SPECIAL ADS

4 Disember 2014

UMNO bukan juara, tapi penipu orang Melayu

zulpuri 2
TEMERLOH, 4 DIS: Perilaku biadap pemimpin UMNO menjadikan perhimpunan agungnya sebagai medan menyalahkan kaum lain petunjuk parti itu semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan Melayu.
ADUN DAP Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, anggapan pemimpin UMNO dengan memainkan sentimen kaum akan kekal menjadi juara di hati orang Melayu sama sekali sudah tidak boleh diterima.
Tegasnya, rakyat Malaysia termasuk orang Melayu sendiri sudah muak dan jijik dengan tipu muslihat parti perkauman itu.
“Kalau UMNO betul juara Melayu, saya nak tanya kemana lesapnya RM52 bilion saham bumiputera dari 1984 hingga 2005? Berapa yang tinggal sekarang? kata Tengku Zulpuri yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang.
“Berapa banyak lagi Tanah Rizab Melayu? Bukankah UMNO sendiri yang telah menggadaikanya demi mengaut untung sehingga sanggup menghalau penduduk?.
“Tak payahlah nak memperbodohkan masyarakat untuk tutup kesalahan sendiri. Rakyat yang waras sudah tidak menerima UMNO lagi,” tegas Pengerusi DAP Pahang itu.
Beliau menyifatkan fitnah dan kecaman Umno merupakan bukti parti itu sememangnya mengabaikan semangat Perlembagaan yang menyeru ke arah perkongsian nilai, budaya dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Antara tohmahan dilemparkan ialah ucapan Ketua Umno Baling Datuk Mashitah Ibrahim yang mendakwa kononnya orang bukan Islam di Kedah membakar helaian al-Quran pada waktu sembahyang.
Justeru itu satu laporan polis dibuat 28 November lalu, berhubung fitnah jahat yang cuba mengaitkan masyarakat Cina di negeri itu dengan insiden tersebut.
Laporan dibuat di Balai Polis Tun HS Lee oleh Penolong Setiausaha Publisiti Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah Dyana Sofya dan ahli parti Syefura Othman.
Manakala pada 2 Disember lalu, Pemuda DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan turut membuat laporan sama di Balai Polis Dang Wangi.
Lanjutan itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut menyatakan pendirian kerajaan Pulau Pinang yang akan turut membuat laporan polis terhadap ucapan fitnah perwakilan UMNO Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.
Mohd Zaidi bukan saja menghasut kebencian dalam ucapannya, malah menuduh kekuatan politik dan ekonomi orang Cina di Pulau Pinang hasil dari aktiviti haram seperti perjudian haram dan pelacuran.
Cemas diasak pelbagai pihak di seluruh negara, Mohd Zaidi menyatakan ucapannya disalah lapor oleh media, dan tidak ditujukan kepada seluruh masyarakat Cina di Pulau Pinang.
Sebaliknya Mohd Zaidi bersilat lidah mengatakan ucapannya merujuk kepada kelemahan penguatkuasaan kerajaan Pusat dan negeri. – Roketkini.com

Tiada ulasan: