘sifat pendam’ pemimpin-pemimpin Umno sekarang yang sedang bergelut dalam survival politik semasa.
Amalan rasuah dan kronisme dalam Umno juga menjadikan orang-orang Cina terpinggir dari sudut agihan kekayaan ekonomi negara walaupun mereka merupakan golongan pengusaha yang gigih.
Dalam asas politik mudah, usaha menawan hati rakyat bukanlah terlalu kronik. Rakyat hanya mahukan nasib mereka terbela dengan keperihatinan kerajaan terhadap nasib mereka.
Rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan resisme pula adalah musuh sebenar rakyat terhadap kerajaan.
Kerajaan yang perihatin pula bermaksud usaha kerajaan untuk mengurangkan sebaik mungkin bebanan yang di tanggung rakyat selain pengurusan agihan kekayaan negara dilakukan secara telus dan adil.
Umno-BN gagal melaksanakan amanah ini. Lantaran itulah keputusan PRU13 lalu Umno-BN hanya mencatatkan 47 peratus undi popular.
Umno Tidak Demokratik
Walaupun pembentukan BN telah berusia 40 tahun namun dalam tempoh tersebut BN terus mempertahankan wadah politik perkauman. Sedangkan pola politik dunia dan politik dalaman sedang melalui era politik baru yang berteraskan keadilan sejagat.
Umno-BN lebih tertekan apabila menyaksikan politik baru Pakatan yang semakin mendapat perhatian rakyat pelbagai kaum khususnya masyarakat Cina. Asas kejayaan ini berkiblat kepada politik pelbagai kaum yang membelakangkan dasar-dasar rasisme.
PKR yang terdiri dari parti pelbagai kaum, DAP yang juga dianggotai masyarakat pelbagai kaum serta PAS yang telah membuka keahlian kehormat kepada masyarakat bukan Islam melalui kelab penyokong PAS adalah contoh politik baru yang memecah politik perkauman ala BN.
Gabungan PR yang baru berusia sepuluh tahun dan memperoleh kemenangan undi popular 51 peratus ketika PRU13 lalu setentunya menggerunkan BN yang berusia 40 tahun penubuhannya.
Umno pula bagaikan terperangkap apabila bercakap untuk mempertahan memperjuangkan hak orang melayu kerana akan menghiris perasaan orang Cina, India dan lain-lain kaum.
Begitu juga pemimpin MCA dan MIC yang bercakap mengenai mempertahankan hak kaum masing-masing akan menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu Umno. Senario dari dilema ini tidak mungkin berakhir selagi dasar politik perkauman ini tidak di pecahkan.
Sikap dayus Umno serta takut dengan bayang-bayang sendiri meletakkan parti tersebut ketinggalan zaman. Usaha untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan timbalannya dalam pemilihan Umno hujung tahun ini membuktikan parti usang tersebut hilang wajah demokratiknya.
Justeru bagaimanakah Najib dan Umno mampu melaksanakan solusi hasil bedah siasat yang diputuskan oleh Makmal politik BN nanti? Sedangkan kelayakan Najib menerajui Umno pun berasaskan dasar dayus Umno yang memperuntukan kuota 30 peratus sokongan untuk mencabar kedudukan presiden.
Makmal Umno Untuk Salahkan MCA dan Gerakan
Apa pun sudah lebih 56 tahun Umno berkuasa. Pelbagai dasar dan moto diperguna untuk penjenamaan semula Umno dan BN. Namun semuanya gagal. Berbilion ringgit telah digunakan untuk penjenamaan semula pemimpin-pemimpin Umno.
Dasar Pandang Ke timur di era Dr Mahathir bertukar kepada Islam Hadhari di zaman Tun Abdullah dan sekarang penjenamaam 1Malaysiadi era Najib. Semua ini sekadar ilusi untuk kaburi mata rakyat yang habuannya dikaut oleh segelintir kroni-kroni dan adik beradik.
Bulan ini makmal politik BN akan memulakan tugasnya. Setentunya makmal ini akan di terajui oleh pemimpin Umno … Dan paling teruja adalah makmal ini bertujuan melarikan isu kelemahan Najib yang gagal memberikan prestasi lebih baik kepada Umno-BN dalam PRU13 lalu.
Lalu keputusan makmal tersebut akan meletakkan kesalahan kepada MCA dan Gerakan yang gagal memastikan orang-orang Cina menyokong BN. Itulah Umno dan cara Umno sejak dahulu, kini dan selama-lamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan