Shah Alam 01 Julai : Rang Undang-undang berhubung pemilihan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan digubal Kerajaan Negeri tidak bercanggah mahupun melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, pihaknya mempunyai penasihat undang-undang negeri untuk mengkaji pelaksanaanya sebelum ia dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS) pada tahun depan.
Katanya, penggubalan rang undang-undang pemilihan ahli majlis itu juga sama sekali berbeza dengan undang-undang pilihan raya di majlis PBT.
“Penasihat undang-undang negeri akan menggubal rang undang-undang pemilihan ahli majlis PBT ini dengan cara di mana ia tidak bercanggah atau melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kerajaan Tempatan.
“Penasihat ini juga akan sedaya upaya menggubal undang-undang mengikut kehendak Kerajaan Negeri. Saya ada keyakinan ke atas mereka,” katanya ketika ditemui selepas sesi DNS, di sini hari ini.
Terdahulu, Teng ketika menjawab pertanyaan lisan daripada R Rajiv (DAP-Bukit Gasing) berhubung pilihan raya Kerajaan Tempatan.
Katanya, pilihan raya tersebut adalah suatu proses untuk mengembalikan hak demokrasi kepada rakyat di negeri ini.
Sebelum ini, Teng dilaporkan berkata pilihan raya tempatan pertama negeri itu akan dilaksanakan sebelum penghujung tahun depan.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam kenyataannya mendakwa Kerajaan Negeri Selangor tidak boleh mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan pertama kerana ia bertentangan dengan Perkara 95A-95 E, Perlembagaan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan