KUALA LUMPUR 08 Julai : Adalah lebih baik sekiranya Malaysia keluar dari Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) sebelum terikat dalam perjanjian yang bakal mengancam generasi masa hadapan.
Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dalam satu kenyataan menggesa kerajaan menilai kembali penglibatan negara dalam TPPA.
“Ini adalah untuk melindungi kepentingan graduan dan anak muda. Ianya juga dapat mengelakkan berlakunya gejala sosial yang meruncing kerana pengangguran anak muda,” tambah kenyataan itu, sebagaimana di bawah.
PKPIM mengikuti secara minat mengenai penglibatan Malaysia dalam TPPA.
Penglibatan negara sejak tahun 2010 bakal melalui siri rundingan yang ke-18 di Sabah dan dijangka akan ditandatangani seawal bulan Oktober ini.
Kami melahirkan kebimbangan kerana perjanjian yang penting ini tidak dibincangkan isi kandungannya kepada masyarakat awam. Kami tidak bersetuju dengan pendekatan ‘kerajaan sentiasa betul’ dan memaksakan kepada rakyat Malaysia satu perjanjian yang sangat diragui.
Ini kerana kami sudah menyelidik pelbagai bantahan baik dari dalam atau luar dan ternyata TPPA ini lebih banyak mendatangkan keburukan baik dari sudut ekonomi, politik dan sosial.
PKPIM mahu kerajaan memberi perhatian berkenaan klausa dalam perjanjian di mana rakyat negara asing yang juga terlibat dalam TPPA boleh bekerja di Malaysia tanpa sekatan.
Malah syarikat antarabangsa juga boleh mengambil pekerja asing tanpa perlu memenuhi kuota pekerja tempatan seperti yang dikenakan kepada mereka sebelum ini.
Perjanjian ini bakal memburukkan lagi situasi pengangguran di Malaysia di kalangan graduan universiti. Ini kerana sukar bagi mereka bersaing dengan pekerja asing yang sanggup dibayar gaji yang lebih murah.
Malah pekerja asing yang lebih mahir dan berpengalaman dari negara maju dalam TPPA juga bakal merampas peluang pekerjaan daripada pekerja mahir tempatan.
Kami juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa orang Malaysia juga boleh bekerja di negara lain kerana hakikatnya majoriti graduan mahu bekerja di dalam negara dan mahu berkhidmat demi kemajuan negara tercinta ini.
Oleh itu, PKPIM menggesa kerajaan menilai kembali penglibatan negara dalam TPPA. Ini adalah untuk melindungi kepentingan graduan dan anak muda. Ianya juga dapat mengelakkan berlakunya gejala sosial yang meruncing kerana pengangguran anak muda.
Adalah lebih baik sekiranya Malaysia keluar dari TPPA sebelum terikat dalam perjanjian yang bakal mengancam generasi masa hadapan. HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan