SPECIAL ADS

9 Julai 2013

Skandal KLIA2: Usah terus berdolak-dalik

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengulangi gesaan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bebas supaya rakyat mendapat kebenaran mengenai kedudukan projek KLIA2.

Menurutnya, jika Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menganggap tidak pernah bersalah, mereka patut setuju dengan cadangan PR itu.

“Siasatan itu akan membuktikan kepada semua bahawa mereka menjalankan tanggungjawab secara telus dan cekap. MAHB sepatutnya berani jika mereka benar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menegaskan jaminan Hishammuddin bahawa KLIA2 sedia beroperasi pada 2 Mei 2014 kurang menyakinkan dan keengganan beliau dan MAHB menubuhkan jawatankuasa siasatan membuktikan ‘ada udang di sebalik batu’.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan KLIA2 akan sedia beroperasi selewat-lewatnya 28 Jun ini walaupun kerja pembinaan akan siap pada Mei, sebulan sebelum pelancarannya.

“Sikap berahsia MAHB dan Hishammuddin menunjukkan bahawa segala jaminan yang diberi adalah kosong dan ada isu besar yang ingin dikuburkan supaya rakyat tidak mengetahui kebenaran atau pihak bersalah tidak dikenakan hukuman.

“Bukan sahaja KLIA2 tidak dapat dilancarkan pada bulan lalu, projek itu juga ditunda selama setahun akibat pembinaan yang lewat.

“Kalau jaminan PM pun tidak boleh dipakai, rakyat tidak mungkin dapat menerima jaminan Menteri Pengangkutan bulat-bulat.

Pua turut mengkritik tindakan MAHB yang tidak mengakui kesalahan sendiri tapi menyalahkan pihak lain di atas ketidakcekapannya menguruskan projek KLIA2.

“Ketidakcekapan pengurusan projek itu menyebabkan penundaan berkali-kali tarikh penyiapan projek itu sejak September 2011, lebih kurang dua tahun lalu.

Minggu lalu, Pengurus Besar MAHB, Datuk Azmi Murad menyalahkan AirAsia, Jabatan Penerbangan Awam dan UEM-Bina Puri JV kerana berkeras dalam permintaan mereka untuk sistem bagasi automatik, satu menara kawalan baru dibina dan kelewatan pembinaan.

“Semua pihak menafikan tuduhan MAHB itu, tapi perkara yang paling penting percanggahan antara penundaan selama setahun dan kadar penyiapan pembinaan yang dikatakan sudah mencapai 93 peratus.

“Jika KLIA2 sudah mencapai 93 peratus, mengapa memerlukan setahun lagi baru dapat dilancarkan? Mengapa kontraktor lain untuk menara kawalan, kawalan persinggahan kapal terbang dan juga landasan penerbangan masih belum siap tidak dibangkitkan,” soalnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: