10 Nov : Sekali lagi isu Petronas yang didakwa tidak membantu bahkan meminggirkan syarikat-syarikat Melayu terpapar di dada akhbar. Kali ini yang membuat kenyataan itu tidak lain daripada Penasihat Petronas sendiri Tun Mahathir.
Sangat pelik tetapi benar. Aduan dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), pemilik syarikat vendor Bumiputera dan pengusaha stesen minyak Petronas.
Ini bukan kali pertama aduan dan gesaan dibuat oleh MTEM dan pihak-pihak yang mendakwa. Untuk tahun ini sahaja sudah tiga kali. Bermula bulan Februari dan berlanjutan ke bulan Mac.
Menjadi lebih mengaibkan kerana yang membuat gesaan dan kritikan itu adalah Penasihat Petronas sendiri. Sukar membaca maksud di sebalik laporan seperti ini. Apakah Tun sudah tidak punya ‘aura’ atau ‘pengaruh’ dalam Petronas lagi ataukah Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO baru ini memang jenis tidak layan gesaan atau ‘ugutan’ orang politik. Sukar juga untuk membuat penilaian yang tepat dan adil.
Apa pun, saya selaku Pengarah Pusat Penyelidikan telah pun membuat beberapa gesaan secara terbuka kepada Petronas.
Masih saya ingat bulan Mei (29hb) penulisan kami terbit di dua portal berita The Malaysian Insider dan Harakahdaily dan dilaporkan oleh beberapa akhbar tempatan lain. CEO Petronas Tan Sri Shamsul Azhar sendiri menjawab tulisan kami.
Buat peringatan umum, Petronas diperbadankan pada 17 Ogos, 1974 sebagai syarikat minyak nasional Malaysia, mendapat hak keseluruhan pemilikan dan kawalan sumber petroleum di negara ini.
Ia telah berkembang daripada hanya menjadi pengurus dan pengawal selia sektor huluan Malaysia kepada syarikat minyak dan gas bersepadu sepenuhnya dan dalam senarai Fortune Global 500 syarikat terbesar di dunia.
Kini Petronas didakwa oleh Penasihatnya semacam 'tersepit' dan ‘serba salah’ di antara memperjuangkan objektif asasnya untuk meningkatkan komuniti perniagaan Bumiputera dengan membuka perniagaan bagi penyertaan asing sejajar dengan pelan globalisasi perniagaannya.
Dalam pusingan pertikaian kali ini, PAS sekali lagi mengingatkan semua pihak khasnya Petronas dan juga Penasihat Petronas supaya benar-benar menjalankan tadbir-urus yang cekap dan berkeamanahan.
Isunya bukanlah sangat dilema opsyen antara hendak menolong syarikat-syarikat Melayu atau ingin menjalankan pelan globalisasinya.
Sebaliknya kami berpandangan isu utama dan pertama penting ialah sama ada Petronas benar-benar komited untuk mempastikan beroperasi perniagaan dengan cara yang paling berkesan dan efisien. Petronas mesti sentiasa mengukur kecekapan prestasi mereka dengan rakan-rakan seperti Norway Statoil, atau Brazil Petrobras?
Oleh itu, kami menggesa Putrajaya ketika itu untuk menjalankan audit ke atas Petronas selepas satu laporan di Laman Web Revenue Watch Institute (RWI) menunjukkan kedudukan Malaysia dalam hasil ketelusan pengurusan jatuh ke tempat ke-34 tahun 2013 berbanding kedudukan 22 pada tahun 2010, jauh lebih rendah daripada negara-negara seperti Timor Leste dan Filipina yang menduduki tempat ke-23 dan ke-13.
Perkara ini telah kami huraikan secara terperinci dalam penulisan tersebut dan tidak perlu diulangi di sini. Mungkin Petronas punya sebab tersendiri untuk menolak dapatan RWI.
Persoalan dan isu kedua ialah sejauh mana Petronas telah berjaya atau tidak membangunkan syarikat-syarikat tempatan yang memungkinkan mereka menjadi juara global. Ini yang menjadi kunci pertikaian mutakhir ini.
Ahli ekonomi pembangkang menunjukkan bagaimana kontrak minyak telah diedarkan hanya di kalangan syarikat-syarikat "kroni" seperti SapuraKecana, Dialog, Petra dan Scomi mendedahkan kriteria penilaian yang digunakan dalam semua amalan pemberian kontrak.
Mereka ingin tahu kelebihan syarikat-syarikat ini, yang menyebabkan dan membenarkan mereka memenangi semua bidaan kontrak. Ini termasuk pelbagai pertikaian kami tentang pemberian kontrak eksplorasi bidang marginalnya (juga dikenali sebagai Kontrak Perkhidmatan Risiko, RSC) kepada syarikat-syarikat tertentu.
Kesemua yang mendapat kontrak dan projek, dikenal pasti sebagai mempunyai hubungan intim dengan penguasa politik. Ini dikatakan telah menghalang pertumbuhan kontraktor tempatan lain khasnya Bumiputera yang genuine serta punya merit dan kredibiliti tetapi jelas tidak dapat bersaing di atas padang yang sama rata.
Sayugia diingatkan bahawa Petronas bertanggungjawab membina dan melatih ‘enterpreneurs Bumiputera yang tulen’ dalam program ‘Vendor Development’. Ia adalah tanggungjawab nasional Petronas selaku 'pemilik tunggal minyak negara'.
Apa telah terjadi dengan program yang baik seperti ini? Saya kira MTEM berhak tahu bahkan semua rakyat sebagai ‘stakeholder’ prihatin Petronas juga ingin tahu. Sejauh manakah kejayaannya dan kalau gagal, mengapa?
Apa sebab gagal dan siapa petualang yang menyekat pembangunan syarikat-syarikat tempatan ini? Ataukah benar telah dimansuhkan program Pembangunan Vendor ini yang sepatutnya membimbing semacam ‘hand-holding’ syarikat-syarikat baru yang memerlukan dokongan Petronas?
Kesimpulannya, Petronas dan Penasihatnya perlu mentakrifkan apakah masalah sebenarnya polemik ini. Dua objektif ini tidak wajar dilihat sebagai ‘mutually exclusive’ atau saling bertentangan seperti didakwa Tun Mahathir sehingga wujud keadaan ‘serba salah’.
Petronas dan Penasihatnya wajar segera menerima di sebalik semua pertikaian ini adalah amalan kronisme yang menjadi petualang besar, sekaligus mencekik usahawan tulen Bumiputera khasnya dan entiti tempatan yang lain amnya. - 10 November, 2013.
Dr Dzulkefly Ahmad
Penulis adalah Pusat Penyelidikan PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan