SPECIAL ADS

24 April 2013

Kerahsiaan Undi?


24 Apr : Dikeluarkan oleh : Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda PAS Malaysia.

 1) TAHUKAH ANDA : Selepas daripada pindaan yang dibuat pada tahun 2006 ke atas Peraturan 19 (3) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981, undi kita adalah cukup terjamin dari segi kerahsiaan. Tiada siapa yang boleh tahu siapa atau parti mana yang kita undi.

Sebelum tahun 2006, apabila seseorang pengundi itu mengambil Kertas Undi dari kerani SPR yang bertugas di bilik mengundi, Peraturan 19 (3) mewajibkan kerani SPR tersebut untuk menulis nombor pengundi menurut turutan sebagaimana di dalam senarai Daftar Pemilih, di atas kaunterfoil Kertas Undi tersebut. Setiap Kertas Undi yang diserahkan kepada pengundi mempunyai nombor siri masing-masing di mana nombor siri yang sama juga tertulis di dalam kaunterfoil Kertas Undi. Kertas Undi diserahkan kepada pengundi untuk dipangkah manakala kaunterfoil Kertas Undi tersebut akan disimpan oleh SPR untuk tujuan melihat sebanyak manakah Kertas Undi yang telah dikeluarkan.

Ini bermakna, untuk mengetahui undi seseorang adalah tidak sukar dan boleh dilakukan dengan mengambil Kertas Undi tersebut dan membandingkannya dengan Kaunterfoil Kertas Undi tersebut. Memandangkan di atas Kaunterfoil telah ditulis nombor pengundi oleh Kerani SPR., maka secara automatik akan diketahui siapakah yang diundi oleh pengundi terbabit.

Namun, selepas pindaan yang dibuat pada tahun 2006 hasil desakan berterusan rakyat, amalan mencatiti nombor pengundi di atas kaunterfoil Kertas Undi telah DIHARAMKAN sama sekali dengan pindaan undang-undang yang dibuat. Dengan itu undi kita adalah benar-benar RAHSIA dan tidak ada cara untuk sesiapa pun mengetahui undi kita. Oleh itu, mengundilah dengan tenang dan sukarela tanpa perlu takut kepada ugutan sesiapa. Undi anda hak anda!

2) TAHUKAH ANDA : berdasarkan Peraturan 21 (1) Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau dikenali juga sebagai General Order, hanya Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan & Profesional yang dikenali sebagai pegawai kerajaan Kumpulan A yang dilarang terlibat dalam politik. Antara bentuk larangan yang dikenakan ialah tidak boleh memegang jawatan dalam parti politik, bertanding dalam pilihanraya dan menerbitkan apa buku atau makalah politik. Namun harus diingat, larangan ini adalah meliputi SEMUA parti politik tidak kira parti yang menjadi pemerintah atau parti pembangkang.

Tetapi Peraturan ini tidak melarang pegawai-pegawai kerajaan tidak kira dalam kategori mana untuk menjadi ahli biasa mana-mana parti politik, bersalam dan bercakap dengan ahli politik atau calon pilihanraya, mendengar ceramah atau penerangan dari parti-parti politik dan membeli, membaca atau memiliki surat khabar, risalah dan makalah yang diterbitkan oleh parti-parti politik. Di dalam kes Guaman No. 22NCVC-1042-09/2011, Pengarah JAIS, Dato' Haji Marzuki Hussin mengakui bahawa beliau adalah ahli UMNO dan pada masa yang sama masih memegang jawatan di dalam kerajaan.

Manakala bagi kakitangan kerajaan yang di dalam kategori Pegawai Kumpulan Pelaksana dan Sokongan dan termasuk juga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 hingga DG48 (kecuali Pengetua/Guru Besar), tidak ada sekatan untuk terlibat dalam politik melainkan perlu mendapat kebenaran bertulis jika hendak memegang jawatan di dalam parti-parti politik.

Dan yang penting sekali, kakitangan kerajaan adalah bebas dan berhak untuk mengundi mana-mana parti yang disukainya di dalam pilihanraya. Yang bertanding di dalam pilihanraya ialah parti-parti politik dan semua parti politik adalah setaraf di sisi undang-undang. Ingat! Tidak ada istilah kerajaan dan pembangkang di dalam pilihanraya. Yang ada ialah parti-parti politik yang bertanding. Undi anda hak anda!

Tiada ulasan: