SPECIAL ADS

8 April 2013

Mahasiswa nekad rehatkan BN

09 Apr : “PILIHAN raya akan datang kami generasi muda akan mengundi perubahan. Kami ingin memberi peluang kepada Malaysia untuk ditadbir oleh pemimpin baru. Kami akan mendesak kerajaan yang baru menurunkan harga barangan keperluan, turunkan harga minyak kenderaan, dan berikan pendidikan percuma serta biasiswa pelajaran kepada rakyat.” 

Demikian antara isi kandungan risalah ‘Surat dari Mahasiswa untuk Pengundi Pekan’ yang cuba diedarkan kepada masyarakat setempat di Parlimen yang dikuasai Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak pada 12 sehingga 15 Februari lalu.

Namun, usaha kumpulan mahasiswa bergelar Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) tersebut dibalas oleh golongan samseng Umno-BN dengan ugutan dan tengking sergah malah dibelasah dan ditarik tudung.

Pertemuan sekumpulan pelajar terbabit dengan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman baru-baru ini, di rumahnya, di Bukit Ampang, mendedahkan cabaran berdepan dengan rakyat yang sebahagiannya dibelenggu takut dan fanatik Umno-BN sehingga tidak mampu berfikir waras.

Sambil menikmati nasi Arab kambing yang disediakan isteri Ahmad Lutfi sendiri, anak-anak muda itu ghairah berkongsi pengalaman dan harapan. Kisah menarik dari Pekan menjadi topik utama perbincangan.

Menurut Pengerusi GM13, Syis Abdul Kadir, sepanjang tempoh empat hari di Pekan, mereka yang terdiri daripada kira-kira 40 orang aktivis mahasiswa dan mahasiswi berjaya memberikan penerangan dan mendengar suara hati masyarakat setempat di empat Dun di situ iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini.

Safwan Anang yang juga Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) barangkali sudah ‘masak’ dengan sepak terajang manusia tidak berhati perut ‘asuhan’ Umno-BN.

Beliau pernah dibelasah teruk oleh polis sehingga terlantar di Hospital Slim River ketika himpunan aman di perkarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada malam tahun baharu 2012 lalu.
Bagi Safwan, keputusan GM13 menghantar mahasiswa sebagai calon bertanding di Pekan sebagai suatu isyarat jelas warga universiti sudah bersedia membawa suara mereka seterusnya tuntutan rakyat di Parlimen kelak.
“Selama ini kami (mahasiswa) bersuara melalui rundingan dan menghantar memorandum tetapi sayangnya tidak nampak penyelesaian diambil berdasarkan pandangan kami,” tegasnya.

Selain itu, jelasnya, kewujudan anggota Dewan Rakyat dari kalangan mahasiswa sendiri sebenarnya ingin mengisi kelompangan yang barangkali terlepas pandang hatta dalam Manifesto Pakatan Rakyat sekalipun.
“Misalnya, dalam isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971. Kebebasan mahasiswa selepas Auku mati itu mahu diganti dengan apa?

“Jadi, kami ada kaedah dan penyelesaian untuk mengisi ruang itu. Malah, pelan alternatif polisi pendidikan tinggi baru juga sudah disediakan dan wajar dipertimbang oleh kerajaan memerintah pasca PRU13 nanti,” ujarnya bersemangat.

Mahasiswa sudah rela berdepan dengan apa jua risiko dengan keputusan mereka untuk meletakkan calon mereka di Pekan meskipun sedar potensi Parlimen Pekan lebih memihak kepada Umno-BN.

Undi dari kem tentera dan penempatan warganegara asing seperti Myanmar yang mencapat ‘IC segera’ di Sungai Miang kepada Umno-BN sama sekali tidak mematikan tekad mereka untuk menguburkan parti penuh korup itu dalam PRU13 yang bila-bila masa sahaja akan berlangsung.

Gejala samseng Pekan yang menghalau mereka pulang atas alasan ‘orang luar’ ketika ribuan pendatang asing selamba dibiar mendapat tanah dan rumah dari Umno-BN hanya menguatkan azam mereka untuk bertemu satu lawan satu dengan Najib Razak.

Mahasiswa juga sudah bosan dengan sikap Umno-BN yang mengabaikan tadbir kelola yang baik (good governance) yang dapat dilihat melalui prestasi buruk Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun dan gaya hidup isteri Najib Razak yang tanpa malu mengaku dirinya ‘First Lady’.

Atas sebab itulah, mahasiswa pencetus perubahan kepada rakyat mahu ‘merehatkan’ Umno-BN. Usaha dan strategi sekumpulan anak muda yang tidak kenal erti putus asa yang terserlah dalam perbincangan lebih dua jam itu seolah-olah menampakkan sisi cerah buat generasi masa depan.

Mereka sudah bersedia mara tampil menggoncang PRU13 yang merupakan pilihan raya paling sengit buat kedua-dua pihak lebih-lebih lagi Umno-BN yang memegang kuasa lebih 50 tahun kini seperti telur di hujung tanduk.
Mahasiswa hari ini yang terdedah pada pantasnya evolusi terknologi maklumat bukan sekadar mahu di takuk lama sebagai pemerhati pilihan raya sahaja.

Jadi, molek benar Kementerian Pengajian Tinggi dan pengurusan universiti berlapang dada berdepan realiti baru politik tanahair ini manakala mahasiswa lain pula mengambil peranan aktif menjadi mata dan telinga rakyat bagi menjamin kelestarian generasi masa depan terpelihara.

Sepatah kata Ahmad Lutfi, yang juga bekas aktivis gerakan pelajar UTM, dekad 80-an: “Saya kagum dan teruja dengan semangat anak-anak muda ini. Mereka bukan saja mahu suara gerakan pelajar didengar, malah mempunyai tekad tinggi serta paling penting berkemampuan untuk menyumbang buat negara dan ummah.”

Oleh Arif Atan

Tiada ulasan: