SPECIAL ADS

7 November 2013

Tiada jalan mudah ke syurga

07 Nov : Politik ini adalah satu permainan yang aneh. Politik terutamanya di sini, boleh menyatakan yang mustahil dan boleh memustahilkan yang nyata. Politik di sini benar-benar menjadi petunjuk yang dunia semakin hampir kepada kiamat. Perkara yang benar disalahkan dan yang salah pula dibenarkan. Maka kita hidup dalam keadaan yang amat keliru, dan kekeliruan itu boleh merosakkan agama dan pegangan kita apatah lagi kepada kesejahteraan hidup rakyat berbilang kaum ini.
Apabila pimpinan politik sudah keliru, maka kita lihat tindakan mereka itu sentiasa songsang dan meranapkan moral hidup bermasyarakat, bersosial dan beragama. Kekeliruan ini seolah-olah dirancang kerana semua yang terlibat dalam kancah kekeliruan ini, kecuali mereka yang masih teguh dengan iman ketuhanan serta yang cekal menghadapi perubahan negatif masyarakat ini.
Kalau hendak mendapatkan perubahan ke arah perubahan yang positif sekumpulan kecil yang masih kuat pegangan mereka dan tidak mampu diasuh dan diubah oleh kebatilan ini yang akan merobahnya. Kumpulan kecil inilah yang terpaksa bersabar dan menunggu waktu dan saat yang tepat untuk melakukan perubahan dan hanya Tuhan sahaja yang boleh menyempurnakan afa’alNya untuk perubahan melalui kumpulan ini.
Nyata sekali di dalam keadaan hari ini, kita mendengar dan melihat betapa kelirunya hidup jika tidak memahami keadaan kehidupan sebenarnya. Rakyat dan umat keliru dan dalam kita mengakui dunia sedang menghadapi kekalutan ekonomi yang juga melibatkan pendapatan negara kita juga, kita masih mendengar dan terbaca semua pihak diminta berkorban perkara-perkara yang telah dinikmati rakyat. Rakyat bersetuju kerana ini negara kita yang wajar dilakukan apa sahaja demi kebaikan negara tempat mereka berteduh ini.
Tetapi dalam masa yang sama kita melihat dan terbaca, pemimpin utama kita tidak rela melakukan pengorbanan malah telah menyediakan peruntukan berlipat kali ganda jumlahnya untuk menjadi Perdana Menteri dan menguruskan jabatan yang beliau ketuai itu. Najib seolah-olah mempunyai sikap terhadap rakyat seperti sikap ‘kau buat apa yang aku suruh buat, jangan kau buat apa yang aku buat’.
Dalam konteks ini Najib boleh berbelanja sebanyak mana yang beliau suka, dan beliau telah pun memperuntukkan sebanyak RM16.45 billion bagi Jabatan Perdana Menteri, jumlah keempat terbesar di antara belasan kementerian yang ada sekarang ini. Tambahan yang begitu besar bagi tahun 2014 itu daripada RM11 billion itu menampakkan kepada kita sikap Najib yang menganggap rakyat pimpinan semuanya ‘tolol’ dan bodoh belaka, tidak tahu mengira dan tiada apa yang mereka tahu.
Sebenarnya tidak payah kita membuat kesimpulan melalui isu lain. Kita tengok dan nilai sahaja jumlah peruntukan Jabatan Perdana Menteri dalam keadaan negara yang sedang menghadapi krisis kewangan yang Najib kata disebabkan oleh keadaan ekonomi global. Kita bukan sahaja menghadapi krisis ekonomi dan kewangan tetapi melarat kepada krisis kepimpinan yang sangat nyata, yang terburuk pernah negara hadapi.
Sehari dua ini kita dengar melalui berita yang Tun Mahathir sedang berusaha untuk melakukan tekanan terhadap AG Gani Patail dengan mengadakan rundingan sulit dengan bekas pegawai-pegawai keselamatan negara dan beberapa yang lain.
Jika ini benar maka tekanan terhadap Gani Patail itu adalah tekanan terhadap Najib juga. Saya berharap jika keadaan ini benar maka saya beranggapan yang Mahathir sedang cuba memperbaiki keadaan negara yang telah lumpuh ini.
Hanya yang kita harapkan niat Mahathir itu ialah untuk memperbaiki keadaan yang beliau sendiri cipta dan Gani Patail ini pernah menjadi ‘conduit’ kepada kemahuan Tun Mahathir sendiri.
Jika benar beliau melakukan ini dengan niat baik untuk negara, maka ia perlu diketahui umum. Kita harap tindakan beliau ini jika benar, tidak setakat memuaskan kemahuan peribadi yang bersifat amarah, lawamah dan mulhimah sahaja.
Lepas satu, satu perkara terbongkar dan benarlah apa yang dikatakan ramai dahulu, yang segala tindakan-tindakan batil itu dengan sendirinya akan terbongkar dan memakan kembali diri mereka yang melakukannya. Isu Peguam Negara ini sudah menjadi buah mulut rakyat sejak lama dahulu kerana beliau dipersepsikan sebagai seorang yang melakukan tindakan mengikut kemahuan politik pihak yang memerintah sahaja dan tidak menunjukkan nilai sebagai seorang yang mempertahankan keluhuran undang-undang.
Imej beliau sebagai seorang Peguam Negara begitu tercemar kerana beliau ibarat ikan mati, hanya berenang mengikut arus. Jika terdapat kesalahan yang mungkin dibuktikan oleh Dr Mahathir seperti berita yang didengari sekarang ini, maka tibalah masanya untuk melihat kebenaran secara beransur-ansur. Apa yang rakyat ramai mahukan ialah negara ini ditadbir mengikut cara yang sepatutnya.
Keluhuran undang-undang adalah faktor penting untuk menentukan keutuhan negara di masa depan. Jika undang-undang melindungi yang bersalah dan memenjarakan yang salah, mereka yang melakukan perkara yang sebaliknya sudah tentunya orang yang menjadi pembawa dalil hari akan kiamat. Pembawa dalil hari kiamat ini adalah mereka yang telah sesat atau disesatkan bagi santapan neraka.
Namun Tuhan juga telah mengingatkan kita yang selagi masih ada orang yag berzikir terhadapNya, walaupun seorang, dunia belum lagi akan kiamat. Itulah sebabnya selagi ada dikalangan kita masih ingat kepadaNya dan berusaha melakukan kebaikan selari dengan tuntutanNya, negara kita insyaallah akan kembali pulih daripada segala noda politik pimpinan kita.
Oleh itu, kita wajar menentang segala manusia yang telah menjadi pembawa dalil hari kiamat ini kerana ia ubudiyah besar terhadap negara dan fardu kifayah yang sangat dicintai Tuhan alam semesta ini.
Tugasan ini sememangnya berat kerana mencari kebaikan sememangnya satu usaha yang sangat susah. Saya teringat kepada kata-kata ulama muktabar, ‘jalan ke syurga itu penuh dengan onak dan duri. Jalan ke neraka itu penuh dengan roti dan keju yang enak-enak’.
Tiada jalan mudah menuju ke syurga. 
Oleh : aspanaliasnet.blogspot.com,

Tiada ulasan: