SPECIAL ADS

5 Disember 2014

Bekas CEO Aer Lingus diumum sebagai bos baru MAS

Khazanah Nasional Berhad mengumumkan Christoph R Mueller akan dilantik CEO bagi MAS Newco. – Gambar ihsan laman Flickr Iata
Khazanah Nasional Berhad hari ini menamatkan spekulasi apabila mengumumkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aer Lingus, Christoph R Mueller sebagai bos baru Malaysia Airlines Berhad (MAS NewCo), mengesahkan laporan The Malaysian Insider sebelum ini.
Pengumuman itu dibuat dibawah pelan pemulihan, di mana Mueller dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Malaysian Airline System Berhad (MAS) dan dipilih sebagai CEO MAS NewCo.
Pelantikan Mueller sebagai CEO akan berkuat kuasa 1 Januari 2015.
Oktober lalu, Khazanah menafikan warga asing akan dilantik untuk menerajui syarikat penerbangan negara dalam usaha penstrukturan semula.
Mueller menyertai Aer Lingus sebagai CEO pada September 2009 dan mengembalikan syarikat itu daripada kemundurannya.
Kenyataan oleh Khazanah itu juga mengatakan pelantikan tersebut dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 4 Disember 2014.
Najib yang dipetik dalam kenyataan bersama pengumuman hari ini berkata, pelantikan itu adalah komitmen kerajaan untuk memulihkan semula syarikat penerbangan negara.
"Pelantikan yang diumumkan hari ini sebahagian daripada usaha kerajaan dan Khazanah untuk meletak asas yang kukuh demi kejayaan masa depan syarikat penerbangan negara kita.
"Penting untuk kita memiliki bakat terbaik yang mempunyai kepakaran dan pengalaman bagi membantu usaha penyusunan semula ke hadapan, membawa keuntungan kepada syarikat penerbangan dan melatih pengganti rakyat Malaysia untuk mengambil alih kepimpinan syarikat penerbangan itu pada masa datang. Kerajaan komited untuk melihat usaha memulihkan MAS berjaya," kata Najib dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar menyifatkan Mueller sebagai calon terbaik memandangkan kepakaran dan pengalaman yang dimilikinya.
"Mueller adalah calon terbaik dan beliau dilihat mampu menangani dua tugasan penting, iaitu mengembalikan keuntungan kepada syarikat penerbangan negara dan membentuk pengganti tempatan," katanya.
Selain itu, Khazanah juga mengumumkan pelantikan CEO dan Pengarah Celcom Axiata Berhad, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah MAS.
Mohammed Shazalli bagaimanapun masih mengekalkan jawatannya di dalam syarikat telekomunikasi tersebut.
Tiga lagi pelantikan baru juga diumumkan bagi mengendalikan Pusat Latihan Semula Korporat (CRC) yang diumumkan dibawah pelan pemulihan, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dilantik sebagai Pengerusi CRC, Shahryn Azmi sebagai CEO CRC dan Datuk Boonler Somchit sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dan Penasihat CRC.
Ketiga-tiga individu itu akan menjalankan tanggungjawab mengendalikan CRC yang dijangka dilancarkan pada 1 April 2015 depan.
Ogos lalu, Khazanah Nasional mengumumkan pelan pemulihan MAS melibatkan kos RM6 bilion yang antara lain membabitkan pengurangan 30% kakitangan dan memberi tumpuan semula kepada laluan serantau yang menguntungkan berbanding destinasi jarak jauh yang mengalami kerugian.
Langkah pemulihan ini bukan kali pertama diambil untuk menyelamatkan MAS, pada 2007 Datuk Seri Idris Jala juga terpaksa mengetuai syarikat penerbangan negara itu.
MAS kerugian sejak beberapa tahun ini, keadaan ini menjadi lebih teruk apabila dua tragedi menimpa mereka dalam tempoh 5 bulan antara Mac dan Julai tahun ini. TMI

Tiada ulasan: