16 Nov : Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusof, berkata cadangan pelaksanaan hukum Hudud di Kelantan masih memerlukan kelulusan Putrajaya sekiranya kerajaan negeri PAS masih berhasrat untuk meneruskannya.
Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang jenayah masih lagi tertakluk di bawah kerajaan pusat seperti peruntukan Senarai 1, Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan.
"Undang-undang Hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan kerajaan pusat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, jika kerajaan PAS Kelantan tetap dengan pendirian tersebut mereka perlu melakukannya dengan meminta Parlimen menggubal undang-undang sedemikian bagi membolehkan hukum Hudud dilaksanakan.
"Jika negeri tetap mahu melaksanakan hukum Hudud ini, ia boleh dilakukan dengan meminta kerajaan pusat (Parlimen) membuat undang-undang bagi hal yang sedemikian seperti yang terdapat dalam Perkara 76(1)(c)," katanya.
Agus berkata, bagi mendapatkan kelulusan tersebut kedua-dua pihak kerajaan negeri dan pusat perlu bertolak ansur mengenai pelaksanaan undang-undang Islam tersebut, jika tidak ia akan menimbulkan percanggahan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.
"Jika dilaksanakan juga, maka ia bertentangan dengan Perkara 75 perlembagaan yang menyatakan: Jika mana-mana undang-undang negeri tidak selaras dengan undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.
"Jika kedua-dua peringkat kerajaan tidak boleh bertolak ansur, cari kaedah lain. Tapi janganlah berterusan mendesak hukum ini dilaksanakan jika tiada kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri," katanya.
Beliau turut menggesa agar undang-undang Islam tersebut dihentikan daripada menjadi isu politik kedua-dua pihak.
"Cukuplah politikkan isu Hudud ini," katanya.
Rabu lalu, Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, berkata Mahkamah Syariah Kelantan bersedia melaksanakan hukum Hudud lantaran daripada prasarana yang mencukupi bagi membolehkan hukuman tersebut dilaksanakan.
Selepas pengumuman tersebut, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyahutnya dengan baik dan berkata, kerajaan negeri Kelantan sudah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal itu bagi mengkaji pelaksanaan hukum Islam yang terkandung di dalam Al-Quran itu di negeri yang diperintah PAS sejak lebih 20 tahun.
Pengumuman tersebut dijangka mengundang rasa kurang senang terutama di kalangan masyarakat bukan Islam dalam negara, malah sebelum ini Putrajaya sendiri pernah menghalang kerajaan negeri Kelantan melaksanakannya.
Selain itu, parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA serta rakan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR), DAP sebelum ini menentang pelaksanaan undang-undang Islam tersebut kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, kerajaan negeri Kelantan ketika ini sudah memperuntukkan RM1 juta dalam Bajet 2014 negeri bagi melaksanakan hukum Hudud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan