SPECIAL ADS

26 November 2013

Label penghianat negara petanda kelemahan Najib

26 Nov : Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berpendapat kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melabelkan "pengkhianat" kepada rakyat yang mengelak membayar cukai membuktikan beliau gagal dalam menguruskan kewangan negara.

Jelasnya, Najib tidak perlu menggunakan istilah 'pengkhianat' jika ingin menambah wang negara, tetapi beliau perlu memperbaiki segala ketirisan serta penyelewengan yang berlaku dalam petadbirannya.

"Jelas kita lihat Najib cuba menutup kelemahannya dalam menguruskan kewangan negara yang semakin teruk sehingga menyebabkan berlaku pembaziran dalam soal perbelanjaan wang negara.

"Najib sanggup melabelkan rakyat sebagai pengkhianat jika mereka tidak membayar cukai dengan harapan rakyat akan membayar cukai mereka bagi menampung kewangan, sedangkan beliau yang gagal memperbaiki ketirisan," jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Mahfuz lagi, kenyataan Najib itu juga dilihat sebagai mengugut atau menakutkan rakyat dengan mengaitkan negara akan muflis jika rakyat masih lagi berdegil untuk tidak membayar cukai.

"Kenyataan yang cuba melabelkan untuk menghalalkan tindakan mereka melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan mengatakan rakyat pengkhianat atau penderhaka.

"Mewujudkan rasa takut kepada rakyat, ugut bahawa negara akan muflis dan menyebab rakyat berada dalam keadaan susah.

"Bagaimana rendahnya idea pemikiran pemimpin negara ini sehingga tidak berkemampuan untuk menyakinkan rakyat sehingga melabelkan rakyat dengan pelbagai andaian yang tidak munasabah," sambung beliau.

Beliau juga meminta Najib lebih rasional dalam kenyataan tersebut dan mengambil tindakan memperbaiki segala kelemahan dalam soal ketirisan dan pembaziran terutamanya membabitkan soal projek-projek besar.

Najib ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) di Masjid Wilayah Persekutuan Ahad lalu telah melabelkan mereka yang mengelak daripada membayar cukai boleh dianggap melakukan pengkhianatan kepada negara.

Katanya kewajipan membayar cukai merupakan satu daripada semangat patriotisme terhadap negara. HD

Tiada ulasan: