SPECIAL ADS

8 November 2013

Apa masalah Petronas dengan orang Melayu, wahai Tun Mahathir?

image

09 Nov : Sekali lagi isu Petronas tidak membantu bahkan meminggirkan syarikat-syarikat Melayu terpapar di muka depan dada akhbar. Kali ini yang membuat kenyataan itu tidak lain dari Penasihat Petronas sendiri Tun Mahathir. Sangat pelik tetapi benar. Aduan dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), pemilik syarikat vendor bumiputera dan pengusaha stesen minyak Petronas.

Ini bukan kali pertama kali aduan dan gesaan dibuat oleh MTEM dan pihak-pihak yang didakwa. Untuk tahun ini sahaja sudah  tiga kali. Bermula bulan Februari dan berlanjutan ke bulan Mac. 

Menjadi lebih pelik dan sedikit mengaibkan ialah yang membuat gesaan dan kritikan itu adalah Penasihat Petronas sendiri. Sukar membaca maksud di sebalik laporan seperti ini. Apakah Tun sudah tidak punya ‘aura’ atau ‘pengaruh’ dalam Petronas lagi ataukah Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO baru ini memang jenis tak layan gesaan atau ‘ugutan’ seperti yang dilaporkan di sini.

Maka bukan kerana Tun sudah tidak ada pengaruh tetapi memang CEO atas isu-isu seperti ini, bukan kata Penasihat, kalau Perdana Menteri sendiri campur-tangan sekali pun dia memang bertegas ‘bo layan’ atau tak peduli campur-tangan ‘orang politik’. Apakah begitu hakikatnya? Sukar juga untuk membuat penilaian yang tepat dan adil.

Apa pun, tanpa memihak dan untuk menulis secara objektif, saya selaku Pengarah Pusat Penyelidikan telah pun membuat beberapa gesaan secara terbuka kepada Petronas. Saya masih ingat bulan Mei (29hb) penulisan kami terbit di dua portal news The Malaysian Insiders dan Harakahdaily dan dilaporkan oleh beberapa akhbar tempatan lain. CEO Petronas Tan Sri Shamsul Azhar menjawab sendiri.

Buat peringatan umum, Petronas diperbadankan pada 17 Ogos, 1974 sebagai syarikat minyak nasional Malaysia, mendapat hak keseluruhan pemilikan dan kawalan sumber petroleum di negara ini. Ia telah berkembang daripada hanya menjadi pengurus dan pengawal selia sektor huluan Malaysia kepada syarikat minyak dan gas bersepadu sepenuhnya dan dalam senarai Fortune Global 500 syarikat terbesar di dunia.

Petronas didakwa oleh Penasihatnya semacam 'tersepit' dan ‘serba salah’ dan antara memperjuangkan objektif asasnya untuk meningkatkan komuniti perniagaan Bumiputera dengan membuka perniagaan bagi penyertaan asing sejajar dengan pelan globalisasi perniagaannya.

Dalam pusingan pertikaian kali ini, PAS sekali lagi mengingatkan semua pihak khasnya Petronas dan juga Penasihat Petronas supaya benar-benar menjalankan tadbir-urus yang cekap dan berkeamanahan. Isunya bukanlah sangat dilema antara nak tolong syarikat-syarikat Melayu atau nak menjalankan pelan globalisasinya.

Sebaliknya kami berpandangan isu utama dan pertama penting ialah sama ada Petronas benar-benar komited untuk mempastikan beroperasi perniagaan dengan cara yang paling berkesan. Petronas mesti sentiasa membandingkan kecekapan dan prestasi mereka dengan rakan-rakan seperti Norway Statoil, atau Brazil Petrobras?

Sebab itu kami menggesa Putrajaya ketika itu untuk menjalankan audit ke atas Petronas selepas satu laporan di Laman Web Revenue Watch Institute (RWI) menunjukkan kedudukan Malaysia dalam hasil ketelusan pengurusan jatuh ke tempat ke-34 tahun ini 2013, dari kedudukan 22 pada tahun 2010, jauh lebih rendah daripada negara-negara seperti Timor Leste dan Filipina yang menduduki tempat ke-13 dan masing-masing 23. Perkara ini telah kami huraikan secara terperinci dalam penulisan tersebut dan perlu diulangi di sini. Mungkin Petronas punya banyak sebab untuk menolak dapatan RWI.

Nah, persoalan dan isu kedua ialah sejauhmana Petronas telah berjaya atau tidak berjaya bangunkan syarikat-syarikat tempatan yang memungkinkan mereka menjadi juara global. Ini yang menjadi kunci pertikaian mutakhir ini.

Ahli ekonomi pembangkang menunjukkan bagaimana kontrak minyak telah diedarkan hanya di kalangan syarikat-syarikat "kroni" seperti SapuraKecana, Dialog, Petra dan Scomi mendedahkan kriteria penilaian yang digunakan dalam semua amalanpemberian kontrak yang menyebabkan dan membenarkan syarikat yang sama memenangi semua bidaan kontrak. Ini termasuk pertikaian kami tentang pemberian kontrak eksplorasi bidang marginalnya (juga dikenali sebagai Kontrak Perkhidmatan Risiko, RSC) kepada syarikat-syarikat tertentu.

Kesemua mereka yang dapat kontrak dan projek, didakwa sebagai mempunyai hubungan intim dengan penguasa politik dan ini telah menghalang pertumbuhan kontraktor tempatan khasnya Bumiputera yang genuine dan punya merit dan kredibiliti tetapi jelas tidak dapat bersaing di atas padang yang sama rata.

Petronas bertanggungjawab membina dan melatih ‘enterpreneurs bumiputera yang tulen’ dalam program ‘Vendor Development’. Ini adalah tanggungjawab 'national service' Petronas selaku 'pemilik tunggal minyak negara'.

Apa telah terjadi dengan program yang baik seperti ini? Saya kira MTEM berhak tahu bahkan semua rakyat sebagai ‘stakeholder’ prihatin Petronas juga ingin tahu? Sejauhmana kejayaannya dan kalau gagal kenapa gagal?

Apa sebab gagal dan  siapa petualang yang menyekat pembangunan syarikat-syarikat tempatan ini? Ataukah telah dimansuhkan program Pembangunan Vendor ini yang sepatut Petronas membimbing semacam ‘hand-holding’ syarikat-syarikat baru yang memerlukan dokongan Petronas?

Maka kesimpulannya, Petronas dan penasihatnya perlu mentakrifkan apakah masalah sebenarnya  ini. Dua objektif ini tidak wajar dilihat sebagai ‘mutually exclusive’ atau saling bertentangan seperti didakwa Tun Mahathir

Petronas dan penasihatnya wajar menerima apakah di sebaliknya semua pertikaian ini adalah amalan kronisme yang tidak kunjung berkesudahan, sekali gus mencekik usahawan tulen Bumiputera khasnya dan entiti tempatan yang lain amnya?

 Oleh : Dr Dzulkefly Ahmad, Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Tiada ulasan: