SPECIAL ADS

4 April 2014

Hudud: Tahniah MB Kelantan, Terengganu bila pula?

04 Apr - Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut baik kenyataan Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob bahawa kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) yang membawa kepada perlaksanaan hukum Hudud pada tahun 2015 nanti. 

Ianya berikutan kesediaan Kerajaan Pusat untuk memberi laluan kepada penguatkuasaan enakmen ini sebagaimana jawapan yang telah diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Parlimen baru-baru ini.

Malah dengan kesediaan Kerajaan Pusat ini, Pemuda PAS berpendirian tiada lagi alasan untuk kerajaan negeri Terengganu terus menangguhkan perlaksanaan kanun Hudud dan Qisas yang telah digazetkan oleh Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin setelah ianya dibentangkan oleh Kerajaan Negeri PAS Terengganu pada tahun 2000 yang lalu.

Ustaz Datuk Ahmad Yakob telah menyahut cabaran perlaksanaan Hudud di Kelantan. Bila pula Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akan melaksanakan Hudud di Terengganu?

Jangan sekadar lantang bersuara sehingga sanggup menggunakan Al-Quran untuk bersumpah mengenai urusan bola sepak sedangkan hukum Allah yang wajib dilaksanakan para pemimpin diabaikan.   

Malah Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan jika kerajaan Pusat berhasrat untuk meletakkan perlaksanaan undang-undang Hudud ini di bawah makmal transformasi jenayah yang telah ditubuhkan di bawah Pemandu JPM dengan menjadikan Kelantan dan Terengganu sebagai model perlaksanaannya.

Inilah masanya elemen syariah diperkenalkan untuk menangani permasalahan jenayah yang semakin serius.

Komitmen Menteri Besar Kelantan untuk melaksanakan hukum Hudud dengan membawa isu dan pindaan berkaitan melalui suatu bil persendirian ke Parlimen adalah satu langkah yang mencerminkan pendirian Tuan Guru Presiden dan PAS bahawa perlaksanaan Hudud akan melalui proses demokrasi.

Ianya juga sebagai ingatan kepada pihak ketiga termasuklah NGO Islam tertentu yang semacam mempersoal komitmen PAS kepada perlaksanaan Islam yang syumul dan meragui kedaulatan kerajaan negeri yang sebenarnya mempunyai ruang tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang Islam seperti hukum Hudud ini dengan kerjasama kerajaan Pusat.  

Dan sekadar satu cadangan kecil buat kerajaan negeri Kelantan agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai ahli-ahli parlimen yang dipertimbangkan untuk menaja bil persendirian tersebut ke Parlimen kelak.

Ini memandangkan Tuan Guru Presiden merupakan tenaga pemikir penting di sebalik penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. 

Penglibatan Ustaz Nik Abduh di dalam bil persendirian ini pula akan menjadi satu penghormatan simbolik kepada Tuan Guru Mursyidul Am dan mantan Menteri Besar Kelantan yang gigih memperjuangkan hukum Hudud berdepan segala kecaman dan ugutan.

Pemuda PAS siap bersedia untuk turun membantu menerangkan hukum Hudud yang akan dilaksanakan ini kepada rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat, wakil-wakil rakyat BN dan rakyat keseluruhannya. 

Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua untuk melihat tertegaknya hukum Allah di bumi Malaysia yang tercinta ini. HD

Tiada ulasan: