SPECIAL ADS

12 Julai 2013

UMNO tak perlu takutkan IPCMC - Azmin

UMNO tak perlu takutkan IPCMC - Azmin
Kuala Lumpur 12 Mei : Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya takut dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana pasukan polis sememangnya perlu menjawab kepada rakyat, kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, hari ini.
Dalam kenyataan media hari ini, Azmin mendakwa rakyat berhak untuk tahu kebenaran kerana pasukan polis dibayar oleh wang cukai rakyat, malah penubuhan IPCMC dilihat mampu untuk mengembalikan dan memperkukuh ketelusan imej polis yang tercalar akibat pelbagai kontroversi.
"Pasukan polis dibayar menerusi wang cukai rakyat dan mesti menjawab kepada rakyat.
"Umno dan BN tidak perlu takut dengan suruhanjaya itu (IPCMC), ia sebaliknya akan memulihkan semula imej pasukan polis. Ini adalah baik untuk rakyat," katanya.
Azmin juga membidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa penubuhan IPCMC adalah berlawanan dengan konsep keadilan sebagai tidak masuk akal.
"Prinsip semulajadi keadilan adalah seseorang tidak boleh diadili untuk tujuan kepentingannya.
"Keadilan tidak hanya boleh dilaksanakan, tapi harus dilihat ia dilaksanakan," katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Gombak itu juga mempersoalkan keadilan dan ketelusan jika polis menyiasat sendiri anggota polis yang bersalah kerana tiada jaminan untuk keadilan bagi mangsa.
"Orang ramai tidak akan dapat lihat keadilan dilaksanakan," katanya.
Sehubungan itu, Azmin mendesak kerajaan supaya tidak melengahkan lagi pelaksanaan IPCMC dan menubuhkannya secepat mungkin bagi mengelak berlaku lagi banyak salah laku membabitkan pasukan polis.
IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh Suruhanjaya Diraja yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah tetapi ditentang oleh polis.
Kumpulan hak asasi manusia Suaram juga mengatakan terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes itu berlaku pada 2012.
Majlis Peguam, kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik dari kerajaan dan pembangkang mendesak IPCMC ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis sejak 2006.
- TMI

Tiada ulasan: