11 Nov : Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau Kedah diketahui Isnin minggu lalu. Kemenangan berpihak kepada PAS.
Apa pun alasan atau post mortem yang diberikan, menang tetap menang, kalah tetap kalah walaupun dengan kelebihan atau kekurangan satu undi.
Kali ini PAS mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi. Merosot sedikit berbanding PRU13.
Pada saya, ia merupakan kemenangan besar PAS walaupun ada mendakwa Umno menang dalam kalah, undi Cina meningkat dan berbagai alasan lagi.
Umno kena terima hakikat bahawa ini PRK bukan PRU. Buatlah muhasabah diri segera sebelum kalah lebih teruk dalam PRU14.
Jangan terlalu memikirkan undi Cina atau lain-lain bangsa meningkat atau tidak. Cari jalan bagaimana untuk berbaik-baik dengan PAS.
Umno BN tidak mungkin akan mendapat majoriti dua pertiga lagi, tanpa sokongan PAS dalam PRU14 akan datang.
Jika menang pun, kerusi yang bakal dimenangi, tidak akan banyak bezanya dengan PRU12 dan PRU13. Lebih membimbangkan jika keputusannya semakin merosot dan akhirnya terus kalah.
Perkara ini tidak mustahil berlaku, kerana orang Cina telah bulat pemikiran dalam tindakan mereka, menyokong parti ultra kiasu. Saya orang Cina, saya tahu apa yang berlaku.
Umno tidak sepatutnya terus menerus bertanding setiap kali berlaku PRK atau kekosongan kerusi PAS. Tidakkah boleh Umno memberikan kemenangan percuma kepada PAS, jika dirasakan sesuatu kawasan pilihan raya itu sukar untuk ‘dimakan’.
Dalam kes Sungai Limau, PAS bukannya boleh memerintah jika berjaya mengekalkan kerusi tersebut.
Saya amat yakin jika Umno berkata: “Atas dasar persaudaraan, Umno tidak akan bertanding menentang PAS pada PRK DUN Sungai Limau kali ini”.
Implikasinya besar.
Mungkin ada kalangan kita yang pesimis dengan pendapat saya ini. Tidak mengapa, kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Niat saya satu, saya hanya mahu lihat umat Islam kembali kuat.
Contoh lain, Umno tidak payah bersusah-payah untuk merebut kembali negeri Kelantan daripada tangan PAS.
Biarkan PAS memerintah sampai bila-bila sehingga rakyat mereka sendiri mahukan perubahan.
Lagipun, selama berada di tangan PAS, saya tidak nampak apa-apa kerugian kepada Islam dan Umno.
Ingatlah wahai Umno dan PAS, busuk-busuk pun kita, kita tetap umat Islam, ibarat carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga. Berbanding dengan kafir harbi yang terang-terang menolak dan menentang Islam.
Cuba kita buat perhitungan berapa banyak wang mengalir setiap kali PRK dan PRU, hanya kerana berlawan sesama sendiri. Bayangkan jika duit kempen tersebut kita gunakan untuk membantu fakir miskin dan mereka yang memerlukan atau membiayai apa-apa juga projek pembangunan yang diperlukan segera seperti di Sabah dan Sarawak.
Pada saya, kempen-kempen pertandingan dalam PRU dan PRK di kawasan yang pasti kalah, tidak banyak membawa kebaikan.
Ia lebih memburukkan keadaan. Kita saling kutuk-mengutuk dan fitnah-memfitnah. Hati semakin sakit.
Saya tidak merujuk kepada Umno semata-matanya, juga kepada PAS. PAS tidak perlu bertanding di kawasan kubu kuat Umno. Sama seperti MCA tidak perlu bertanding kawasan bandar majoriti Cina ultra kiasu.
Sampai kiamat pun MCA tidak akan menang melawan ultra kiasu ini.
Misalnya, kerusi Seputeh, Bukit Bintang, Kepong dan sebagainya.
Majoritinya ibarat langit dengan bumi. Undi MCA itu kebanyakan hanya datang daripada Melayu. Sebab itu MCA jangan perasan dia kuat.
Pertandingan dalam PRK dan PRU di kawasan yakin kalah adalah suatu pembaziran yang amat nyata. Pembaziran adalah sahabat syaitan. Ini tidak termasuk jentera dan tenaga yang terbuang begitu sahaja.
Jika benar-benar hendak merancang dan berstrategi, fikirkan bagaimana hendak mendapatkan semula negeri Pulau Pinang, milik kerajaan negeri Kedah mengikut sejarah suatu ketika dahulu daripada tangan ultra kiasu.
Kadang-kadang hati naik geram juga, wajarkah kita memperuntukkan sebanyak RM2.25 juta untuk empat SJKC di Sungai Limau yang penduduknya lebih kurang 1,000 orang sahaja?
Saya sendiri mengetuai PIBG di beberapa sekolah, selama 15 tahun, hendak dapat RM10,000 setahun pun bagai nak mampus, orang kampung kata.
Ini senang-senang sahaja kita taburkan di SJKC.
Kadangkala terfikir juga, elok juga kerajaan hari ini tidak dapat majoriti dua pertiga, supaya ada check and balance.
Oleh : Ridhuan Tee Abdullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan