05 Nov : Kejadiaan pembunuhan menggunakan senjata api dilihat semakin menjadi tren dan pilihan masyarakat masa kini sama ada sebagai kerjaya atau sekadar meraih kepuasan diri.
Hampir setiap hari, negara dikejutkan dengan pelbagai insiden tembakan yang menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat berkenaan tahap keselamatan mereka.
Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar, berkata terdapat tiga jenis pembunuh upahan yang dikenalpasti di negara ini antaranya tidak matang (kes perbalahan, cemburu), semi-profesional (dendam, dengki) dan profesional (bunuh tanpa kesan).
Katanya, kebanyakan pembunuh upahan di Malaysia adalah di kalangan semi-profesional yang banyak dilakukan di kawasan awam seperti di lampu isyarat atau kedai makan.
“Pembunuh upahan golongan ini biasanya dapat dikesan pihak polis. Kalau pihak berkuasa tidak ambil tindakan drastik, mereka boleh bertukar kepada penembak profesional yang bertindak membunuh mangsa tanpa kesan dan hal ini yang kita bimbang,” katanya kepada Portal Selangor Kini, di sini, semalam.
Katanya, kejadian pembunuhan menggunakan senjata api dipercayai berleluasa disebabkan perebutan kuasa kongsi gelap untuk mengawal kawasan dan tidak terkecuali didorong sifat dendam.
Beliau berkata, undang-undang sedia ada juga tidak dijamin keberkesanannya jika penguatkuasaan kerajaan tidak diperketatkan.
“Setiap undang-undang adalah baik tetapi penguatkuasaan dan kerjasama orang ramai diperlukan untuk membanteras kes jenayah seperti ini. Orang ramai perlu membantu polis dengan melaporkan kegiatan atau sesiapa yang disyaki terbabit dalam kes jenayah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, berkata masalah jenayah harus ditangani secara holistik dan bukan tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang sahaja.
Beliau berkata, aspek ekonomi juga harus diberi perhatian serius seperti penguatkuasaan undang-undang dalam mengekang kes jenayah di negara ini.
“Andaikan seorang penjenayah melakukan rompakan bersenjata setiap hari, negara bakal menyaksikan 365 kes jenayah sepanjang tahun. Bayangkan kalau 10,000 penjenayah dengan komitmen sama, jadi berapa banyak anggota polis diperlukan untuk tangani masalah ini,” katanya.
Wong Chen berkata, beliau menggesa kerajaan pusat bersikap lebih prihatin dengan pengurusan pentadbiran lebih cekap dalam memberi suasana ekonomi yang lebih baik kepada rakyat dengan mengambil kira desakan ekonomi semakin merunsingkan.
“Penjenayah di negara ini seakan komited menjadikan jenayah sebagai satu kerjaya tetap sehingga sanggup menyeludup senjata api dari negara jiran,” katanya.
-NFN-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan