SPECIAL ADS

4 Februari 2014

BN ketandusan calon menyaingi Anwar di Kajang, kata penganalisis

Kredibiliti Anwar yang pernah menyandang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan menaikkan persoalan siapa dapat menyaingi Anwar sebagai calon BN. – Gambar fail.
05 Feb : Penganalisis politik berpendapat Barisan Nasional (BN) ketandusan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat (PR). 
Prof Madya Dr Shaharudin Badaruddin dari Universiti Teknologi Mara berkata, BN juga tidak mampu menyaingi kehebatan Anwar yang pernah menyandang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan satu ketika dahulu.
“Adakah mereka memiliki calon yang berkredibiliti untuk menandingi pengaruh Anwar? Tokoh Umno sedia ada sudah memiliki kerusi Parlimen atau negeri, maka siapa orang Selangor yang boleh menentang Anwar?" katanya kepada The Malaysian Insider.
“Di situ sahaja cukup untuk dilihat, bukan soal ketandusan. Anwar punyai kredibiliti antarabangsa, pernah memegang jawatan timbalan perdana menteri dan masih aktif dalam politik, maka dengan sendiri dalam konteks PRK, mereka buntu meletakkan calon."
Shaharudin berkata, jika BN masih buntu untuk meletakkan calon, adalah lebih baik untuk tidak menyertai PRK itu bagi mengelakkkan isu nasional yang akan dimainkan Pakatan.
Katanya, momentum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang masih dirasakan, belum mampu mengubah pendirian kaum Cina yang dilihat cenderung menyebelahi Pakatan.
“Jika buntu, lebih baik tidak bertanding kerana jika BN letakkan calon, sudah tentu timbul isu nasional yang tidak dapat dielakkan.
“Baru 9 bulan (selepas) PRU13, maka agak sukar mood pengundi Cina beralih dan mereka memerlukan masa. Kalau MCA bertanding, undi Cina pergi ke Pakatan, sudah pasti sukar MCA mendapat undi di sana,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata, kemelut Umno dan MCA yang mahu meletakkan calon masing-masing dilihat bagi parti paling lama memerintah negara itu untuk membuat keputusan.
Katanya, selain masalah calon, BN juga perlu berdepan dengan isu kenaikan harga barang yang setakat ini masih gagal ditangani oleh parti pemerintah itu.
“Sama ada ketiadaan calon yang jelas untuk dipertandingkan atau perebutan parti komponen dalam Umno dan MCA, kerana kawasan itu mempunyai jumlah pengundi Melayu yang hampir sama dengan pengundi Cina.
“Pemilihan waktu ini untuk mengadakan PRK dilihat lebih menguntungkan Pakatan sebagai pembangkang dalam keadaan harga barangan masih tinggi, kos hidup semakin meningkat dan semuanya masih belum dapat ditangani dengan baik,” katanya.
Mohamad berkata apa juga keputusan yang diambil BN, parti gabungan itu pasti berdepan masalah sama ada dari segi calon atau keputusan untuk menyertai pilihan raya.
Katanya, atas sebab itulah BN lebih cenderung menggunakan taktik kelemahan dan kecurangan yang dilakukan oleh Pakatan.
“Mana-mana pilihan yang dibuat BN sama ada bertanding atau tidak mahu pun meletakkan calon dari MCA atau Umno, mesti membuahkan masalah. Tidak dapat dielakkan.
“Saya tak lihat ada penyelesaian. Ertinya PR sudah menjangkakan keadaan yang akan dihadapi BN. Oleh kerana itu dalam kempen BN yang saya lihat ia lebih tertumpu kepada kekurangan dan kecurangan PR,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff pula beranggapan barangkali Umno lebih mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk mengelakkan sebarang spekulasi di peringkat awal.
Katanya, calon yang mungkin ditonjolkan berkemungkinan dari kalangan profesional yang masih belum mendapat perhatian media.
“Mungkin mereka belum mengumumkannya dan ada yang terpengaruh dengan spekulasi. Kita sendiri tidak melihat siapa yang disembunyikan.
“Mungkin mereka munculkan di kalangan profesional yang kita tidak tahu. Masih terlalu awal untuk bercakap tentang calon. Tidak adil jika mengatakan MCA tiada calon,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Mohammad Agus berpendapat Umno tidak akan bertanding dalam PRK Kajang kali ini dan peluang seharusnya diberikan kepadda MCA.
Katanya, persepakatan yang diamalkan dalam BN menjadi kunci kekuatan parti itu dalam mengetengahkan calon mereka dalam pilihan raya kali ini.
“Saya tidak rasa Umno akan ambil kerusi ini. Apa pun spekulasi, BN akan tetap dengan prinsip kerjasama mereka. Jika MCA letak calon Cina, mungkin mereka yang beragama Islam atau di kalangan profesional.
“Dalam PRK Pengkalan Chepa dan Kota Bharu, selalu Umno bertanding tetapi mereka kalah. Perlukah lagi kita beri peluang di kawasan itu? Sama juga dengan MCA. Tidak adil ditanya dan dibahaskan,” katanya.
Sementara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim berkata BN sememangnya mempunyai calon, sama ada dari Umno, MCA atau MIC.
Katanya, kredibiliti BN dalam PRK kali ini tidak wajar dipertikaikan kerana parti dalam Pakatan sendiri tidak sepakat menyatakan persetujuan ketua pembangkang untuk bertanding di Kajang.
“Kita ada calon. Umno, MCA dan MIC masing-masing mempunyai calon.
“Prestasi Anwar jatuh kerana parti dalam Pakatan tidak sehaluan. PAS dan DAP tidak berpuas hati. Ada di antara wakil rakyat dan pemimpin PKR tidak berpuas hati dengan penyandang Adun Kajang, Lee Chin Cheh kerana meletakkan jawatan,” katanya.
Shahidan berkata PRK adalah satu pesta dosa kerana banyak perbuatan fitnah disebarkan dalam kempen PRK sehingga pihak yang diaibkan sudah tidak ada apa lagi yang dapat dirahsiakan.
“PRK pesta dosa besar. Jika muda-mudi buat pesta sosial, mereka buat dosa besar tetapi PRK lebih besar kerana dosa orang memfitnah lebih besar daripada membunuh.
“PRK tempat terkumpulnya pesta dosa yang hebat. Dosa ceramah maki hamun di luar batasan kemanusiaan. Mereka memaki orang sehingga tiada apa lagi yang boleh dilondehkan,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu turut melihat penampilan BN dalam PRK kali ini sebagai medan menguji kerajaan dalam beberapa isu yang sering dimainkan di Selangor.
“PRK kali ini, pengundi tidak lihat isu tetapi kehadiran kerajaan dengan fakta sama ada kerajaan mampu menstabilkan harga dan selesaikan beberapa isu besar seperti perkauman dan sengketa agama,” katanya. TMI

Tiada ulasan: