15 Nov : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan membuat laporan polis serentak di seluruh negara esok, berhubung dakwaan terdapatnya dua agen perisik CIA bekerja di pejabat Peguam Negara ketika ini.
Dakwaan itu dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam akuan bersumpah bekas pegawai kanan polis, Mat Zain Ibrahim.
"Berdasarkan tuduhan Tun Mahathir yang dinyatakan dalam akuan bersumpah Mat Zain Ibrahim (Bekas Pegawai Kanan Polis), negara mungkin telah dipengaruhi oleh agenda jahat Amerika Syarikat secara terus melalui pejabat AG.
"Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan, pihak polis harus bertindak segera manakala Tun Mahathir harus tampil memberi penjelasan," kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan.
Beliau berkata, laporan polis akan mula dibuat oleh SAMM Pulau Pinang jam 11.00 pagi di Balai Polis Bayan Baru, diikuti oleh SAMM dari negeri lain termasuk dari Sabah dan Sarawak.
"SAMM juga menyeru orang ramai dan aktivis sekutu turut membuat laporan polis di atas kecelaruan yang dibiarkan ini," katanya.
Beliau juga menegaskan, jika pihak polis masih tidak mahu membuat siasatan, SAMM menyeru semua aktivis, pengamal kepartian dan orang ramai berkumpul di depan IPD Dang Wangi pada 24 November ini untuk memberi tekanan yang jauh lebih serius.
"SAMM juga tidak menolak kemungkinan antara kecelaruan dan musibah yang berlaku adalah termasuk melibatkan pemalsuan bukti dalam kes liwat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan aktiviti pengintipan ini juga mampu menyebabkan kekalahan Pulau Batu Puteh di mahkamah antarabangsa.
"Pulau Batu Puteh juga tidak wajar terlepas namun apakah mungkin ia diatur demi kedudukan strategik Singapura yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat.
"SAMM dalam kenyataan sebelum ini telah mendesak supaya segala aktiviti yang melibatkan pihak Pejabat Peguam Negara (AG) dibekukan segera dan Tan Sri Gani Patail harus diberkas untuk disoal-siasat," katanya. HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan