KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak konsisten untuk memansuhkan Akta Hasutan.
“Sejak tahun lalu Najib menyatakan usahanya untuk memansuhkan akta ini digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional,” kata Nurul Izzah dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN.
Katanya, Najib dilihat bercanggah dengan pendirian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyelar pihak yang mahu akta tersebut dimansuhkan.
Zahid baru-baru ini berkata, pemansuhan Akta Hasutan menyebabkan agama Islam, kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan hak keistimewaan oang Melayu dicabar.
“Akta ini hanya senjata politik dan bukan alat untuk pelihara hak rakyat Malaysia. Jelas sekali Akta Hasutan akan menghakis legitimasi demokrasi kerajaan,” katanya.
Nurul Izzah berkata, undang-undang sedia ada mencukupi antaranya Seksyen 505 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mampu menangani isu yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Tambahnya, Akta Hasutan yang diwujudkan penjajah British pada 1948 mempunyai peruntukan yang menyekat hak perlembagaan dan kebebasan bersuara rakyat Malaysia.
Malah, laras, terma dan liputan bahasa yang digunapakai terlalu luas dan berpotensi disalahguna pemerintah.
“Kerajaan sewajarnya mengambil kira ‘kehendak rakyat majoriti’ dan ‘kehendak politik’ untuk memulihkan demokrasi. Bukannya mengambil akta anti demokratik,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan