SPECIAL ADS

10 November 2013

Raja Melayu: Untuk ditakuti atau hormati?

Kita tidak mahu Raja dibenci, kita mahu mereka dihormati, kata Syed Husin. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 10 November, 2013.
10 Nov : Apakah rasa hormat yang ikhlas kepada Raja-Raja Melayu oleh masyarakat boleh dikembalikan dengan mengurangkan keistimewaan yang selama ini memberikan kuasa yang unik pada institusi tersebut?
Bolehkah Raja-Raja Melayu, yang sejak lima tahun kebelakangan ini dipersendakan, dijadikan bahan skandal dan dikritik di laman web sosial Facebook oleh masyarakat Melayu, dijadikan sebagai sebuah institusi yang bebas daripada pengaruh politik?
Lanjutan itu, bolehkah Raja-Raja Melayu yang bebas dijadikan pengadil di dalam pertarungan politik sengit di antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR) dan sekutu mereka yang semakin mencetuskan ketegangan kaum dan agama?
Persoalan-persoalan ini merupakan thema utama di dalam buku terbaru Dr Syed Husin Ali yang bertajuk “The Malay Rulers: Regression or Reform?” (Raja Melayu: Melangkah Depan atau Mundur Kebelakang?)
Malah hasrat profesor kajian sains sosial itu menulis buku tersebut adalah bagi memulakan dialog masyarakat yang boleh mengembalikan rasa hormat dan kepercayaan kepada institusi itu yang sepatutnya menjadi tungak sistem politik negara ini.
“Kita tidak mahu Raja kita dibenci. Kita mahu agar mereka dihormati,” kata Dr Syed Husin di dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider baru baru ini.
Tidak kebal lagi
Buku ringkas 83 muka surat itu merupakan versi Bahasa Inggeris terbaru sebuah buku bahasa Melayu yang ditulis lebih 20 tahun dahulu yang bertajuk “Isu Raja dan Pindaan Perlembagaan”.
“Setelah 20 tahun berlalu, saya mengambil keputusan untuk meminda buku asal itu bagi meneliti perubahan status institusi akibat kesan daripada pindaan perlembagaan”.
Beliau merujuk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan pada Disember 1992 yang memberi kesan mendalam kepada kuasa dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
Dalam peristiwa itu, yang sekarang digelar Krisis Perlembagaan 1993, Dewan Rakyat pada era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamed, telah meluluskan pindaan Perlembagaan yang membolehkan Raja-Raja Melayu dikenakan tindakan mahkamah.
Sebelum itu, perlembagaan memberi Raja-Raja Melayu dan keluarga mereka kekebalan (immunity) daripada tindakan undang-udang. Sehingga zaman 90-an segenap ahli keluarga Raja Melayu telah menyalahgunakan keistimewaan itu.
Sepuluh tahun sebelum peristiwa itu, Dewan Rakyat juga telah meminda Perlembagaan Persekutuan supaya Yang diPertuan Agong tidak boleh lagi menghalang pembentukan undang-undang baru.
Sebelum pindaan itu, rang undang-undang parlimen memerlukan perkenan Yang diPertuan Agong untuk dijadikan undang-undang.
“Tujuan saya menulis buku asal itu adalah bagi memahami krisis itu dan kesannya.”
Pasa masa itu, akhbar kepunyaan Umno Utusan Malaysia memberi peluang kepada beliau untuk menulis beberapa rencana tentang peristiwa itu.
“Tulisan saya dianggap boleh mengukuh keputusan mereka (pentadbiran Dr Mahathir) untuk memperkenalkan pindaan tersebut.”
Seperti beliau katakan didalam buku terbaru ini, walaupun pindaan 1993 itu dicetus oleh kes pukul yang melibatkan ahli keluarga Sultan Johor, pentadbiran BN ketika itu ragu tentang adakah ia akan diterima masyarakat.
Jesteru, pentadbiran itu mengadakan kempen media melalui surat khabar dan televisyen tentang perbuatan terlampau keluarga Raja-Raja Melayu.
Selain kes pukul di Johor, tudahan bahawa beberapa Sultan lain menuntut konsensi balak turut dimainkan.
Hujah yang digunakan oleh Dr Mahathir semasa pindaan itu dikemukan adalah “bukan untuk menghapuskan institusi Raja Melayu tetapi untuk menguatkan kedudukan mereka”.
Walaupun selepas 20 tahun, kedudukan tersebut dipersoalkan dan dikritik sekali lagi apabila Raja Melayu tidak terlepas daripada kocakan yang berlaku di dalam masyarakat selepas pilihan raya umum 2008.
20 tahun selepas krisis
Walaupun kuasa mereka dikurangkan, kedudukan dan pengaruh Raja-Raja Melayu telah menjadi aset dan kelebihan di dalam pertarungan kuasa di antara BN dan PR.
Ini dapat dilihat semasa Sultan Perak dan Sultan Selangor membuat keputusan-keputusan yang dilihat merugikan kerajaan PR negeri masing-masing.
“Selepas 2008, Umno hilang majoriti dua pertiga di dalam Dewan Rakyat dan mereka cuba mendapat sokongan Raja-Raja Melayu dalam kempen mereka menentang Pakatan.
“Tetapi Umno juga menghadapi konflik dengan beberapa Sultan,” kata Syed Husin.
Ini seperti kes Sultan Perlis dan Sultan Terengganu yang pada 2008 menolak calon Menteri Besar daripada BN.
Permusuhan sengit di antara PR dan BN kata Syed Husin, telah menguatkan kedudukan Raja-Raja Melayu apabila mereka sedar bahawa pengaruh mereka diidamkan oleh kedua-dua gabungan politik itu dan kumpulan-kumpulan yang menyokong mereka.
“Raja-Raja Melayu telah menjadi alat untuk mengukuhkan kedudukan politik.”
Keadaan ini tidak menyenangkan masyarakat. Ramai pengguna Facebook yang telah mengkritik perbuatan Raja Melayu yang tidak memihak kepada parti sokongan mereka.
Ada juga pengkritik yang menggunakan pendekatan melampau dengan memuatnaik lakaran lucah Raja Melayu ke laman web.
Lebih teruk lagi adalah penyebaran gambar-gambar yang dikatakan ahli keluarga Raja Melayu yang sedang berkelakuan sumbang.
Komen-komen dalam Bahasa Melayu di paparan-paparan tersebut menunjukkan semakin ramai orang Melayu tidak mudah teruja dengan Raja Melayu dan golongan kerabat diraja, dan meluat dengan perbuatan melampau mereka.
Respon pentadbiran BN terhadap situasi ini adalah dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkritik yang bukan penyokong mereka.
Menurut Syed Husin, sekurang-kurangnya lima individu, tiga daripada mereka ahli politik PR, telah dihadapkan ke mahkamah.
“Bayangkan, seorang yang mempersoalkan adakah wajar untuk membelanja setengah juta untuk membeli nombor pendaftaran kereta berbanding program orang miskin, boleh dicaj di bawah akta hasutan?” kata Syed Husin.
Beliau berkata penglibatan lebih besar Raja-Raja Melayu di dalam pertarungan politik dan penggunaan jentera pentadbiran bagi menutup mulut pengkritik telah mencela institusi tersebut yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik kepartian.
Tingkahlaku tersebut dan penekanan terhadap penggunaan bahasa istana yang merendahkan rakyat dan budaya menyembah raja, telah membesarkan jurang antara Raja-Raja Melayu dengan masyarakat yang semakin sedar tentang hak-hak demokratik.
Akan tetapi, kata Syed Husin, walaupun pengaruh mereka terhakis di mata masyarakat, ia tidak mencetuskan gerakkan untuk menghapuskan institusi monarki seperti yang pernah berlaku di negara seperti Mesir, Indonesia dan India.
Mengembalikan kegemilangan
Ini bermaksud, terdapat peluang yang cerah untuk memulakan sebuah dialog tentang bagaimana budaya dan kedudukan institusi monarki boleh disesuaikan dengan tuntutan masyarakat masa kini yang memiliki kuasa ke atas pemimpin mereka.
Sebagai permulaan kata Syed Husin, Raja Melayu mesti bersikap terbuka terhadap kritikan membina seperimana gerak-geri dan perbuatan menteri dan pegawai kerajaan selalu diteliti.
Walau bagaimanapun katanya, perlu ada batasan pada kritikan tersebut agar ia tidak ekstrem dan keterlaluan.
“Sekiranya ada kritikan yang sihat, masyarakat boleh memastikan bahawa Raja berlaku adil. Berbanding dengan keadaan sekarang di mana mereka selalu dikaitkan dengan skandal.”
Syed Husin mengambil contoh negara Britain di mana keluarga Diraja sentiasa diperhati.
Akan tetapi populariti mereka masih tinggi di kalangan masyarakat Britain di mana sambutan ulangtahun ke-80 Permaisuri Britain and perkahwinan Putera William dan Kate Middleton dibanjiri ribuan orang.
Beliau juga mencadangkan agar Raja-Raja Melayu mengubah sikap dan tidak menggunakan bahasa dan budaya istana semasa berinteraksi dengan rakyat.
Sekali lagi, Syed Husin merujuk kepada contoh luar negara iaitu di kerabat Diraja Norway dan Sweden yang telah menambat hati rakyat mereka dengan sikap rendah diri dan gaya hidup sederhana.
Juga penting, beliau berkata Raja-Raja Melayu harus mewakili kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, komuniti atau agama.
“Simbol perpaduan seperti ini selari dengan objektif pembentukkan kedudukan Yang diPertuan Agong, di mana beliau sepatutnya menjadi simbol kedaulatan dan perpaduan”.
Cadangan tersebut tidak begitu kontroversi kerana ahli politik telah lama sedar bahawa sikap terbuka, rendah diri dan peramah adalah penting bagi memelihara populariti dan mendapat rasa hormat dari masyarakat.
“Tidak salah kalau kita ada monarki sekiranya mereka adil, bertaqwa, baik hati, berperikemanusian dan cerdik. Tidak mementingkan diri dan membazir.
“Seorang Raja yang mempunyai sikap-sikap ini boleh menjadi pengimbang (check and balance) di dalam sistem politik yang semakin berkuku besi, mengamalkan rasuah dan membazir wang rakyat.”
Kesimpulannya, tidak perlu kepada undang-undang baru, kempen gah kerajaan atau kumpulan pendesak untuk menanam rasa hormat kepada Raja.
Kunci kepada rasa hormat di dalam era Facebook ini telahpun dipelajari oleh pemimpin awam kata Syed Husin.
Iaitu rasa hormat daripada masyarakat akan diberikan kepada pemimpin yang layak menerimanya berdasarkan sikap dan tingkahlaku pemimpin itu. Pemimpin tidak boleh menuntut rasa hormat melalui undang-undang, katanya.

OLEH SHERIDAN MAHAVERA

Tiada ulasan: