SPECIAL ADS

8 April 2013

Seksyen 9A pengundi hantu SPR


09 Apr : SUDAH dua permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh dua pimpinan Pakatan Rakyat di Mahkamah bagi membatalkan nama pengundi yang meragukan di dalam daftar pemilih ditolak oleh mahkamah. Permohonan pertama dibuat oleh mantan Ahli Parlimen DAP,  Charles Santiago manakala permohonan kedua dibuat oleh Nurul Izzah dari PKR.

Kedua dua mahkamah yang menolak permohonan semakan kehakiman tersebut menerima hujah SPR bahawa seksyen 9A Akta Pilihanraya 1958 melarang mahkamah untuk campurtangan ke atas mana-mana daftar pemilih yang disediakan oleh SPR dan diwartakan.

Dengan lain perkataan daftar pemilih yang siap diwartakan adalah kebal dari semakan mahkamah meskipun daftar pemilih tersebut mengandungi nama atau status pengundi yang meragukan atau dengan bahasa mudah pengundi hantu.

Sedikit tentang sejarah seksyen 9A tersebut. Ia digubal atas respon marah dan negatif Kerajaaan BN atas keputusan Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang yang membatalkan pilihanraya Dun Likas di Sabah. 

Pilihanraya tersebut dibatalkan kerana wujudnya para pengundi hantu dalam daftar pemilih. Keputusan berani dan bersejarah Hakim tersebut malangnya menyenakkan perut pemimpin BN. Hasilnya dengan menggunakan kuasa pertiga mereka di Parlimen, BN pinda Akta Pilihanraya tersebut dengan memasukkan seksyen 9A tersebut. Bagi pengamal undang undang seksyen 9A adalah seksyen hantu!!

Seksyen hantu tersebut yang dikenali dalam undang-undang sebagai 'ouster clause' melarang mahkamah menyemak jauh sekali membatalkan daftar pemilih sebaik sahaja ianya disahkan oleh SPR dan diwartakan. Bagi saya seksyen 9A ini adalah markaz atau kubu atau sarang pengundi hantu SPR.


Keputusan mahkamah dengan mudah menolak permohonan Charles Santiago dan Nurul Izzah atas alasan tangan mahkamah terikat dengan seksyen 9A, dengan hormat, adalah satu keputusan yang tidak munasabah. 
Hakikatnya bukan suatu yang baru undang undang di negara ini mempunyai peruntukan seperti seksyen 9A tersebut. Banyak Akta lain juga mempunyai peruntukan seperti seksyen 9A itu. Contohnya Akta Perhubungan Perusahaan 1967 juga melarang sebarang keputusan Mahkamah Perusahaan dicabar di mahkamah namun sehingga kini mahkamah di Malaysia konsisten membenarkan keputusan Mahkamah Perusahaan dicabar melalui semakan kehakiman.

Semasa saya mencabar keputusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang enggan membatalkan keahlian Isa Samad sebagai ahli Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) meskipun beliau tidak layak jadi ahli KPF, peguam SKM juga membangkitkan wujudnya peruntukan dalam Akta Koperasi yang melarang mahkamah mencabar keputusan SKM. Namun Mahkamah menerima hujah saya sekaligus menolak hujah peguam SKM dan memutuskan mahkamah ada kuasa untuk membatalkan keputusan SKM.

Alasan mahkamah SKM tidak boleh buat keputusan yang salah dan jika mahkamah tidak boleh campurtangan bagi menyemak keputusan yang salah maka akan wujudnya ketidakadilan. Mahkamah diwujudkan untuk tegak keadilan.

Oleh itu saya merasa pelik jika mahkamah boleh menerima hujah SPR bahawa seksyen 9A tidak benarkan mahkamah campurtangan bagi menyemak daftar pemilih yang meragukan. Jika mahkamah sebagai badan semak dan imbang kuasa eksekutif tidak boleh campurtangan siapa yang boleh? Adakah wujud hujah yang pelik selain hujah yang kata mahkamah tidak boleh semak ketidakadilan?

Bagi saya seksyen 9A adalah "unconstitutional" (bercanggah dengan Perlembagaan). Seksyen 9A tersebut, menurut hemat saya, bercanggah dengan Artikel 113 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada SPR sebagai ejen tunggal pengawal sistem pilihanraya di negara ini untuk menyediakan dan menyemak daftar pemilih. Tidak syak lagi daftar pemilih yang disediakan SPR mestilah sifar keraguan. Ia bukan sahaja perlu bersih tapi juga mesti dilihat bersih.

Persoalannya adakah SPR telah menjalankan tanggungjawab Perlembagaan bagi menyediakan dan menyemak daftar pemilih jika dapat dibuktikan daftar pemilih yang dikatakan disediakan dan disemak SPR itu mengandungi keraguan seperti mengandungi pengundi yang tidak layak mengundi.

Seksyen 9A membuat anggapan bahawa SPR, yang punyai rekod buruk,  tidak akan lakukan apa-apa kesilapan atau kealpaan atau penipuan. Maka sebab itu daftar pemilih yang ia sediakan tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun hatta mahkamah sekalipun. Tidakkah Seksyen 9A ini dilihat cuba menutup kelemahan SPR yang gagal melaksanakan tanggungjwab perlembagaan itu?


Saya juga berpendapat seksyen 9A itu juga bercanggah dengan Artikel 114 (2) Perlembagaan kerana Artikel tersebut memperuntukkan dalam melantik anggota anggota SPR adalah penting bagi Yang Di-Pertuan Agong memastikan SPR mendapat kepercayaan atau keyakinan orang awam.

Dengan wujudnya daftar pemilih yang disediakan oleh SPR yang diragukan kesahihannya adakah daftar pemilih sebegitu mendapat kepercayaan pihak awam.Tanpa kepercayaan awam adakah SPR telah jalankan tanggungjawabnya?

Bolehkah orang awam percaya kepada Pengerusi SPR apabila SPR sendiri mengakui terima surat bantahan Nurul Izzah, beliau pula dengan tanpa malu dan bermaruah menuduh Nurul tidak pernah hantar surat bantahan kerana dia tidak pernah terima.


Pengerusi SPR dan timbalannya bagi kita hanya dapat kepercayaan Umno bukan orang awam!!

Tiada ulasan: