SPECIAL ADS

22 November 2013

Hadi: Umno jadikan kalimah Allah, hudud senjata politik

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang (kanan) bersama Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat bersama perwakilan di Muktamar PAS ke-59. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 22 November, 2013.
22 Nov : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno dan Barisan Nasional (BN) menjadikan isu berkaitan agama Islam sebagai senjata politik untuk meraih sokongan mereka yang semakin berkurangan.
Beliau bagaimanapun berkata, perkara berkaitan serangan terhadap umat Islam itu bukan perkara baru kerana ia berlarutan sejak ribuan tahun dahulu.
"Umat Islam yang ada dalam negara kita ini dikejutkan dengan rentetan serangan isu berkaitan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan, di samping suasana yang tidak harmoni cuba dicetuskan oleh kalangan yang ingin mengambil kesempatan daripadanya," katanya ketika berucap di Muktamar Tahunan ke-59 PAS di Shah Alam, hari ini.
"Maka timbullah isu 'Kalimah Allah', isu mazhab, hudud dan sebagainya yang diulas di tepi jalan oleh mereka yang bukan ahlinya. Perkara ini sebenarnya pernah berlaku sejak ribuan tahun dahulu.
"Apatah lagi isu yang sensitif dan jelas susur galur hukumnya ini sedang dijadikan senjata politik oleh kerajaan Umno BN untuk meraih sokongan mereka yang semakin menipis.
"Rakyat awam di jalanan pula diajak untuk memberikan ulasan, pandangan malah kritikan, walaupun kadang kala melangkaui sempadan hukum Islam yang jelas sumber dan rujukannya,” katanya.
Beliau turut menasihati ahli parti Islam itu agar tidak mudah melatah apabila isu berkenaan dimainkan media arus perdana kerana hukum-hakam berkaitan perkara itu sudah pun termaktub.
"Ahli pula tidak sepatutnya mudah terpengaruh dengan permainan media fasik yang tidak mengira dosa dan pahala.
"PAS sekali lagi menegaskan bahawa isu agama yang penuh sarat dengan hukum syariatnya yang bersendikan Al-Quran dan Sunnah serta pandangan ulama muktamar sepanjang zaman, tidak wajar menjadi barang dagangan yang boleh dijaja ke sana ke sini," katanya.
Abdul Hadi pada sidang media berkata, beliau mengakui terdapat kekurangan dalam kerjasama bersama PR, namun terdapat lebih banyak perkara positif.
"Banyak perkara yang tidak sempurna lagi, tapi banyak yang positif," katanya.
Malah, beliau turut memberikan penghargaan terhadap kerajaan negeri DAP Pulau Pinang kerana memberikan peranan besar kepada PAS di negeri berkenaan meskipun hanya menyumbang satu kerusi ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu.
"Saya menghargai rakan-rakan (PR) daripada Pulau Pinang yang memberi satu tempat yang besar kepada PAS, kita beri satu kerusi sahaja. Peranan yang diberi sangat besar.
"Untuk mengisi peranan itu sudah tentu ada masalah yang belum selesai," katanya.
Katanya, masalah dalaman itu akan diselesaikan secara dalaman, tanpa penglibatan media.
"Masalah itu akan diselesaikan secara dalaman, bukan melalui media. Setakat ini saya membaca melalui media dan tidak bertemu lagi dengan rakan-rakan di Pulau Pinang.
"Saya dapat penjelasan daripada mereka, saya akan bincang dengan rakan dalam Pakatan," katanya.
Perwakilan sayap Pemuda semalam membangkitkan isu PAS dijadikan "Pak Turut" di negeri Pulau Mutiara berkenaan.
Mohd Raduan Ramli berkata, PAS Pulau Pinang turut mendakwa sejak pilihan raya, mesyuarat bersama Pakatan hanya dijalankan sebanyak tiga kali dan tiada ruang untuk mereka melontarkan pendapat.
"PAS Pulau Pinang seolah-olah diletakkan di kerusi pemandu tetapi stering kereta dikawal oleh orang lain," kata Mohd Raduan ketika membahas ucap utama bekas ketua pemuda PAS, Nasrudin Hasan di Dewan Sivik MBPJ kelmarin. TMI

Tiada ulasan: