16 Nov : Pemimpin Umno yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa (gambar) menyokong cadangan pelaksanaan hukum Hudud di negeri Kelantan.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Kelantan itu berkata, pengumuman tersebut adalah sesuatu yang dinantikan dan sesuai pada masanya, malah Brunei juga sudah mengambil pendekatan sama dengan melaksanakannya.
"Urusan agama terletak di bawah bidang kuasa negeri sepenuhnya, jadi kita kena bersatu bagi mendaulatkan hukum Allah di negeri ini," kata Ahli Parlimen Ketereh itu seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.
Rabu lalu, Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, berkata Mahkamah Syariah Kelantan bersedia melaksanakan hukum Hudud lantaran daripada prasarana yang mencukupi bagi membolehkan hukuman tersebut dilaksanakan.
Daud bagaimanapun berkata, barisan hakim khas perlu dilantik, menepati dengan tuntutan hukum Hudud sendiri dan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri sebelum hukum Hudud ataupun Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 boleh dilaksanakan.
Sejurus pengumuman tersebut, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyahutnya dengan baik dan berkata, kerajaan negeri Kelantan sudah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal itu bagi mengkaji pelaksanaan hukum Islam yang terkandung di dalam Al-Quran itu di negeri yang diperintah PAS sejak lebih 20 tahun.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan fungsi jawatankuasa yang dimaksudkan dengan lebih terperinci.
Mohd Amar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas II Kelantan turut berharap kerajaan pusat tidak menghalang kerajaan negeri Kelantan daripada melaksanakan hukum Hudud di negeri itu nanti.
“Betul, memang dulu kerajaan pusat halang (daripada melaksanakan hukum Hudud). Kita harap kali ini kerajaan pusat beri kerjasama dan perkara lalu tidak akan berulang,” katanya.
Pengumuman tersebut dijangka mengundang rasa kurang senang terutama di kalangan masyarakat bukan Islam dalam negara, malah sebelum ini Putrajaya sendiri pernah menghalang kerajaan negeri Kelantan melaksanakannya.
Selain itu, parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA serta rakan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR), DAP sebelum ini menentang pelaksanaan undang-undang Islam tersebut kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Annuar dipetik berkata, beliau menggesa supaya pihak luar khususnya DAP agar tidak mencampuri urusan di negeri tersebut memandangkan tiada wakil daripada parti tersebut di Kelantan.
"DAP tiada kerusi langsung dalam DUN. Kita tidak kacau urusan hukum di Pulau Pinang atau Selangor.
"Biar Kelantan buat dahulu, kemudian mereka boleh ikut serta," katanya.
Sementara itu, kerajaan negeri Kelantan ketika ini sudah memperuntukkan RM1 juta dalam Bajet 2014 negeri bagi melaksanakan hukum Hudud. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan