SPECIAL ADS

12 November 2013

Setelah dapat segala-galanya, saman-menyaman hanya membuang masa bagi Shahrizat

12 Nov : Dalam langkah yang dianggap mengejutkan, Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil hari ini menarik balik saman RM100 juta terhadap Rafizi Ramli dan Zuraidah Kamaruddin berkaitan pelbagai pendedahan yang dilakukan oleh dua Ahli Parlimen PKR berhubung projek pemeliharaan lembu NFC dan kaitannya dengan kedudukan beliau sebagai anggota kabinet.
Dalam saman yang dikemukakan pada 19 Januari lalu, Shahrizat mengemukakan saman bernilai RM100 juta itu atas dakwaan fitnah yang dilakukan terhadapnya berhubung projek NFC yang dimiliki oleh suami dan anak-anaknya.
Atas persetujuan bersama, hari ini saman itu ditarik tanpa syarat. Ramai yang terkejut dengan perkembangan ini.
Dengan menarik balik saman tanpa syarat ini, bermakna Rafizi dan Zuraidah boleh terus membuat pelbagai dakwaan dan pendedahan mengenai projek NFC dan kaitannya dengan Shahrizat.
Beliau yang sebelum ini mengemukakan saman itu atas dakwaan ianya fitnah dan bimbang ia mungkin menjejaskan peluangnya untuk terus bertapak dalam dunia politik, kini nyata tidak peduli lagi sama ada dakwaan yang sama atau pendedahan baru mahu dibuat oleh kedua-dua pemimpin PKR itu.
Menarik balik saman tanpa syarat juga bermakna, dakwaan Rafizi dan Zuraidah sebelum ini bukanlah fitnah tetapi ada asas kebenarannya.
Tidak syak lagi bahawa Shahrizat takut untuk berhujah dan mempertahankan dirinya di mahkamah mengenai projek yang sebelum ini berkali-kali dikatakannya tiada kaitan dengan dirinya walaupun beliau tinggal serumah dan tidur sebilik dengan suaminya.
Melalui samannya sebelum ini, Shahrizat nampaknya telah berjaya menangkis persepsi beliau bersalah dan terlibat dalam projek NFC yang dipunyai oleh keluarganya itu.
Buktinya, beliau mampu terus mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umnonya dengan cemerlang, seolah-olah projek NFC dan penyalahgunaan dananya untuk membeli kereta, kondo dan hartanah lainnya langsung tidak meninggalkan kesan kepada ahli-ahli Pergerakan Wanita Umno.
Lebih dari itu, dengan mengemukakan saman fitnah itu juga, Shahrizat berjaya meyakinkan Perdana Menteri bahawa beliau benar-benar pemimpin yang suci bersih dan hanya berjuang semata-mata untuk agama, bangsa dan negara sahaja serta tidak sekali-kali menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi dan keluarga.
Buktinya, Najib telah melantiknya pula sebagai penasihat wanita dan keluarga kepada Perdana Menteri yang bertaraf menteri walaupun dalam kabinet sudah pun ada Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga yang disandang oleh Rohani Karim dari Sarawak.
Lalu, setelah dapat mengekalkan jawatan politik dan dapat pula jawatan dalam kerajaan, itulah sebenarnya matlamat sebenar kebanyakan pemimpin mahu terus bertahan dalam Umno.
Tidak terkecuali dengan Shahrizat juga. Dengan memegang kedua-dua jawatan yang diidam-idamkan itu, tiada lagi yang perlu dirisaukan oleh Shahrizat. Sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya umum akan datang, beliau akan menjalani kehidupan glamour bertaraf menteri sebagaimana yang pernah dinikmatinya sebelum ini, sehinggalah tiba-tiba nikmat itu dilucutkan oleh Najib berikutan pendedahan bertali-arus mengenai skandal NFC oleh Rafizi dan Zuraidah ketika itu.
Dengan memperolehi segala apa yang diidamkan itu, saman fitnahnya keatas Rafizi dan Zuraidah tiada merit lagi untuk diteruskan. Ia hanya membuang masa dan wang ringgit saja.
Apa saja pendedahan lain sebelum ini, ia tidak akan memberi kesan lagi kepada kedudukannya dalam politik dan kerajaan kerana kepercayaan daripada ahli Wanita Umno dan Perdana Menteri sudah pun berjaya ditaklukinya sekarang ini.
Walaupun Rafizi dan Zuraidah nyata gembira dengan penarikan balik saman ini dan membuktikan pendedahan mereka sebelum ini ada asasnya, bahkan bertepatan juga dengan kenyataan SPRM beberapa hari lalu yang menyatakan pemberian projek NFC itu diberikan kepada kepada syarikat yang tidak layak dan tiada pengalaman, hakikatnya Shahrizat telah pun mengutip laba daripadanya.
Biarpun Rafizi berjanji akan terus memantau skandal NFC ini dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan manakala Zuraidah pula mahu memastikan projek yang menggunakan wang rakyat ini dipulihkan, kesannya kepada perjalanan hidup dan karier Shahrizat semakin menipis.
Apa pun kesudahan projek NFC selepas ini, siapa yang bakal mengambil alihnya, bagaimana kesudahan dana RM250 juta yang disalahguna dan pelbagai perkara lainnya, ianya tidak lagi penting bagi Shahrizat. Kedudukan dirinya yang mungkin menjadi beban kepada Umno dan BN dalam pilihanraya akan datang juga tidak lagi dipedulikannya.
Yang penting, dengan mengekalkan kedudukannya dalam hireaki kanan dalam parti, menjadi penasihat kerajaan bertaraf menteri serta sentiasa dapat berdamping dengan Najib yang mempunyai banyak kuasa, semua masalah-masalah lain akan selesai secara perlahan-lahan.
Sudah banyak kes sebelum ini bagaimana selagi seseorang itu mendampingi pemegang tampuk kuasa dan tidak meningkah arus, kesnya akan diselesaikan secara damai oleh kerajaan dan tiada sebarang hukuman akan dikenakan.
Walaupun dengan menarik balik saman tanpa syarat ini seperti meletakkan kedudukan Shahrizat dalam persepsi bersalah di kalangan rakyat, tetapi di ketika yang sama, selain tidak mahu membazir masa dan wang ringgitnya, jalan penyelesaian kepada masalah yang membelenggu keluarganya juga sedang diatur sebenarnya.
Akhirnya tiada sesiapa yang bersalah dalam kes NFC dan kerajaan akan menanggung segala kerugiannnya. Begitulah lazimnya. 
Oleh: shahbudindotcom, 

Tiada ulasan: