04 Jan : Semalam berlaku satu lagi insiden yang dilihat bakal menajamkan lagi salah faham di antara penganut pelbagai agama di Malaysia apabila sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dibantu oleh anggota polis telah menyerbu pejabat Bible Society of Malaysia (BSM) di Damansara Kim.
Menurut laporan media, dalam serbuan tersebut JAIS telah merampas 300 naskah Al-Kitab yang merupakan kitab Injil dalam Bahasa Melayu dan juga Bup Kudus, kitab Injil dalam Bahasa Iban.
Serbuan oleh JAIS ini telah mengundang kemarahan dari kalangan pemimpin agama Kristian dan juga aktivis hak asasi dan pengamal undang-undang di mana JAIS di dakwa telah melanggar hak kebebasan beragama yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan di samping JAIS sendiri bertindak di luar dari bidang kuasa yang ada padanya.
Bagaimanapun JAIS di dalam respons balasnya menegaskan bahawa serbuan tersebut adalah sah di sisi undang-undang dan JAIS mempunyai kuasa untuk berbuat demikian memandangkan serbuan dan rampasan kitab Injil tersebut di buat berdasarkan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 (Enakmen 1 Tahun 1988) (selepas ini dirujuk sebagai Enakmen sahaja) oleh kerana kitab Injil yang dirampas tersebut menggunakan kalimah Allah yang dilarang penggunaannya oleh penganut agama lain sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Enakmen tersebut.
Tulisan ringkas ini tidak bermaksud untuk meyemarakkan lagi kemarahan mana-mana pihak. Tetapi tulisan ini akan memberi analisa ringkas secara objektif dan rasional terhadap undang-undang yang didakwa digunakan oleh JAIS bagi menjustifikasikan tindakannya menyerbu premis milik BSM dan seterusnya merampas kitab-kitab Injil yang disimpan di premis tersebut.
Pertamanya, harus difahami bahawa Enakmen tersebut yang digunakan oleh JAIS adalah suatu enakmen yang telah diperbuat dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sejak tahun 1988 lagi.
Enakmen ini adalah selaras dengan peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa undang-undang negeri boleh diadakan untuk MENGAWAL atau MENYEKAT pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang yang menganut agama Islam.
Dalam hal ini, bukan hanya negeri Selangor sahaja yang mempunyai undang-undang seperti ini. Kebanyakan negeri-negeri di Malaysia (kecuali Wilayah Persekutan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak) juga mempunyai undang-undang yang sama yang diluluskan oleh badan perundangan negeri masing-masing.
Sungguhpun demikian kandungan peruntukan enakmen ini tidaklah sama meskipun mempunyai hasrat dan semangat yang sama iaitu untuk mengawal dan seterusnya menghalang sebarang bentuk penyebaran iktikad agama-agama lain ke atas penganut agama Islam.
Seterusnya, pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan serbuan JAIS ini menghujahkan bahawa JAIS telah bertindak di bidang kuasanya dan dengan itu serbuan dan rampasan kitab Injil yang dibuat adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang (illegal).
Dalam menilai hujah ini dalam konteks peruntukan Enakmen tersebut, terdapat dua perkara yang perlu diteliti, iaitu: (1) Apakah JAIS mempunyai bidangkuasa untuk menguatkuasakan atau menjalankan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di dalam Enakmen tersebut?; dan (2) Adakah menerbitkan, memiliki atau menyimpan kitab Injil yang mengandungi kalimah Allah adalah suatu kesalahan di bawah Enakmen tersebut?
Bagi menjawab soalan samada JAIS mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan apa-apa kuasa atau tindakan dibawah Enakmen tersebut, kita perlu melihat peruntukan khusus di dalam Enakmen tersebut.
Di dalam Seksyen 12 Enakmen tersebut yang berkaitan dengan kuasa untuk menyiasat dan menangkap, dinyatakan bahawa “Pegawai bertauliah boleh menyiasat apa-apa kesalahan di bawah Enakmen ini dan boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan mana-mana kesalahan itu”.
Jelas bahawa Seksyen 12 ini tidak memberikan JAIS atau pegawai-pegawainya kuasa secara automatik menjalankan kuasa siasatan dan tangkapan bagi maksud kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen ini. Tetapi yang diberikan kuasa ialah “Pegawai Bertauliah”. Isunya sekarang siapakah dia yang dimaksudkan dengan ‘Pegawai Bertauliah’ ini dan siapa pula yang berkuasa melantik “Pegawai Bertauliah” tersebut?
Di dalam Seksyen 2 (Tafsiran) bagi Enakmen tersebut, “Pegawai bertauliah” ditafsirkan sebagai “pegawai awam yang bertauliah di bawah Seksyen 10 supaya menjalankan kuasa-kuasa pegawai bertauliah di bawah Enakmen ini”.
Seksyen 10 Enakmen pula memperuntukkan “Raja Dalam Mesyuarat boleh secara bertulis mentauliahkan mana-mana pegawai awam supaya menjalankan kuasa-kuasa pegawai bertauliah di bawah Enakmen ini”.
Berdasarkan Seksyen 2 dan Seksyen 10 ini, ‘Pegawai Bertauliah’ yang boleh menjalankan penguatkuasaan Enakmen ini hendaklah dari kalangan pegawai awam dan yang berkuasa membuat perlantikan Pegawai Bertauliah ini ialah Raja atau Sultan bagi negeri Selangor.
Harus diingat Istilah ‘pegawai awam’ tidak ditakrifkan di dalam Enakmen ini. Bagaimanapun dengan merujuk kepada Akta Tafsiran 1967 (Akta 388), pegawai awam atau ‘public officer’ ditakrifkan sebagai ‘a person lawfully holding, acting in or exercising the functions of public office”.
Dengan melihat kepada peruntukan Seksyen 2 dan 10 Enakmen ini, apa yang jelas ialah meskipun JAIS adalah sebuah jabatan kerajaan yang termasuk di dalam kategori perkhidmatan awam (public services) sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 132(1)(g) Perlembagaan Persekutuan, namun ianya tidak bermaksud JAIS di atas kapasitinya sebagai sebuah jabatan kerajaan boleh terus dianggap sebagai ‘Pegawai bertauliah’ yang berkuasa untuk menjalankan siasatan dan tangkapan di bawah Enakmen ini.
Merujuk kepada Seksyen 2 dan 10, perlantikan ‘Pegawai bertauliah’ di bawah Enakmen ini hendaklah dibuat atas kapasiti peribadi atau jawatan yang disandang dengan syarat orang yang dilantik hendaklah dari kalangan pegawai awam. Ini sebenarnya adalah bertepatan dengan peruntukan Seksyen 96 Akta Tafsiran 1967.
Ini bermakna, dari segi undang-undang kesemua pegawai-pegawai penguatkuasa JAIS dan anggota polis yang datang menyerbu premis milik BSM di Damansara Kim semalam hendaklah setiap seorang dari mereka memiliki tauliah perlantikan bagi membolehkan mereka menjalankan kuasa-kuasa di bawah Enakmen tersebut.
Sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini, menjawat jawatan sebagai pegawai JAIS atau pegawai polis tidak secara automatik membolehkan pegawai JAIS atau anggota polis ini menjalankan serbuan ke atas premis BSM tersebut.
Oleh yang demikian, tindakan JAIS semalam hanya boleh dianggap tidak sah dan berlawanan dengan undang-undang sekiranya berjaya dibuktikan pegawai-pegawai JAIS yang terlibat dengan serbuan semalam tidak dilantik dengan sempurna sebagai Pegawai bertauliah menurut Seksyen 10 Enakmen tersebut.
Berhubung dengan persoalan kedua iaitu adakah memiliki dan menyimpan kitab Injil yang mengandungi kalimah Allah adalah suatu kesalahan di bawah Enakmen tersebut, Presiden kepada Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), Jagir Singh di dalam kenyataannya kepada portal The Malaysian Insider hari ini menyatakan bahawa tindakan serbuan oleh JAIS adalah melanggar hak kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Tambah beliau lagi naskah kitab Injil yang dirampas adalah hanya untuk kegunaan penganut Kristian dan tidak bertujuan untuk digunakan bagi menyebarkan ajaran Kristian kepada penganut agama Islam di Selangor (lihat laporan bertajuk “Selangor Islamic authorities wrong to seize Bibles, say lawyers, non-Muslim Group” bertarikh 4 Januari, 2013 di dalam portal The Malaysian Insider).
Dalam hal ini sekali lagi kita harus merujuk kepada peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen tersebut untuk melihat apakah peruntukan kesalahan yang berkemungkinan besar digunakan JAIS yang membawa kepada serbuan tersebut.
Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan JAIS sebelum ini, penulis percaya JAIS menggunakan Seksyen 9 Enakmen tersebut yang memperuntukkan “kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumber Islam”. Seksyen 9 menyatakan :
(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia:
(a) dalam apa-apa tulisan yang diterbitkan; atau
(b) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan awam; atau
(c) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang ditujukan kepada mana-mana perhimpunan orang; atau
(d) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang diterbit atau disiarkan dan yang pada masa ucapan atau pernyataan itu dibuat dia tahu, atau munasabahnya patut tahu ianya akan diterbitkan atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang disenaraikan dalam Bahagian I kepada Jadual, atau apa-apa perkataan terbitan atau variasinya, untuk menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu ugama bukan Islam.
(2) Seseorang yang tidak berugama Islam adalah melakukan suatu kesalahan jika dia, dalam hal keadaan yang dinyatakan dalam seksyen kecil (1), menggunakan mana-mana perbahasan yang disenaraikan dalam Bahagian II kepada Jadual, kecuali sebagai petikan atau rujukan.
(3) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen kecil (1) atau (2) boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.
(4) Raja dalam Mesyuarat boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, meminda Jadual.
Secara ringkasnya, meskipun seseorang itu menerbitkan apa-apa tulisan yang menggunakan mana-mana perkataan yang dilarang di dalam Bahagian I kepada Jadual di dalam Enakmen tersebut bukan dengan tujuan untuk menyebarkan ajaran agama lain kepada penganut agama Islam, ianya tetap dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Enakmen ini yang membawa hukuman maksimum denda seribu ringgit.
Dalam kes serbuan oleh JAIS ini, serbuan dan rampasan ke atas naskah kitab Injil tersebut dibuat kerana di dalam naskah tersebut terdapat perkataan Allah yang telah sedia disenaraikan di dalam Jadual I kepada Enakmen tersebut sebagai antara “Perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan ugama bukan Islam”.
Jadual 1 ini adalah sebahagian dari Enakmen dan kalimah Allah ini rupanya telah dilarang untuk digunakan oleh penganut agama bukan Islam sejak dari tahun 1988 lagi.
Berdasarkan kepada fakta di atas, alasan bahawa naskah-naskah kitab Injil tersebut adalah ekslusif kepada penggunaan di kalangan penganut Kristian sahaja untuk upacara ibadat mereka nampaknya tidak boleh menyelamatkan BSM dari penguatkuasaan Enakmen ini.
Namun, sekiranya berlaku pendakwaan ke atas BSM atau pemegang-pemegang jawatan di dalamnya kelak, pihak pendakwa harus membuktikan bahawa naskah kitab Injil yang dirampas adalah diterbitkan oleh BSM. Sekadar memiliki atau menyimpan naskah Injil tersebut biarpun dalam kuantiti yang banyak tidak merupakan suatu kesalahan yang boleh di dakwa di bawah Enakmen tersebut.
Kesimpulan yang boleh dibuat terhadap kedua-dua persoalan pokok yang diajukan di atas untuk melihat samada tindakan JAIS itu bercanggah dengan undang-undang nampaknya tidak boleh ditentukan secara melulu kerana terdapat perkara-perkara yang memerlukan penelitian lanjut.
Penulis percaya sekiranya tindakan JAIS ini dicabar di mahkamah atau pendakwaan dijalankan ke atas BSM di bawah Enakmen ini, barulah dapat ditentukan secara tuntas samada tindakan JAIS ini berlanggar dengan undang-undang atau pun tidak.
Hal seterusnya yang juga menarik untuk dilihat ialah mahkamah manakah yang mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes-kes yang didakwa dibawah Enakmen ini.
Memandangkan intipati utama Enakmen ini adalah berkaitan dengan kesalahan menyebarkan iktikad atau kepercayaan agama lain kepada penganut agama Islam, maka logiknya sudah tentulah kesalahan tersebut dilakukan oleh orang bukan Islam.
Dalam hal ini, Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidangkuasa ke atas mereka yang menganut agama Islam sahaja. Oleh itu, tentulah kesalahan di bawah Enakmen ini adalah di bawah bidang kuasa mahkamah sivil untuk membicarakannya. Tambahan pula terdapat kesalahan-kesalahan di dalam Enakmen ini yang membawa hukuman maksimum melebihi dari had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah.
Contohnya, jika seseorang itu disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 4 Enakmen tersebut, dia boleh dijatuhkan hukuman penjara untuk tempoh tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau keduanya sekali.
Jika dilihat dari kuantum hukuman yang boleh dijatuhkan dibawah Enakmen ini, adalah jelas ianya diluar bidangkuasa Mahkamah Syariah memandangkan Mahkamah Syariah hanya boleh mengenakan denda maksimum setakat RM5,000 sahaja berdasarkan peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965.
Akhir sekali, adalah menarik juga untuk dikaji kes-kes pendakwaan yang pernah dibuat berdasarkan Enakmen ini atau enakmen-enakmen yang seumpanya yang dikuatkuasakan di lain-lain negeri.
Setakat kajian yang dibuat, hanya sekali sahaja pendakwaan pernah dibuat berkait dengan kesalahan menyebarkan ajaran agama lain ke atas penganut agama Islam iaitu kes yang berlaku di negeri Pahang pada tahun 2002.
Di dalam kes tersebut iaitu kes Pendakwaraya v. Krishnan a/l Muthu dimana Orang Kena Tuduh (OKT) telah didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 4(2)(i) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Negeri Pahang 1989 kerana telah memujuk dan memaksa seorang wanita beragama Islam untuk memeluk agama Hindu.
Di dalam kes ini, OKT telah djatuhkan hukuman penjara selama 20 hari dan denda sebanyak RM1,500 (lihat kertas kerja bertajuk “Undang-Undang Kawalan Penyebaran Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam – Satu Penilaian Selepas 50 Tahun Perlembagaan Persekutuan” yang ditulis oleh Dr Nurhafilah Musa, Pensyarah Fakulti Undang-Undang UKM untuk dibentangkan di dalam Persidangan Tuanku Jaafar pada 2007).
Sesungguhnya, insiden yang berlaku ini akan sekali lagi menguji kematangan rakyat Malaysia dalam menghadapi polemik yang terbit dari perkara yang amat sensitif, iaitu hal yang menyangkut persoalan agama.
Meskipun penulis mengupas dari aspek undang-undang, penulis percaya penyelesaian yang ada bukan hanya melalui kaedah penguatkuasaan undang-undang semata-mata. Yang lebih utama ialah ialah perlunya wujud sesi perundingan dan dialog bagi mengendurkan ketegangan yang terbit dari isu-isu yang sensitif sebegini.
Islam adalah agama rahmat dan tidak memulakan permusuhan terhadap mana-mana agama. Harapnya apa jua tindak tanduk penganutnya adalah juga berpaksikan kepada intipati ajaran Islam itu sendiri. TMI
Oleh : Abdullah Abdul Karim. (Penulis adalah graduan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada masa ini beliau adalah Presiden kepada NGO Persatuan Jaringan Siswazah Malaysia)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan