02 Nov : Masyarakat kita khususnya orang Melayu suatu masa dahulu terkenal dengan adat dan budi bahasanya yang sangat tinggi maka lahirlah beberapa pepatah melayu yang merujuk kepada bahasa, budi dan adat.
Antaranya “Bahasa Menunjukkan Bangsa”, “Orang Berbudi Kita Berbahasa”, “Bahasa Jiwa Bangsa” dan sebagainya. Teringat bait-bait sajak Datuk Usman Awang tentang orang Melayu:
Melayu itu orang yang bijaksana. Nakalnya bersulam jenaka. Budi bahasanya tidak terkira Kurang ajarnya tetap santun Jika menipu pun masih bersopan. Bila mengampu bijak beralas tangan.
Namun apabila zaman berubah, semuanya itu turut mengalami evolusi. Budi bahasa, adat dan budaya semakin dipinggirkan dalam sebuah zaman serba pantas dan berteknologi tinggi.
Berkomunikasi di era ini sudah tidak perlu berpandangan muka, cukup sekadar bercakap melalui telefon, menulis pesanan ringkas, emel dan media sosial. Bahasa yang digunakan pun sangat ringkas, seringkas kehidupan masa kini yang membolehkan masa dijimatkan dan juga ruang kata.
Bahasa bersulam, berlapik dan bersopan dianggap ketinggalan zaman. Berbudi bahasa mungkin dianggap kuno kerana komunikasi cara moden lebih bersifat tepat dan ringkas tanpa ada tapisan atau berlapik.
Kalimah berbunga akan menjadi bahan jenaka masa kini. Disebabkan itu, komunikasi interpersonal semakin terpinggir dan seolah-olah sudah tidak relevan di zaman ini.
Justeru dalam keadaan itu, budi bahasa sudah tidak lagi menjadi keutamaan dalam masyarakat kita.
Ucapan salam, terima kasih, selamat pagi, boleh saya bantu encik, makcik dan puan, jarang kita dengar oleh masyarakat hari ini, khususnya anak-anak muda sekarang.
Senyuman yang sangat murah dan mudah untuk dipraktikkan juga menjadi semakin mahal harganya serta mereka semakin sukar melemparkan senyuman.
Suasana kurang budi bahasa ini di sekolah dan universiti kelihatan di mana-mana. Apa yang paling menyedihkan, walaupun mereka belajar di menara gading ada segelintirnya masih tidak seiring dengan ilmu yang mereka pelajari. Mereka sangat kurang daripada sudut budi bahasa dan pekerti mulia.
Ketika di kedai makan umpamanya dapat kita perhatikan sewaktu menanti makanan tiba, masing-masing leka dengan gajet terkini, berinteraksi melalui Ipad, telefon pintar dan sebagainya.
Inilah senario zaman ini yang boleh kita lihat khususnya di kawasan bandar dan orang sekarang memanggilnya ‘urban’. Walaupun dalam kalangan masyarakat `urban’ ini masih ada yang mengamalkan nilai murni dalam kehidupan mereka, ianya boleh dikira dengan jari dan bilangan mereka sangat sedikit.
Lihat sahaja di stesen komuter dan LRT, anak muda berpelukan tanpa rasa segan silu memaparkan aksi panas mereka kepada masyarakat sekeliling seolah-olah apa yang mereka lakukan sesatu kebiasaan dalam masyarakat.
Di dalam bas atau komuter, warga emas dan mereka yang memerlukan tempat duduk dibiarkan berdiri sedangkan pasangan dua sejoli sedang sibuk memadu kasih tanpa ada rasa belas kasihan pada mereka yang kurang upaya.
Bahasa kurang sopan sudah sangat berleluasa. Bercakap kotor dan mencarut seperti sudah tidak ada malunya lagi.
Rasa keprihatinan sudah semakin luntur. Jika ada yang diragut atau memerlukan pertolongan kerana dipukul dan sebagainya, masyarakat hanya memandang dan tidak mahu masuk campur atau ‘menjaga tepi kain orang’. Akhirnya mangsa mungkin mengalami kecederaan teruk dan maut.
Masalah sosial, masalah kelunturan budi bahasa dan nilai murni adalah masalah negara.
Remaja zaman ini adalah pemimpin masa depan yang akan mencorakkan negara. Adakah kita mahu generasi kurang akhlak, tidak prihatin dan terlalu mementingkan diri sendiri menjadi pemimpin masa depan?
Penulis berpendapat keluarga merupakan agen sosialisasi awal kepada kanak-kanak.
Rumah harus dijadikan pusat mengajar anak berbudi bahasa dan ia perlu diajar oleh ibu bapa sendiri.
Kepimpinan melalui teladan. Ibu bapa adalah ‘role model’ kepada anak. Justeru, kesibukan diri dalam mencari rezeki bukan alasan tidak dapat mengajar anak berbudi bahasa yang baik dan mengamalkan nilai murni.
Pendidikan agama perlu diterapkan kepada anak sejak kecil lagi kerana nilai agama adalah asas dan tonggak kemurnian hati dan jiwa manusia.
Natijahnya, banyak yang boleh kita lakukan untuk kembali mengamalkan nilai murni dalam masyarakat.
Semua ini masih belum terlambat kerana jika kita bermula hari ini, insyaallah 20 tahun lagi kita akan lihat hasilnya.
Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih. Dalam kaitan yang sama pihak tertentu, khususnya kementerian yang berkaitan diharap dapat melihat dengan lebih terperinci permasalahan ini supaya masalah budaya kurang budi bahasa dan budaya kurang ajar ini boleh ditangani dengan baik dan tidak menjadi budaya masyarakat Malaysia.
Oleh: Hariyati Ariffin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan