SPECIAL ADS

10 Julai 2013

Pakatan perlu anggotai j/kuasa memantau, elak KLIA2 tangguh lagi

KUALA LUMPUR 10 JULAI: Pakatan Rakyat wajar diberi peluang menganggotai jawatankuasa memantau bagi memastikan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tidak lagi tertangguh, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
“Memandangkan perbelanjaan asal KLIA2 melonjak dari RM1.9 bilion hingga RM4.0 bilion, kami minta diberi laluan menyertai Jawatankuasa Pantauan di bawah Kementerian Pengangkutan yang diwujud pada semalam (8 Julai).
izzah“Kami juga minta audit bebas diadakan pihak kementerian bagi mengenal pasti sebab kelewatan, termasuk dari konsultan – KLIA Consultancy Services Sdn Bhd, syarikat milikan Kementerian Kewangan, yang seharusnya lebih tegas memantau dan mengekang sebarang VO (variation order),” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Nurul Izzah turut mempersoal kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kononnya kelewatan pembukaan KLIA2 tidak menjejaskan keuntungan Malaysia Airports Holding Berhad’s (MAHB).
“Namun kenyataan penganalisa pasaran menunjukkan kesan perbelanjaan akhir KLIA2 bakal ditanggung menggunakan wang rakyat. Contohnya, penganalisa RHB Research, Ahmad Maghfur Osman, menganggarkan MAHB akan membelanjakan RM500 juta tambahan untuk projek KLIA2, justeru RHB menurunkan nilaian terhadap saham MAHB dari RM6.86 dari RM7.23,” katanya.
Beliau juga merujuk laporan Kajian MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) yang menyatakan MAHB mungkin terpaksa menanggung kos tambahan bernilai RM250 juta.
“Badan MIDF Research pula dalam laporan mereka menyatakan MAHB mungkin terpaksa membayar tuntutan RM250 juta daripada kontraktor atas sebab perubahan permintaan skop kerja-kerja KLIA2,” kata Nurul Izzah lagi.
MAHB sebelum ini pernah berkeras kononnya KLIA 2 siap menjelang 28 Jun 2013, namun selepas ditekan dan didesak Pakatan Rakyat, barulah Kerajaan Persekutuan mengakui kelewatan pelaksanaan projek itu dengan tarikh baru diberikan pada 30 April 2014.

Tiada ulasan: