SPECIAL ADS

17 November 2013

Pakatan Rakyat ambil langkah bijak tangani isu agama

Pemimpin Pakatan Rakyat, (dari kiri) Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang; Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Gambar fail.
17 Nov : Dengan pelbagai isu kontroversi membabitkan agama yang berlaku di negara kini, penganalisis politik menyifatkan pendekatan Pakatan Rakyat  (PR) memberi reaksi tanpa mengambil langkah proaktif merupakan langkah bijak.
Daripada memberikan reaksi berhubung kontroversi agama, PR dilihat lebih kerap mendiamkan diri dan tindakan itu membantu mereka untuk tidak termasuk dalam perangkap Barisan Nasional (BN).
PR baru-baru ini kelihatan lantang memberi kenyataan berhubung isu kontroversi seperti kalimah Allah, penyembelihan lembu di sekolah, dan perobohan kuil 101 tahun kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di kawasan segi tiga emas untuk memberi laluan kepada projek pembangunan.
Penganalisis politik, Khoo Kay Peng, berkata PR digambarkan berada dalam tempoh 'bulan madu" kerana tidak ada keperluan untuk tampil menyatakan pendirian yang jelas dalam isu agama.
"Strategi utama Pakatan ialah dengan tidak menyatakan pendirian jelas apabila melibatkan isu yang kabur seperi agama bagi mengelak diserang oleh Umno.
"Selama ini mereka mengambil langkah tersebut dan membuktikan ia berjaya untuk PR, " katanya.
 Penganalisis Politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Professor Dr Jayum Jawan turut menyokong pendapat tersebut dan berkata, PR memainkan peranan "politik baik" untuk dilihat kepada umum.
Beliau berkata, bangkit dengan pendirian mungkin membolehkan mereka senang diserang oleh lawan, maka pendekatan dibawa PR sekarang dilihat lebih selamat.
"Terus memberi komen dilihat langkah yang bijak daripada menyatakan pendirikan sekali gus menjadikan mereka terselamat daripada diserang pihak lawan.
“Maka inilah yang PR lakukan iaitu bermain seolah-olah seperti politik baik dan anda boleh menjangkakan perkara demikian berlaku dalam parti politik, " katanya.
Jayum berkata, kelebihan berpihak kepada PR sekiranya parti itu tampil menyediakan polisi menyeluruh mengenai isu agama kerana ia akhirnya menyelamatkan parti apabila wujudnya percanggahan kelak selain dapat membantu mereka daripada mengulangi kenyataan yang sama berulang kali.
"Dengan cara ini, umum dapat melihat mereka sebagai barisan yang bersatu, lebih bersependapat dalam satu hal," katanya.
Bagaimanapun, Khoo berkata, PR perlu meneruskan operasi dengan strategi sedia ada di mana ia memperlihatkan seolah-olah tiada permintaan rakyat untuk mereka menyatakan pendirian.
"Apa yang berlaku pada Pakatan adalah isu sentrik iaitu reaksi mereka berdasarkan kontroversi yang diwujudkan BN terutama Umno, ini menjelaskan mengapa Pakatan begitu terkenal sekarang ini.
"Mengambil kesempatan daripada kesilapan Umno kemudian berdolak-dalik dalam sesuatu isu jelas berkesan untuk mereka," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, N Surendran, berkata selagi parti itu tidak mempunyai kuasa mentadbir negara maka PR perlu memastikan mereka terus konsisten memainkan peranan dalam memberi tekanan kepada kerajaan untuk mengubah cara menangani isu.
Beliau berkata, peranan parti pembangkang di Malaysia adalah amat penting untuk menangani korupsi dan penindasan kerajaan.
Khoo berkata, alasan mengapa PR selalu dilihat cuba mengelak membuat pendirian jelas berhubung isu agama kerana ia tidak semestinya dipersetujui oleh sesama mereka.
"Seperti kes kalimah Allah, ia senang untuk mereka tapi apabila tiba dalam isu negara Islam dan melaksanakan undang-undang syariah ia amat sukar bagi mereka menetapkan titik persetujuan," katanya.
Katanya, PR perlu menyatakan pendirian dengan jelas dan tegas berhubung isu agama apabila mereka berjaya menawan Putrajaya.
Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai itu berkata,  tidak wajar untuk membuat kesimpulan PR tidak mempunyai pendirian jelas apabila ia berkaitan dengan isu agama.
"Kami menyuarakan secara terbuka dan bebas menghantar mesej kepada rakyat," katanya.
Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Liew Chin Tong, berkata biarpun PR tidak mempunyai pendirian jelas terhadap isu yang menjejaskan rakyat kerana mereka terpaksa berhati-hati untuk mengelak daripada jatuh dalam perangkap Umno dan BN .
Beliau berkata, biasanya Umno akan menggunakan alasan berkaitan masalah agama dan kaum untuk menjarakkan rakyat dengan pakatan pembangkang.
"Negara ini memerlukan rangka baru dengan sistem politik demokrasi apabila membenarkan rundingan berkaitan isu agama dan kaum tanpa melibatkan perjanjian kertas hitam dan putih.
"Apa yang kita ada sekarang ini ialah manipulasi Umno untuk memecahbelahkan rakyat demi mencapai matlamat mereka, jadi Pakatan perlu bertindak dengan berhati-hati," katanya.
Beliau berkata,sekiranya Umno berjaya memisahkan PR maka rakyat tidak lagi mempunyai kerajaan alternatif menggantikan pentadbiran sedia ada.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa turut bersetuju dengan pendapat Liew apabila PR perlu berhati-hati berdepan dengan isu berkaitan agama.
Mujahid berkata, isu agama yang wujud kebelakangan ini didakwa mempunyai unsur politik dan PR perlu berhati-hati dengan jerat BN.
"Sebagai contoh, pembabitan Mahkamah Rayuan dalam memutuskan penggunaan kalimah Allah dilihat mempunyai unsur politik kerana sebenarnya rakyat sudah cukup matang dan boleh membuat keputusan bagi mereka sendiri mengenai hal itu, " katanya.
Beliau berkata, PR mempunyai pendirian jelas berhubung isu agama dan ia berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama rasmi negara dan rakyat bebas mengamalkan agama lain.
"Ini adalah alasan kami yang paling kukuh dan ini yang selalu kami terangkan kepada rakyat.
“Oleh itu, apa saja yang berlaku dalam dunia politik di negara ini tidak akan mengubah pendirian PR yang berpaksikan kepada Perlembagaan.
"Kami menyuarakan secara terbuka dan bebas menghantar mesej kepada rakyat," katanya. TMI

Tiada ulasan: