Kerajaan Negeri mempertahankan tindakan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) penyusunan semula industri air di Selangor bersama kerajaan pusat dengan jaminan tiada kenaikan kadar tarif air dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sekiranya penyusunan industri air tidak dilakukan, purata tarif air akan terus meningkat daripada RM1.39 untuk satu meter padu kepada RM3.83 berdasarkan perjanjian konsesi.
Katanya Kerajaan Negeri masih mempertahankan nilai RM1.39 untuk satu meter padu air sehingga kini dan menegaskan tidak berhasrat untuk mengenakan sebarang kenaikan bagi mengelakkan rakyat menanggung beban.
“Kalau kita tidak adakan penyusunan air, bererti purata tarif air pada 2008 iaitu RM1.39 satu meter padu akan dinaikkan kepada RM1.95, meningkat kepada RM2.38 seterusnya RM2.86 sehingga boleh mencecah RM3.83 (satu meter padu).
“Kita tidak mahu rakyat terima beban, sebab itu kita bertahan kepada nilai RM1.39 sehingga sekarang,” katanya.
Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) berhubung jaminan Kerajaan Negeri untuk melindungi hak rakyat Selangor dalam industri perkhidmatan air.
Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri bersama pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) akan cuba menyelesaikan isu penyusunan semula air secara profesional dan memberi sokongan antara satu sama lain.
Katanya penggunaan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 juga akan membolehkan proses pengambilalihan syarikat konsesi industri air di Selangor dapat disegerakan dan memberi laluan kepada projek loji rawatan air, Langat 2.
“Pihak kementerian dan Kerajaan Negeri akan cuba menyelesaikan perkara ini secara operasi bukannya politik bagi memastikan rakyat di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dapat menikmati perkhidmatan air secara terbaik dengan harga berpatutan.
“Perkara ini tidak menjadi isu kerana kita akan dapat menyelesaikan penyusunan industri air ini sesuai untuk rakyat Selangor seperti yang dijanjikan.
“Kita juga memberi jaminan untuk meneruskan pemberian air percuma kepada rakyat selangor, malah rakyat akan dapat memiliki kepentingan melalui penyusunan semula industri air ini,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan