SPECIAL ADS

2 November 2013

Hudud perlu tubuh jawatankuasa teknikal dan pelaksana

02 Nov : Minggu lepas satu forum 'amal maaruf nahi munkar' yang memfokuskan khusus mengenai hukum hudud diadakan di Kota Bharu Kelantan. Ia dikelolakan sebuah NGO dan diberi kerjasama sepenuhnya oleh kerajaan Kelantan. Forum itu diadakan sempena hari mengingati hudud yang menjadi salah satu program yang terabadi dalam kalander kerajaan PAS Kelantan.
Matlamat program itu ialah untuk mengingati dan menanam semangat serta keazaman bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Hudud adalah cita-cita kerajaan PAS Kelantan yang berterusan dan sudah melewati fasa pertama.
Pada tahun 1993 DUN Kelantan telah meluluskan Kanun Jenayah Syariah (II) yang di dalamnya terkandung hukum hudud. Kelantan dipercayai adalah kerajaan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai kanun jenayah - Hukum Hudud sepertinya. Malangnya ia tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa sebab.
Antara sebab utama ialah kerana wujud percanggahan dengan perlembagaan Persekutuan. Percanggahan itulah yang dijadikan alasan oleh kerajaan Kelantan kenapa hudud tidak dilaksanakan sampai kini walaupun undang-undang sudah diluluskan oleh DUN Kelantan 20 tahun lalu dan sudah melalui empat pilihan raya umum.
Selain percanggahan itu, sepucuk surat yang dihantar oleh Mahathir Mohamad yang ketika itu sebagai perdana menteri kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menjadi MB Kelantan juga dijadikan bukti fizikal oleh kerajaan Kelantan dimana hasrat kerajaan Kelantan ditentang oleh Mahathir Mohamad. Amaran di dalam surat itu menakutkan kerajaan Kelantan kononnya kalau dilaksanakan juga akan timbul huru-hara menyebabkan Kelantan tumbang. Surat Mahathir itu juga dijadikan alasan dan sering dijadikan modal politik oleh PAS dalam ceramah-ceramahnya dan ketika mempertahankan ejekan dan persoalan ditimbulkan oleh pihak Umno atau Barisan Nasional (BN).
Itulah di antara dua faktor besar yang sering digunakan oleh Kelantan atau dirujuk bila mana ada pihak yang mempersoalkan mengapa hudud tidak dilaksanakan di Kelantan. Sebenarnya selain hambatan-hambatan itu ,ada sekawan lagi masalah teknikal atau prasarana untuk melaksanakan hudud yang masih belum tersedia seperti pihak penguat-kuasa, polis, pendakwa, hakim, algojo. Begitu juga infranya seperti penjara, mahkamah dan lain-lain.
Di sini saya tidak mahu memperluaskan persoalan hambatan atau halangan itu, tetapi mahu menyebut dua perkara pokok yang menghalang kepada perlaksanaan hukum berkenaan yang sering dijadikan dalih. Pertama, mengenai percanggahan dengan perlembagaan Persekutuan itu. Permasalahan itu tidak bererti kalau ia hanya diketahui bercanggah semata-mata tetapi tidak ada ikhtiar disusuli usaha mengatasinya. Ia sebenarnya bukan satu halangan mutlak, seperti mana kereta lekat di dalam selut saja. Sekiranya selut dibuang dan jalan dibersihkan kereta itu akan bergerak.
Dalam soal ini, Kelantan perlu mengenali pasti sudut-sudut yang bercanggah dan mencari mekanisma untuk mengatasinya. Apakah ia sampai ke tahap tidak boleh dilaksanakan langsung ataupun sememangnya ia dijadikan sebab kerana ada perkara-perkara lain yang tidak disediakan tetapi disembunyikan?
Kalau menurut pendapat pakar perlembagaan negara Abdul Aziz Bari, pelaksanaan hudud boleh dilakukan kerana kedudukan hudud itu (syariah) dalam kuasa istimewa kerajaan negeri Kelantan atas tafsiran ia berkaitan agama. Hal ehwal agama termasuk perlaksanaan undang-undang di bawah bidang kuasa agama di mana ia tertakluk dalam kuasa sultan. Berdasar tafsiran itu tidak ada percanggahan dari sudut perlembagaan.
Pun begitu kalau ia bercanggah maka ia perlu dileraikan. Usaha ke arah itu hendaklah dilakukan berterusan dan bukan bermusim. Dalam soal ini mungkin sebuah jawatankuasa, boleh dikenali dengan Jawatankuasa Teknikal dan Perlaksanaan boleh diwujudkan dengan dianggota mereka yang profesional, tentera, polis, peguam, hakim, kadi dan sebagainya.
Mereka berfungsi untuk mengenal pasti masalah-masalah sehubungan dengannya; penyediaan prasara dan penguatkuasa; mengenal pasti implikasi dan risiko sosial jika ia dilaksanakan; memikir dan mencari idea memperluaskan publisiti kepada umum. Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab membuat peruntukan (kos) ke arah pelaksanaannya secara komprehensif. Jika kerajaan menghadapi masalah kewangan mungkin tabung khas dikenali Tabung Hudud boleh dilancarkan ataupun sumber daripada Tabung Serambi Makkah boleh digunakan untuk tujuan ini.
Jawatankuasa ini boleh dipilih daripada kalangan Exco untuk mengetuai dan sebaik-baiknya kalau MB sendiri menjadi ketua. Peruntukan RM1 juta yang diumumkan dalam Bajet Kelantan 2014 yang lalu boleh digunakan untuk menggerakkan komiti ini.
Apabila adanya jawatankuasa khas ini, usaha ke arah perlaksanaan  akan dilihat bersungguh dan menyakinkan orang ramai. Sekiranya perlu demi untuk memberi keyakinan atas hasrat rakyat Kelantan yang didakwa sudah menerima hudud dilaksanakan atas keyakinan ia adalah wajib, mungkin jawatankuasa ini juga boleh merangka satu bentuk bagi mengadakan memorandum rakyat Kelantan yang berusia 18 tahun ke atas.
Pungutan suara ini boleh dijadikan modal atau bukti akan kesungguhan rakyat Kelantan ingin hukum Allah itu dilaksanakan di bumi mereka.
Berkenaan dengan surat larangan Mahathir Mohamad itu ia juga hendaklah dikaji sejauh mana larangan berlaku dan boleh menjejaskan kerajaan Kelantan. Surat larangan Mahathir itu bersifat peribadi dan pandangan nasihat beliau yang tentunya berlandaskan motif politik serta perspektif latar belakang pendidikannya. Atau apakah surat larangan itu juga dijadikan alasan untuk tidak laksanakan hudud kerana beberapa aspek lain masih belum disediakan yang mana ia berpunca daripada kelemahan dan ketidaksediaan pihak kerajaan sendiri?
Kalau inilah benar, diharap diharap kerajaan Kelantan tidak munafik di dalam soal ini dengan menyalahkan faktor-faktor itu untuk tidak dilaksanakan atau dibiarkan kanun yang diluluskan itu tergantungan sekian lama. Kerajaan Kelantan harus tegas dalam hal ini sama ada hendak laksanakan atau pun cukup setakat menyediakan kertas undang-undang saja.
Baik soal percanggahan dengan perlembagaan dan surat larangan Mahathir itu kerajaan Kelantan boleh melakukan ujian kaji atau eksperimen ke atasnya. Kerajaan Kelantan perlu mencuba melaksanakan kanun jenayah berkenaan dan lihat sejauh mana tindakan kerajaan pusat. Apakah kerajaan pusat akan menyaman kerajaan negeri Kelantan. Kalau ini terjadi, elok pandangan dan keputusan mahkamah akan diperolehi. Jika mahkamah memutuskan ia bercanggah maka percanggahan itu harus diselesaikan dan dalam masa sama ia menjadi bukti diatas 'kegagalan' kerajaan Kelantan selama ini. PAS akan selesa menjadikan perkara itu sebagai alasannya dan tidak akan berhutang dengan rakyat Kelantan khasnya.
Tanpa permasalahan ini sampai ke peringkat mahkamah, tergantung begitu,  kerajaan Kelantan dan PAS tidak boleh sewenangnya mengatakan mereka ada masalah kerana mahkamah tidak pun menyatakan demikian. Makanya kerajaan Kelantan perlu membawa perkara ini (larangan) untuk mendapat deklarasi mahkamah.
Demikian juga dengan surat larangan Mahathir itu. Apakah ia masih valid. Mahathir kini sudah tidak menjadi perdana menteri. Mungkin Najib Razak ada pegangan atau pendirian baru mengenai hudud. Konsep 'wasatiyah'  yang dicanangnya kini mungkin memberi aspirasi kepada Najib untuk memberi laluan kepada Kelantan dan melihat keberkesanan hukum hudud. Boleh jadi.. siapa tahu kerana sebagai seorang Islam beriman dengan al-Quran dan al-Hadith Najib juga mempercayai sesuatu yang disebut di dalam kitab suci itu? Beliau juga percaya kepada hari akhirat.
Ahmad Yaakub kena mencuba dan berani untuk mencuba. Beliau jangan setakat berani tetapi harus ada keberanian. Beliau perlumenulis surat kepada Najib menyatakan hasrat Kelantan melaksanakan hudud dan minta pengecualian. Secara teknikal, perdana menteri boleh menggunakan kuasa proregatifnya sebagai PM untuk membenarkan Kelantan melaksanakan hukum berkenaan.
Semasa berjumpa dengan Najib nanti, Ahmad boleh menjelaskan hasrat rakyat Kelantan yang inginkan hudud dilaksanakan dan juga mendakwah Najib akan tanggungjawab sebagai umat Islam melaksanakan hukum Allah. Jangan lupa bawa Exco yang ditugaskan untuk menggerakkan hukum hudud ini sama berjumpa dengan Najib. Biar dia baca dan berceramah mengenai konsep hudud, maslahatnya kepada ummah seperti mana dia berceramah semasa sidang DUN Kelantan baru-baru ini. Jangan hanya biarkan jubahnya menjadi selanuh ekor merak saja.
Lebih afdal lagi Ahmad Yaakub boleh menghadap Sultan Kelantan mohon perkenan mencampuri hal ini. Lagipun bukankah sultan Kelantan dilihat sultan berimej dan mempunyai iltizam tinggi terhadap Islam. Apa lagi soal agama di bawah bidang kuasa baginda. Hubungan rapat dan mesra Ahmad dengan sultan patut digunakan untuk kemaslahatan agama dan ummah dan bukan dijadikan pelaris politik.
Insya-Allah ini boleh dilakukan. Dasar atau pendekatan kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Ahmad Yaakub yang ingin menjaringkan kerjasama secara G to G adalah satu ruang yang baik. Dasar dan pendekatan itu boleh dipraktik dengan percubaan untuk melaksanakan hudud ini. Inilah peluang pertama beliau menguji dasarnya dan sejauh mana Umno ikhlas dan responsif di atas perubahan pendekatan kerajaan Kelantan itu.
Tidak ada guna pendekatan atau stail G to G dilaksanakan kalau ia tidak mengubah keadaan. Realisasi hubungan ini tentu bukan setakat Kelantan bersedia menjadi tuan rumah tilawah Quran atau pun Ahmad Yaakub merasmikan majlis bersama Mustapa Mohamed. Sesuatu yang lebih signifikan daripada itu perlu dilakukan.
Sementara mengenai forum atau apa-apa acara tentang hudud, seperti diadakan minggu lepas saya rasa ia perlu berganjak daripada skala biasa dengan pembentangan kertas kerja memberi kefahaman mengenai hudud kepada pelajar dan masyarakat biasa perlu diperluskan skopnya. Misalnya adalah baik juga kalau panel dalam mengisi forum atau seminar berkenaan diambil daripada kalangan bukan Muslim untuk dilihat pengertian atau bagaimana mereka melihat hudud.
Persepsi hudud daripada mereka rasanya lebih afdal dihimpun dan diberi gerak tindak daripada kita terus membaca ayat-ayat mengenai hukum hudud yang kebanyakan kita sebagai orang Islam sudah memahaminya, yang setengah orang sudah membaca sejak darjah  empat lagi. 

Oleh : Mohd Sayuti Omar (msomelayu.blogspot.com)

Tiada ulasan: