SPECIAL ADS

4 November 2013

1435H: Jangan biarkan kerajaan terus tipu rakyat

05 Nov : Alhamdulillah setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran kepada Allah yang maha tinggi. Sesudah memuji tuhan pencipta, tentunya membuat kita sedar, dari mana kita memperolehi peluang menguak jendela baru tahun hijrah 1435. 

1435H disambut selepas hampir seminggu Perdana Menteri Malaysia membentangkan ‘Bajet Menghukum Rakyat’. 1435H disambut dalam keadaan sebahagian daripada kita masih belum hilang kejutan keputusan penipuan raya PRU13. 1435H disambut dengan dilatari kenaikan harga minyak, harga gula, harga makanan dan ketidaktentuan GST dan TPPA.

Manakala Hijraturrasul adalah merupakan permulaan sebuah negara Islam Madinah. Nabi Muhammad s.a.w. disambut dan diangkat oleh penduduk Madinah sebagai pemerintah mereka. Hijraturrasul menampilkan kepada dunia, bagaimana penerimaan sebuah masyarakat terhadap kepimpinan seorang rasul, tanpa apa-apa penipuan, pemaksaan mahupun apa-apa yang boleh dikaitkan dengan kejahatan. 

Tapi tahun 1435H, di Malaysia, kita terpaksa menghadapi pemerintah yang lahir daripada penipuan pilihan raya dan kita tidak keseorangan dalam hal ini.  Saudara kita di Mesir juga mengalami nasib yang sama, menyambut 1435H  di bawah pemerintah zalim, yang bukan pilihan rakyat.

Hijraturrasul, menampilkan bagaimana Rasulullah tiba di Madinah, bukan dituju rumah mana-mana pembesar Madinah, sebaliknya rumah penduduk termiskin di Madinah menjadi pilihan, Abu Ayub Al Ansari. Di situ keberkatan seorang nabi memancar. Seluruh penduduk Madinah berhijrah daripada mengagungkan rumah yang penuh kemewahan, kepada berlumba-lumba melakukan kebaikan, melalui pencarian mereka yang memerlukan pertolongan, iaitu orang-orang miskin.

Tapi tahun 1435 hijrah, di Malaysia, di saat ibu bapa menghadapi cengkaman ekonomi bagi membeli kasut-kasut persekolahan anak-anak mereka, laporan Ketua Audit Negara 2012, mendedahkan 7,659 pasang kasut Jabatan Kastam Diraja Malaysia  bernilai RM602,089 terpaksa dilupuskan. Lebih daripada setengah juta duit rakyat dibazirkan.

Apa ada pada sambutan Hijraturrasul 1435H, jika kita tidak terus melawan kutipan cukai GST, dalam keadaan masih ramai rakyat termasuk golongan penerima BRIM dan zakat, sebagaimana dibentang dalam Bajet 2014.

Apa ada pada sambutan Hijraturrasul 1435H, jika kita tidak terus melawan penipuan pilihan raya, padahal perkara 114 Perlembagaan negara menyatakan, anggota SPR hendaklah dilantik di kalangan mereka yang mendapat kepercayaan awam, sudah jutaan rakyat turun ke jalan raya melawan penipuan pilihan raya, namun Bajet 2014 terus menyerahkan duit rakyat kepada SPR yang tidak mendapat kepercayaan rakyat.

Apa ada pada sambutan Hijraturrasul 1435H, jika kita tidak terus melawan kerajaan BN yang lahir daripada penipuan. Jangan biarkan bajet negara 2014 yang berjumlah RM264.2 billion diserahkan begitu sahaja kepada kerajaan BN. Setiap daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga harta negara sebagaimana sabda masyhur baginda Rasulullah ’Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya.’

Salam Hijraturrasul dan Selamat Berhijrah. Tahniah juga kepada pengundi PRK Sungai Limau kerana memulakan sunnah yang baik.

Penulis ialah Ahli Parlimen Bachok merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bachok.

Tiada ulasan: