MENTERI Zahid Hamidi daripada Kementerian Dalam Negara (KDN) bercadang mengenakan hukum sebat sebagai tambahan kepada undang-undang yang ada kepada pegawai-pegawai di kementeriannya yang disabitkan rasuah justeru bersepahnya PATI dalam negeri.
Itu terhadap pegawai. Apa pula jika menteri? Adakah hukuman yang sama? Di China, pesalah rasuah ada yang kena mati. Mungkin kita perlu potong telinga?
Apa pun tujuan hukum yang dicadangkan itu supaya tambah mengerikan pesalah atau bakal pesalah.
Undang-undang yang ada dirasakan tidak berkesan. Maka sebat dipercaya berkesan. Mungkinkah matlamatnya tercapai? Saya belum optimis akan kesan itu.
Kita telah ada hukum mati mandatori terhadap kesalahan mengedar dadah. Ketika ia mula diperkenalkan, dunia seluruhnya meluat akan hukuman yang keras itu. Sekarang hampir semua membuat hukuman serupa.
Sudah puluhan tahun hukum itu berjalan, adakah kesan yang dikehendaki itu tercapai? Perdagangan dadah dalam negeri bukan berkurangan, bahkan berganda. Kesan yang diharap tadi hanya jadi sangkaan.
Saya kira Zahid bersungguh bagi membendung kesalahan iu, tetapi saya masih harap tidak, percaya pun kurang.
Menteri Zahid adalah keluaran pengajian Islam. Kita diajar, manusia hanya dibenarkan membuat undang-undang yang tiada jelas undang-undang Allah mengenainya seperti undang-undang trafik, denda berak tengah jalan dan lain-lain.
Tetapi apabila ada undang-undang Allah tentang sesuatu, undang-undang manusia tidak terpakai. Undang-undang Allah ada keras dan ada fleksibal. Undang-undang manusia juga ada keras, ada kendur. Undang-undang Allahlah yang adil dan berkesan dalam serba serbi atas jenayah yang sama.
Ada pun manusia itu makhluk, maka ia tidak memberi bekas dan tidak berkesan termasuklah hukum dan undang-undang yang difikirnya.
Hikmat hukum keras dan sebaliknya adalah bagi mendatangkan gerun kepada semua. Yang menjadikan hati manusia gerun dan ngeri bukan undang-undang, tetapi Allah yang memasukkan kegerunan itu dalam hati manusia. Tidak semua hukum Allah itu dilihat keras seperti bunuh, potong tangan, mencedera dibalas mencedera dan lain-lain.
Justeru undang-undang itu maha adil, hukum lembut pun dirasa gerun oleh pesalah. Contohnya kita curi al-Quran dari masjid. Naskahnya banyak, dicuri satu tak jadi apa-apa. Kerana ia dicuri, semalaman kita payah tidur kerana Allah datangkan rasa takut di hati. Kita pun pulangkan. Kerana kita memerlukannya, kita minta izin dari masjid.
Quran dan hadis tidak memperincikan semua kesalahan dan hukumnya. Kesalahan menyeludupkan PATI oleh pegawai tidak ada. Tetapi apabila undang-undang Islam itu terpakai, ulama berijtihad menentukan fekahnya. Akan adalah jalan keluar atas kesalahan PATI itu. Jika ijtihad itu tepat dapat dua pahala. Jika tidak tepat satu saja pahalanya.
Kerana yang berjalan adalah kanun Islam, Allah permudahkan kesan dan penyelesaiannya. Jika yang berjalan adalah peraturan manusia, maka Allah tidak limpahkan keberkatan dan keamanan walau segerun mana sekalipun hukumnya.
Hukum mati kepada pengedar dadah adalah contohnya. Jika pengedar disabitkan dihukum mati, lepas itu dia hidup semula. Nescaya dia mengedar dadah lagi.
Saya komen cadangan Zahid sebab dia mencari kesan daripada undang-undang manusia yang dia diamanahkan menanganinya. Payah saya hendak memikirkan dia akan beroleh kesan yang dicarinya kerana kesan itu hanya anugerah Allah. Wallah wa’lam.
Subky Latif
Tiada ulasan:
Catat Ulasan