19 Nov : Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin (gambar) memberikan tiga cadangan untuk kerajaan membersihkan nama ekoran dakwaan adanya ejen CIA di Pejabat Peguam Negara.
Pertama, beliau mahu perkara itu disiasat oleh satu Suruhanjaya Diraja jika ia dakwaan yang benar.
Kedua, beliau menggesa penafian itu dibuat oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail jika dakwaan itu tidak benar.
Ketiga, beliau menggesa agar individu yang membuat dakwaan itu disiasat jika terbukti dakwaan itu palsu, kata Hanipa sebagaimana dilaporkan oleh sebuah laman web.
Hanipa menyatakan perkara ini ketika mengulas jawapan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri yang menafikan kewujudan ejen CIA di Pejabat Peguam Negara.
"Adalah dimaklumkan Jabatan Peguam Negara menafikan adanya ejen CIA di pejabat tersebut," kata Nancy semalam.
"Jika tak puas hati silalah lawat sendiri pejabat tersebut," katanya lagi.
Jawapan Nancy itu tidak disenangi para pembaca laman itu yang membuat pelbagai komen mengenainya.
Antaranya jika benar adapun ejen CIA itu, ia sudah lama hilang sebaik sahaja isu ini dibangkitkan.
The Malaysian Insider sebelum ini menyiarkan laporan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah bertanya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tentang kewujudan dua rakyat Amerika yang menjadi ejen CIA di Pejabat Peguam Negara itu.
Perkara itu disahkan kemudian oleh Dr Mahathir dalam sidang medianya baru-baru ini.
Dr Mahathir mengatakan beliau "hanya mendengar" terdapat dua ejen perisikan Amerika di Pejabat Peguam Negara namun tidak memiliki bukti berhubung perkara itu.
"Saya dengar. Saya tiada bukti, dua ejen CIA ada pejabat di Pejabat AG. Mungkin ada mungkin tidak. Saya tak tahu. AG pun belum sahkan lagi," kata Dr Mahathir merujuk kepada ejen perisikan Central Intelligence Agency (CIA) ketika sidang medianya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan